Pemberontak ‘Belum Bersedia' Isytiharkan Zon Keselamatan, kata Ketua Perunding Thailand
2017.09.16
Bangkok & Pattani, Thailand

Dalam ulasan awam yang jarang dibuat mengenai proses damai Selatan Thailand, perunding utama kerajaan pada Sabtu menyalahkan pihak pemberontak di atas kelembapan proses itu, sambil menolak dakwaan bahawa kumpulan pemberontak paling kuat bukan sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam perbincangan itu.
Ulasan itu dibuat empat hari selepas perbincangan teknikal diadakan di Kuala Lumpur di mana kedua-dua pihak dikatakan telah membentangkan butiran mengenai gencatan senjata terhad yang diutarakan sejak perbincangan tinjauan dimulakan pada 2015.
"Orang Selatan Thailand mahu sangat mengambil bahagian dalam merangka langkah-langkah keselamatan itu kerana mereka merupakan pihak yang ada kepentingan langsung. [Tetapi] jika pemberontak tidak bersedia, peluang untuk memasukkan penyertaan masyarakat dalam proses itu akan tertangguh," kata Aksara dalam satu kenyataan yang diedar kepada wartawan.
"Walaupun kumpulan pemberontak belum bersedia untuk menentukan zon keselamatan berkenaan, pemerintah tetap mempunyai mandat untuk memastikan keselamatan di 37 daerah di Selatan Thailand. Ini kerana kerajaan sedar bahawa keselamatan rakyat perlu dijadikan suatu keutamaan," katanya.
Dalam ulasan seterusnya kepada BeritaBenar, Aksara menegaskan bahawa perbincangan itu masih dijalankan dan pasukan rundingan akan bertemu semula, walaupun beliau tidak menyatakan bila.
"Isu zon keselamatan akan ditangani dalam perbincangan delegasi penuh yang akan datang, saya belum mempunyai tarikhnya," katanya kepada BeritaBenar dalam satu temu bual menerusi telefon.
Beliau enggan menyatakan daerah mana yang dipilih Thailand bagi melaksanakan inisiatif itu daripada lima cadangan yang dikemukakan MARA Patani.
Tetapi beliau berkata, kemajuan telah dibuat mengenai pelaksanaan zon keselamatan berkenaan dalam perbincangan minggu lepas dan "pasukan teknikal belum memuktamadkan perkara itu."
Keganasan yang berterusan dan kurangnya hasil konkrit dalam perbincangan itu telah membawa kepada persoalan sama ada MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak dalam perbincangan itu, mempunyai kawalan terhadap para pejuang di lapangan terutamanya yang menganggotai kumpulan terbesar dan paling ganas, Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Apabila ia membuat penampilan awamnya yang pertama pada Ogos 2015, tiga ahli MARA Patani berkata mereka mewakili BRN. Aksara pada Sabtu pula menafikan dakwaan bahawa individu berkenaan tidak mempunyai pengaruh dalam kumpulan pemberontak.
"Ada yang mengatakan ahli BRN dalam MARA Patani bukan wakil mereka. Saya tidak bersetuju. Banyak orang penting BRN dimasukkan (dalam perbincangan itu), "katanya.
Satu sumber yang digambarkan sebagai anggota "kanan" BRN memberitahu Reuters dalam temu bual minggu ini bahawa wakil BRN dalam MARA Patani merupakan "bekas" anggota kumpulan rahsia itu.
Dan dalam kenyataan yang jarang dibuat pada April lalu, jurucakap BRN Abdulkarim Khalid memberitahu Asia Times bahawa "BRN tidak memainkan peranan dalam kumpulan induk MARA Patani."
Aksara berkata, Abdulkarim Khalid "hanya melayani agendanya sendiri," kerana beliau adalah seorang perunding dalam rundingan damai semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, yang berhenti beberapa bulan sebelum beliau digulingkan oleh rampasan kuasa tentera pada Mei 2014.
BRN berkata, ia bersedia untuk mengambil bahagian dalam perbincangan yang diperantarakan oleh masyarakat antarabangsa dan dilaksanakan tanpa merujuk kepada perlembagaan negara itu, yang menyatakan bahawa negara beraja itu tidak boleh dapat dipisahkan.
Hampir 7,000 orang telah terbunuh sejak 2004 dalam keganasan yang dikaitkan dengan gerakan pemisah di wilayah selatan Thailand iaitu Patani, Yala dan Narathiwat - kawasan yang merupakan sebahagian daripada kesultanan Melayu Islam sebelum diambil alih oleh Bangkok pada 1909.
Seorang anggota tentera Thailand dan seorang pegawai polis telah terbunuh manakala 26 yang lain termasuk orang awam cedera dalam kejadian pengeboman dan tembakan jalanan di wilayah Yala pada Khamis.
Pada Ogos, polis di wilayah Songhkla yang berdekatan telah menembak mati suspek pemberontak selepas tujuh lelaki mencuri trak pikap daripada pengedar kereta terpakai dengan tujuan menjadikannya bom kereta, kata polis. Suspek turut menahan empat orang sebagai tebusan, dan membunuh seorang daripada mereka dan mencederakan seorang lagi.
Pada Mei lalu, pemberontak meletupkan dua bom kereta berhampiran pasar raya Big C di bandar Patani, yang mencederakan lebih daripada 80 orang.