PM Malaysia Akan Bertemu PM Thai di Bangkok Bincang Pembukaan Semula Sempadan
2022.02.23
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob akan melakukan lawatan rasminya yang pertama ke Thailand pada Khamis untuk berbincang dengan rakan sejawatnya mengenai isu kerjasama dua hala, vaksin, serta pembukaan semula sempadan, kata pegawai dari kedua-dua negara.
Wilayah selatan Thailand yang bersempadanan dengan Malaysia adalah kawasan persembunyian kumpulan pemberontak sejak sekian lama dan semasa lawatan Ismail Sabri pada Khamis hingga Sabtu, pegawai Thailand dijangka membangkitkan isu serangan oleh kumpulan tersebut baru-baru ini, di mana Malaysia merupakan fasilitator yang mengendalikan usaha rundingan damai antara pemberontak pemisah selatan dengan Bangkok.
"Dalam lawatannya, Perdana Menteri Malaysia dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Prayuth Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand, di 'Government House' pada 25 Februari," kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Thailand.
Mesyuarat itu akan memberikan peluang kepada kedua-dua pemimpin berbincang mengenai usaha memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dengan Thailand, kata kenyataan Kementerian Luar Malaysia.
"Fokus utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik COVID-19, pembukaan semula sempadan kedua-dua negara, dan projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat," tambah kenyataan itu lagi.
Ismail Sabri yang baru dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong pada Ogos lepas, turut akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di negara itu semasa lawatannya.
Thailand akan menjadi negara jiran kelima dilawati Ismail Sabri dengan beliau telah mengadakan lawatan ke Indonesia, Singapura dan Brunei, dan kini berada di Kemboja untuk lawatan rasmi selama dua hari.
Rundingan damai diteruskan bulan depan
Ketika di Bangkok, Thailand merancang untuk membawa isu mengenai serangan yang berlaku di wilayah Selatan negara itu yang dikatakan telah dibuat terhadap sasaran lemah, semasa perbincangan dengan delegasi Malaysia, kata seorang pemimpin kanan Thailand.
Jeneral Wanlop Rugsanaoh, Ketua Panel Rundingan Damai Thailand pada Isnin telah membuat lawatan ke wilayah selatan untuk bertemu dengan penduduk serta anggota tentera bagi mengumpulkan maklumat mengenai keganasan di wilayah tersebut bagi dikongsikan dengan delegasi Malaysia.
"Saya datang ke sini untuk bercakap dengan pemerintah tentera di wilayah ini untuk koordinasi secara dekat, terutama dengan penduduk serta lain-lain yang memberikan cadangan bagaimana untuk mengurangkan kejadian ganas terutama terhadap wanita dan kanak-kanak, serta di tempat awam dan kawasan perniagaan," beliau memberitahu wartawan di Pattani pada Isnin.
"Ia bertujuan untuk menangani isu ini ketika lawatan oleh Perdana Menteri Malaysia."
Sementara itu, mesyuarat rundingan damai dijangka akan diteruskan dengan pertemuan pada Mac depan, menurut sumber dalaman kumpulan pemberontak utama Barisan Revolusi Nasional (BRN), pegawai keselamatan dan disahkan oleh Rahim Noor, fasilitator rundingan kepada BenarNews.
Keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan di Selatan Thailand terus berlaku sejak rundingan damai disambung semula pada Januari, ketika kedua belah pihak berbincang bagaimana untuk mengurangkan pertumpahan darah sebagai satu asas bagi meneruskan rundingan.
Wanlop bagaimanapun berkata keganasan tidak akan mengganggu rundingan damai tetapi tidak mengesahkan atau menafikan sama ada sesi rundingan seterusnya akan diadakan pada Mac.
Che Mohd Aziz Yaacob, seorang pakar isu serantau, berkata bahawa tarikh yang dicadangkan pada Mac menunjukkan kesungguhan kedua belah pihak untuk menyelesaikan masalah mereka.
"Ya, ini adalah satu langkah yang baik untuk rundingan damai kerana kedua belah pihak menunjukkan keikhlasan mereka serta bekerja keras untuk mempercepatkan perbincangan supaya keganasan dan isu-isu lain yang berkaitan dengan konflik dapat diselesaikan segera," kata Yaacob, yang merupakan seorang profesor madya di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Pemberontakan bersenjata terhadap Thailand yang majoriti penduduknya beragama Buddha telah bermula sejak 1960an, dengan tuntutan utama adalah kemerdekaan diberikan kepada wilayah selatan negara itu yang bersempadan dengan Malaysia, yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Thailand telah menakluki wilayah tersebut pada tahun 1909 sebagai sebahagian daripada satu perjanjian dengan Britain.
Organisasi Deep South Watch melaporkan bahawa lebih 7,000 orang telah terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam kejadian-kejadian keganasan di wilayah tersebut sejak pemberontakan bersenjata tercetus semula pada Januari 2004.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.