Penyeludupan Senjata Berkait IS: Thailand Nafi Dakwaan Malaysia

Mariyam Ahmad & Ray Sherman
2017.05.30
Pattani, Thailand & Kuala Lumpur, Malaysia
170530-MY-TH-border-1000.jpg Kenderaan menyeberangi Thailand selepas lulus pemeriksaan di sepanjang sempadan Malaysia di Sungai Kolok, 18 Nov, 2007.
AFP

Pegawai tentera di selatan Thailand pada Selasa menafikan dakwaan Ketua Polis Malaysia bahawa seorang lelaki yang ditangkap kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan Negara Islam (IS) telah terlibat dalam penyeludupan senjata merentasi sempadan antara kedua-dua negara.

Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27 tahun seorang rakyat Malaysia yang menetap di Kelantan, negeri utara di bahagian Pantai Timur Malaysia, ditangkap selepas mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa dengan menyeberangi ke selatan Thailand dua bulan lepas, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada hujung minggu.

Muzaffa adalah salah seorang daripada enam individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang baru-baru ini telah ditahan di beberapa negeri di Malaysia, demikian seperti diumumkan oleh Khalid pada Sabtu.

"Saya boleh mengesahkan bahawa tidak ada bukti bahawa dia [Muzaffa] menyeludup senjata seperti yang didakwa oleh pihak Malaysia," kata Leftenan Jeneral Piyawat Nakwanich, Komander Tentera Darat Ke-4 Thailand yang pemerintahannya meliputi kawasan pemberontakan di selatan Thailand kepada BeritaBenar.

"Bagaimanapun kita punyai langkah untuk memantau pergerakan aktiviti haram. Pada masa lalu, kita telah bekerjasama dengan Malaysia dalam memerangi aktiviti haram, "katanya.

Awal bulan ini Piyawat berkata, beliau telah mengarahkan pasukannya untuk mencari Muzaffa selepas Ketua Polis Malaysia mendakwa suspek telah memasuki Thailand bersenjata pada 22 Mac lepas.

Tetapi pada 3 Mei, seorang pegawai polis imigresen yang ditempatkan di pusat pemeriksaan sempadan Sungai Kolok di wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat memberitahu BeritaBenar bahawa Muzaffa telah dilihat luar dan masuk ke Thailand "beberapa kali" dan kali terakhir lelaki itu dilihat keluar daripada negara itu, seperti yang tercatat adalah pada 21 April.

Pada Selasa, seorang pegawai keselamatan Thailand yang ditempatkan berhampiran wilayah Pattani berkata, adalah tidak mungkin bahawa senjata telah diseludup ke Malaysia dari zon konflik Selatan Thailand kerana pemberontak pemisah di wilayah yang majoriti penduduknya Islam, tidak memiliki bekalan senjata dan peluru.

"Ia adalah sangat mustahil kerana pemberontak tidak mempunyai senjata, jadi mereka perlu untuk mencuri daripada tentera dan polis," kata pegawai itu kepada BeritaBenar dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Sumber itu juga menolak dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia minggu lalu, yang memetik laporan perisikan yang mengatakan bahawa serangan pengganas baru-baru ini yang berlaku di selatan Thailand, Jakarta dan Marawi, selatan Filipina, kesemuanya mempunyai kaitkan dengan kematian perekrut profilik IS Malaysia, Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi yang berpangkalan di Syria.

"Orang Melayu-Pattani di Selatan Thailand tidak menerima ideologi amat ganas IS dan tidak ada syarat untuk menyertai IS," katanya.

Tangkapan lain

Penahanan enam individu yang dipercayai terlibat dalam "aktiviti kumpulan pengganas Daesh," termasuk Muzaffa, berlaku di negeri Kelantan, Selangor, Perak dan Kedah bermula 23 Mei hingga 26, kata Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. Daesh adalah nama lain bagi IS.

Muzaffa, seorang penternak lembu yang terlibat dalam "penyeludupan senjata untuk ahli-ahli IS di Malaysia," menyerah diri kepada polis Malaysia pada 23 Mei, di Rantau Panjang, Kelantan, bandar berhampiran dengan sempadan Malaysia dan Thailand, kata Khalid.

Muzaffa terlibat dengan dua lelaki lain menyeludup senjata dari Thailand, kata Ketua Polis Negara itu.

Dua lelaki itu lain ialah Nik Nazanil Izuan Daud dan Mohammad Sabri Mat Zain yang ditahan dalam serbuan polis pada 21 dan 24 Mac lepas. Kedua-dua lelaki itu telahpun dihukum lima tahun penjara dan lima sebatan, tambah Khalid tanpa menyatakan tuduhan.

Dalam tangkapan terbaru oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia, lima lagi lelaki berusia 23 dan 54 tahun, dipercayai mempunyai kaitan dengan IS, turut ditahan, selain Muzaffa, kata Khalid.

Dua daripada suspek itu adalah adik beradik. Seorang daripadanya adalah guru agama, manakala seorang lain menjalankan perniagaan dalam talian. Kedua-dua mereka ditahan kerana didakwa menyokong aktiviti IS di Syria melalui dua ahli IS Malaysia yang berpangkalan di negara itu, kata Khalid.

"Kedua-dua suspek juga mempunyai kaitan dengan Muhammad Fudhail Omar yang pernah mengarahkan seorang anggota IS di Sabah untuk membuat serangan solo di Sandakan pada 4 Ogos tahun lepas," kata Khalid.

Pegawai Malaysia telah mengenal pasti Muhammad Fudhail sebagai salah seorang daripada segelintir calon IS Malaysia yang  menggantikan Wanndy selepas beliau terbunuh dalam serangan udara di Syria bulan lepas.

Suspek keempat, yang ditangkap pada 25 Mei, merupakan seorang pesara tentera berusia 54 tahun dari Kulim, Kedah.

"Lelaki itu telah menyalurkan lebih RM20,000 [AS$4,670] kepada militan IS di Syria dalam beberapa urus niaga. Anak lelaki beliau, yang dikenali sebagai Afif Safwan Azuddin, telah menyertai kumpulan IS di Syria, "kata Khalid.

Suspek kelima dan keenam, kedua-duanya berusia sekitar awal tiga puluhan, telah ditangkap pada 25 Mei masing-masing di Selangor dan Kedah. Seorang daripadanya bekerja sebagai pegawai kawalan kualiti di sebuah syarikat swasta manakala seorang lagi tidak bekerja.

Menurut Khalid, kesemua enam lelaki ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Malaysia (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) dan disiasat kerana kesalahan keganasan.

Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 306 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang mana 66 daripadanya telah pun dibebaskan, menurut angka terbaru daripada kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.