Thailand, MARA Patani Adakan Perbincangan Teknikal Gencatan Senjata

Razlan Rashid & Pimuk Rakkanam
2017.09.12
Kuala Lumpur & Bangkok
170912-TH-MY-talks-620.jpg Penyiasat Thailand memeriksa lokasi pengeboman kereta di luar pasar raya Big C di bandar Patani di Selatan Thailand, 10 Mei 2017.
[AFP]

Thailand dan sebuah panel yang mewakili kumpulan pemberontak dari Selatan Thailand  mengadakan perbincangan teknikal pada Selasa di Kuala Lumpur, yang memberi tumpuan kepada usaha untuk melaksanakan gencatan senjata terhad, tetapi pegawai dari kedua-dua pihak tidak menyatakan tentang perkembangan perbincangan itu.

Pada Februari lalu, delegasi kerajaan dan kumpulan pemberontak Thailand yang diwakili melalui panel induk MARA Patani bersetuju dengan rangka kerja bagi melaksnakan gencatan senjata – yang secara rasminya dikenali sebagai "zon keselamatan" - di satu daerah di wilayah sempadan bermasalah di selatan Thailand.

Enam bulan kemudian, kedua-dua pihak masih belum memutuskan daerah mana yang akan dipilih daripada lima daerah berpotensi untuk dilaksanakan gencatan senjata itu, yang bertujuan menamatkan konflik yang menyebabkan hampir 7,000 orang terkorban sejak 2004 di selatan Thailand yang majoriti penduduknya bertutur dalam bahasa Melayu dan beragama Islam.

"Ya, teknikal. Mesyuarat tertutup seperti biasa. Tiada kenyataan, "kata jurucakap MARA Patani Abu Hafez Al-Hakim kepada BeritaBenar pada Selasa.

Ketua perunding Thailand, Jeneral Aksara Kerdpol tidak menghadiri mesyuarat itu tetapi mengesahkan ia diadakan di ibu negara Malaysia, yang menjadi fasilitator bagi perbincangan damai tidak rasmi di antara kerajaan tentera Thailand dan MARA Patani sejak dua tahun lalu.

"Ia adalah mesyuarat teknikal .... Saya sedang menunggu laporan ...," kata Aksara kepada BeritaBenar.

Perbincangan mengenai rangka kerja gencatan senjata terhad itu pada Februari lalu menandakan satu kejayaan kerana buat pertama kalinya, kedua-dua pihak bersetuju untuk membincangkan isu zon keselamatan selepas mereka mengadakan beberapa perbincangan tinjauan di Malaysia sejak  2015.

Abu Hafez berkata perbincangan itu masih dijalankan.

"Ia belum selesai. Perlu diteruskan, penghujung bulan ini, "katanya.

Halangan


Pada Februari lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menghantar pasukan teknikal melawat kesemua lima daerah yang dipertimbangkan untuk gencatan senjata itu, dan kemudian melaporkannya kepada kumpulan kerja bersama yang terdiri daripada pegawai dari kerajaan Thailand dan MARA Patani.

Pegawai Thailand berkata pihak tentera akan melindungi perwakilan MARA Patani yang mengunjungi daerah berkenaan semasa tempoh perbincangan menjelang gencatan senjata.

Bagaimanapun, seorang pemerhati Thailand berkata, perbincangan teknikal bulanan itu berdepan halangan.

“Contoh yang ketara adalah kekebalan. Waran tangkap telah dikeluarkan terhadap beberapa ahli MARA Patani dan pihak Thailand enggan menyatakan secara bertulis untuk memberikan mereka kekebalan daripada pendakwaan sekiranya mereka menyeberang masuk ke Thailand berikutan sensitiviti undang-undang, "kata pemerhati itu kepada BeritaBenar.

"Perbincangan seorang sama seorang dilakukan sekali sebulan tetapi nampaknya ia tidak cukup kerap," kata pemerhati itu.

Keganasan tidak berkurangan


Walaupun perbincangan itu dilakukan, keganasan di Selatan Thailand tidak berkurangan.

Sejak Februari lalu, sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan 138 yang lain cedera dalam kejadian tembakan dan pengeboman di wilayah-wilayah paling selatan Thailand.

Serangan itu dipercayai dilakukan oleh pejuang tegar Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak paling berkuasa di selatan Thailand yang menentang perbincangan dilakukan dengan junta Thailand.

Pada Julai lalu, Aksara memberitahu satu temu bual yang jarang diadakan bahawa pihak Thailand berada di "peringkat akhir" untuk memilih satu daerah sebagai lokasi zon keselamatan. Beliau menolak spekulasi sama ada tiga pemimpin BRN yang bersama-sama MARA Patani sebagai sebahagian daripada pasukan perbincangan - Awang Jabat, Sukree Hari dan Ahmad Chuwol - benar-benar mewakili kedudukan dalam BRN.

Ahmad, yang berperanan sebagai penghubung di antara MARA Patani dan majlis pentadbiran BRN, merupakan sebab mengapa kerajaan Thailand masih lagi berbincang, menurut pemerhati itu.

"Thailand terus berbincang dengan MARA Patani kerana itu. Persoalannya adakah anda mahu berbincang dengan pemberontak  atau adakah anda mahu membiarkan keganasan terus berlaku?" katanya.

Walaupun BRN menduduki tiga kerusi dalam panel perbincangan itu, namun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10 April, jurucakapnya Abdulkarim Khalid nampaknya menolak perbincangan itu.

Satu panel yang berbincang bagi pihak pemberontak tidak mempunyai mandat untuk berbuat demikian dan Abdulkarim menuntut supaya BRN diberikan peranan langsung dalam perbincangan baru yang disaksikan dan diperantarakan oleh ahli-ahli komuniti antarabangsa yang tidak memihak, katanya tanpa menamakan MARA Patani.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.