Malaysia Sambut Pelancong Thailand Dengan Amaran Perjalanan Di Selatan

Matahari Ismail & Mariyam Ahmad
2017.10.18
Narathiwat & Patani, Thailand
171018-TH-MY-visitors-620.jpg Pelancong membeli tiket di stesen kereta api di Kuala Lumpur, 11 Nov 2016.
(Mariyam Ahmad/BeritaBenar)

Para pegawai Malaysia mengharapkan lebih ramai pelancong Thailand melawat negara itu selepas melancarkan perkhidmatan terbaru kereta api yang menyeberangi sempadan kedua-dua negara, walaupun polis negeri Kelantan menasihati rakyat untuk lebih berhati-hati dalam melakukan perjalanan ke Thailand kerana keganasan di wilayah selatan yang bergolak.

Wakil Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bertemu dengan rakan sejawatan dari Thailand serta ejen pelancongan di Songkhla, minggu lalu, sebuah wilayah sempadan di selatan Thailand, untuk memperkenalkan program perjalanan "Pakej Selatan Thailand ke Malaysia" yang menawarkan tambang kereta api rendah ke Kuala Lumpur.

Pakej itu mempromosikan perjalanan kereta api, kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad, yang pantas dan terus dari stesen keretapi Hat Yai di selatan Thailand ke ibu negara Malaysia.

Tetapi Hasanuddin Hassan, Ketua Polis Kelantan, sebuah negeri yang terletak di bahagian timur laut Semenanjung Malaysia, pada Rabu memberi nasihat kepada penduduk tempatan yang mahu melintasi sempadan ke selatan Thailand supaya lebih berhati-hati dengan kejadian terbaru yang  berlaku di negara jiran itu.

"Kami tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku seperti mana kejadian yang menimpa seorang warga Kelantan yang menjadi mangsa tembakan rambang di Tak Bai dua hari lepas,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita Bernama. "Keadaan di sana masih belum aman, masih berlaku letupan dan tembakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam."

Media Thailand melaporkan bahawa seorang penduduk Kelantan, Wan Mohd Zain Wan Hussin, maut selepas terkena peluru sesat pada malam Ahad lepas, apabila  pemberontak dipercayai melepaskan tembakan rambang di pusat pemeriksaan keselamatan di Tak Bai, sebuah daerah di wilayah Narathiwat, antara wilayah selatan Thailand yang bergolak.

Sejak tahun 2004, Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan pemisah di wilayah yang mempunyai ramai penduduk yang beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Konsul Jeneral Malaysia ke Thailand menggesa rakyatnya supaya berhati-hati apabila menyeberangi sempadan.

"Saya ingin memberi nasihat kepada rakyat Malaysia yang ingin memasuki Thailand supaya menggunakan dokumen sah. Ini penting untuk mengelakkan ditahan oleh pihak berkuasa mereka [Thailand], "kata Mohd Afandi Abu Bakar kepada BertitaBenar.

Tambang istimewa


Sementara itu, lima agensi pelancongan utama Thailand telah menyertai kempen promosi yang mempunyai pakej asas berharga 4,200 baht (AS$126). Para pegawai Malaysia menjangkakan bahawa rakyat Thailand turut mahu melawat pelbagai tarikan lain di Malaysia termasuk Genting Highlands, Cameron Highlands, Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Ipoh dan ibu negara, Kuala Lumpur.

"Jumlah sasaran pelancong Thailand ke Malaysia tahun ini adalah 1.8 juta orang," kata Iskandar Mirza M. Yusof, pengarah komunikasi korporat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kepada BeritaBenar. Angka itu menunjukkan sedikit peningkatan daripada 1.78 juta pelawat pada 2016 dan kira-kira separuh jumlah rakyat Malaysia yang melawat Thailand, 3.5 juta, menurut pegawai.

"Perjalanan kereta api itu secara terus ke Kuala Lumpur," kata Yusof sambil menambah bahawa pelancong boleh mengelak berhadapan dengan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Suthida Doloh, dari wilayah Yala, memberitahu BeritaBenar bahawa dia menikmati perjalanan kereta api dengan kawan-kawannya ke Kuala Lumpur pada April lepas.

"Ia pantas, hanya lima jam ke KL, mudah dan saya mempunyai pemandangan bandar bersejarah yang hebat. Amat menyeronokkan, dan saya ingin mengulanginya lagi, "kata Suthida.

Hadi Azmi dan Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.