Thailand Miliki Daftar Keluar Masuk Muhammad Muzaffa Secara Sah

Staf BeritaBenar
2017.05.04
Washington & Narathiwat, Thailand
170504-TH-immigration-police-1000.jpg Polis Imigresen Thailand membuat pemeriksaan ketat rekod masuk keluar ke negara itu di Pusat Pemeriksaan Imigresen di Sungai Golok, di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 4 Mei 2017.
(BeritaBenar/Narathiwat)

Lelaki yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan dikatakan telah melarikan diri ke Thailand pada Mac lepas, didapati sering melintasi kawasan sempadan namun pihak berkuasa Malaysia tidak pernah memaklumkan kepada jiran mereka di utara negara itu mengenai penglibatannya dalam aktiviti keganasan, kata pegawai Thailand pada Khamis.

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu mendakwa Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27, anggota sel IS yang berpangkalan di Kelantan dan memperoleh senjata untuk kegunaan kumpulan militan itu dari wilayah bergolak di selatan Thailand, telah meloloskan diri dengan menyeberangi Sungai Golok yang menjadi sempadan kedua-dua negara pada 22 Mac lalu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Thailand berkata mereka mempunyai rekod masuk dan keluar Muhammad Muzaffa ke negara itu melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen Sungai Golok.

“Kami mempunyai rekod masuk dan keluar dengan perjalanan terkini ialah pada 21 April lepas. Lelaki itu mempunyai cop imigresen dari kedua-dua negara… Ini adalah sebelum dia didakwa sebagai anggota IS,” kata Penguasa Polis Imigresen Kol. Pol. Noppadol Rakchart yang berpangkalan di Narathiwat, selatan Thailand.

Seorang lagi pegawai polis Imigresen yang tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak mempunyai bidang kuasa untuk bercakap mengenai perkara itu memberitahu BeritaBenar bahawa pihak berkuasa Thailand tidak boleh menahan suspek kerana tiada sebarang waran tangkap dikeluarkan oleh Malaysia.

"Walaupun Muhammad Muzaffa ditemui dan memasuki Thailand secara sah, kita tidak boleh menahannya kerana tiada sebarang waran tangkap yang keluarkan terhadapnya oleh Malaysia, yang ada hanyalah laporan berita," kata beliau kepada BeritaBenar sambil menambah pihak berkuasa Malaysia juga tidak membuat sebarang permintaan kepada Thailand untuk menahan lelaki berkenaan yang menjadi buruan negara jiran itu.

Polis Malaysia pada Rabu telah menahan enam individu yang dipercayai anggota kumpulan IS manakala seorang lagi suspek yang didakwa menyeludup senjata api untuk kegunaan militan telah melarikan diri ke selatan Thailand.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur berkata kesemua individu itu termasuk dua wanita diberkas dalam beberapa siri operasi oleh Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman di Melaka, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, dari 24 Mac hingga 25 April lepas.

Katanya, seorang lagi suspek , Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi yang berasal dari Kampung Genting, Rantau Panjang, Kelantan, yang terletak di sempadan Malaysia Thailand, melarikan diri ke selatan Thailand pada 22 Mac lalu, manakala dua rakannya yang turut menjalankan aktiviti penyeludupan senjata telah ditahan di negeri itu beberapa hari kemudian.

“Penangkapan di Kelantan pada 24 dan 25 Mac lalu melibatkan lelaki berusia 26 dan 41 tahun dan kedua-duanya bersubahat dalam aktiviti menyeludup senjata api dari selatan Thailand untuk kegunaan anggota kumpulan pengganas Daesh di Malaysia, “ kata Khalid yang menggunakan istilah Daesh untuk IS.

Polis Malaysia, yang mengeluarkan gambar Muhammad Muzaffa bersama kenyataan media pada Rabu, turut berkata suspek memasuki negara jiran itu bersama raifal tempur M4 Carbine dan pistol.

Enggan ulas lanjut

Dalam pada itu, pada Khamis, Khalid semasa disoal mengenai penahanan dua lelaki yang menjalankan kegiatan penyeludupan senjata api dan Muhammad Muzaffa, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya... Kita sedang memantau keadaan.. Seperti yang saya katakan, kita tahu di mana dia [Muhammad Muzaffa] berada sekarang dan kami bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan dari Thailand. Kami percaya akan dapat menahannya dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Pada Rabu, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-o-cha yang ditemui media di Bangkok berkata, tiada rakyat Thailand terlibat dengan kumpulan pelampau Negara Islam yang berpangkalan di Timur Tengah dan kerajaan negara itu bersedia untuk menangani suspek jika ada yang telah ditangkap.

"Pegawai-Pegawai keselamatan sedang menyiasat perkara ini, dan jika kita berjaya menemui suspek, kita akan menyelaraskan agar dia dihantar pulang. Ia adalah perkara sensitif jadi saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak maklumat," kata Prayuth kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Rabu.

Dalam pada itu, Pemerintah Tentera Darat Wilayah Empat Leftenan Jeneral Piyawat Nakwanich semasa diminta mengulas kenyataan pihak berkuasa Malaysia itu berkata "Kami tahu terdapat laluan masuk semulajadi di antara Thailand dan Malaysia, tetapi saya tidak mahu orang ramai panik kerana ia mungkin maklumat palsu, dan keganasan di Selatan Thailand tidak ada kena-mengena dengan IS. "

N. Natha di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.