Perunding Tertinggi Kerajaan Bagi Rundingan Damai Selatan Thailand Dipecat

Pimuk Rakkanam & Nani Yusof
2016.04.20
Bangkok & Washington
160420-my-th-nakrob-620 Imbasan kembali, Mej. Jen (kini Leftenan Jeneral) Nakrob Boonbuathong semasa ditemui wartawan BeritaBenar di ibu pejabat tentera di Bangkok, 26 Jun 2015.
BeritaBenar


Leftenan Jeneral Nakrob Boon Buathong, yang mempengerusikan panel kerajaan Thailand dalam usaha untuk memulakan semula rundingan damai dengan kumpulan pemisah bersenjata di selatan Thailand, telah dipecat daripada jawatannya itu, katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

"Saya telah dimaklumkan secara lisan bahawa saya telah dipecat daripada jawatan itu," kata Nakrob, sambil memberitahu bahawa beliau tidak tahu mengenai masa depan kerjayanya.

Pasukan perunding pihak kerajaan, yang telah dikurangkan kepada lapan ahli, akan mengambil alih tugas perundingan berkaitan dengan tuntutan, dan syarat yang ditetapkan oleh kedua belah pihak, kata Nakrob.

Tetapi mesyuarat tidak rasmi antara perunding kerajaan dan MARA Patani, sebuah panel yang mewakili puak pejuang pembebasan selatan Thailand, tetap akan diadakan minggu depan, kata  kedua-dua pihak itu. Ia akan menjadi mesyuarat yang pertama dengan kedua-dua pihak diwakili sepenuhnya sejak Ogos 2015.

Anggota pihak kerajaan yang terlibat dalam proses itu bertemu baru-baru ini untuk menyediakan prarundingan itu pada lewat April,  kata Mejar Jeneral Shinawatra Mandesh, Timbalan Komander dalam Rantau Ke-4, yang merangkumi Selatan Thailand, kepada BeritaBenar pada Selasa.

Jurucakap MARA Patani Abu Hafiz Al-Hakim berkata pada Rabu bahawa pihaknya sedang menunggu kerajaan Thailand menetapkan tarikh bagi mengadakan rundingan yang akan diadakan di Kuala Lumpur minggu depan.

Keganasan terbaru

MARA telah mengetahui tentang penyingkiran Nakrob sejak minggu lalu, kata Hafiz kepada BeritaBenar.

"Ia tidak akan memberi sebarang kesan yang besar, seperti yang kita jangkakan bahawa Terma Rujukan telah pun dipersetujui oleh kedua-dua pasukan teknikal, dan akan dibentangkan untuk kelulusan pasukan utama dialog pada mesyuarat lewat April,” kata Abu Hafiz .

Tetapi, beliau menganggap penyingkiran Nakrob sebagai "Sayang... kerana Nakrob sangat peramah dan memahami prosedur dalam proses rundingan damai itu."

Tidak ada penjelasan segera dibuat berhubung penyingkiran Nakrob, pemain utama kerajaan dalam usaha membawa keamanan sejak 2013.

Keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan di wilayah Yala, Patani, Narathiwat dan Songkhla di sempadan selatan Thailand telah meragut lebih 6,500 nyawa sejak konflik itu tercetus di rantau ini pada 2004.

Konflik tembak-menembak dan pengeboman yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang di Selatan Thailand dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah menimbulkan persoalan sama ada usaha damai di bawah kerajaan semasa, yang telah berlarutan berbulan-bulan tanpa hasil yang memuaskan, masih akan diadakan.

Dalam komennya kepada BeritaBenar pada 8 April lalu, Nakrob melahirkan keyakinannya bahawa pusingan rundingan berikutnya tetap akan diadakan.

"Keganasan itu tidak ada kena mengena dengan rundingan kerana, walaupun tiada perbincangan, mereka tetap melakukan keganasan juga," kata Nakrob.

Tekanan

Dalam komen awam pada masa sama, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha berkata panel dialog itu cuba mempercepatkan rundingan berkenaan. Bagaimanapun, pihak pemberontak  menggunakan keganasan untuk memberi tekanan kepada kerajaan.

“Mereka cuba memberi tekanan untuk mempercepatkan proses damai ini … kita memberitahu mereka, jangan sentuh perkara itu lagi kerana kita masih belum diiktiraf sepenuhnya (ahli MARA Patani) lagi ... sebagai ahli sebenar pertubuhan (pejuang pembebasan), " kata Prayuth pada sidang media pada 5 April lalu.

Beliau mengkritik media kerana liputan tentang serangan itu, dan berkata, "lebih banyak kita melaporkan, lebih banyak yang mereka suka."

“Setiap lima hari, setiap sepuluh hari, seperti meletakkan beban kepada kerajaan untuk mengenal pasti mereka," katanya, merujuk kepada serangan-serangan itu.

"Saya mengulangi di sini bahawa tiada siapa yang boleh memberi tekanan kepada saya. Dan jika mereka memberi tekanan kepada saya, saya akan menggunakan cara undang-undang untuk menjaga keselamatan rakyat dan membawa orang yang zalim ke muka pengadilan. "

Nakrob adalah satu-satunya orang dalam pasukan rundingan yang telah terlibat dalam usaha damai Selatan Thailand sejak ia pertama kali dilancarkan di bawah pentadbiran sebelumnya, Yingluck Shinawatra, pada 2013.

Beliau memahami bahasa Melayu yang digunakan di Selatan Thailand dan merupakan perunding yang paling memahami secara mendalam bagi aspek teknikal rundingan.

"Lt. Jen Nakrob telah menjadi setiausaha panel rundingan damai itu untuk tempoh masa yang panjang dan mempunyai pengalaman dari awal lagi sejak panel pertama (pada 2013) dan  mereka yang berpengalaman sahaja yang bersama-sama dengan  kerajaan. Sekarang dia dipecat, saya fikir akan ada beberapa masalah dari segi dasar bercakap, tetapi kita akan tunggu dan lihat,” kata Srisompob Jitpiromsri, Pengarah Deep South Watch, kepada Berita Benar.


Nasueroh di Patani, Thailand menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.