Mahkamah Penjarakan Ahli Ar Rayah Punyai Kaitan Pengganas
2018.09.27
Kuala Lumpur, Malaysia

Seorang rakyat Thailand, yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan militan dikenali sebagai Ar Rayah di Malaysia, dijatuhi hukuman penjara setahun pada Khamis setelah mengaku bersalah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara itu.
Nikok Nihe, 50, yang beralamat di daerah Pasir Puteh di negeri pantai timur Kelantan yang bersempadan dengan Thailand, ditangkap pada 31 Ogos lalu.
Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, peniaga itu didakwa tinggal melebihi tempoh dibenarkan di daerah Pasir Mas mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, hakim itu memerintahkan Nikok dipenjara setahun bermula bermula dari tarikh dia ditangkapan dan mengarahkannya dihantar pulang ke negara asalnya selepas menamatkan hukuman itu.
Nikok, yang kelihatan tenang semasa prosiding itu, tidak diwakili peguam. Tiada seorang pun ahli keluarganya berada di mahkamah.
Terdahulu, dia tiba di mahkamah dengan dikawal ketat oleh pegawai unit anti-pengganas dan unit ancaman ekstremisme Polis Kelantan.
Pegawai penyiasat memberitahu mahkamah bahawa isteri Nikok, yang kini berada di Patani, selatan Thailand, telah dimaklumkan mengenai prosiding mahkamah itu pada Khamis.
Nikok adalah antara lima orang yang dikaitkan dengan keganasan dan ditahan di bawah undang-undang anti-keganasan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, kerana menjadi anggota kumpulan militan WhatsApp yang dikenali sebagai Ar-Rayah.
Rancang keganasan
Kumpulan itu dilaporkan merancang untuk menimbulkan masalah di tempat-tempat hiburan dan lokasi yang mempunyai kaitan dengan maksiat di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.
Siasatan awal menunjukkan rakyat Thailand itu berhubungan dengan individu yang dikenali sebagai ‘Tok Serban’ di Facebook tiga bulan yang lalu, serta menyatakan hasratnya untuk membantu umat Islam yang ditindas, anak yatim dan ibu tunggal di Patani.
Nikok berminat dengan cadangan Tok Serban dan memberikan nombor telefon bimbitnya yang kemudian dimasukkan dalam senarai ahli kumpulan WhatsApp Ar-Rayah.
Maklumat polis menunjukkan bahawa Nikok dipercayai menganggotai kumpulan pemisah di selatan Thailand. Menurut sumber, kumpulan itu tidak terlibat dalam rundingan damai selatan Thailand yang diusahakan oleh Malaysia.
Selepas prosiding mahkamah itu, Nikok dibawa ke penjara Machang, Kelantan.
Awal bulan ini, BeritaBenar melaporkan bahawa anggota sel itu merancang untuk melancarkan serangan ke atas tempat hiburan dan lokasi yang berkaitan dengan maksiat termasuk yang sering dikunjungi transgender.
"Suspek (Nikok) juga ditugaskan untuk mempengaruhi ahli kumpulan untuk menyumbangkan wang bagi membeli senjata api dan peluru," kata Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 14 Sept.
Polis merampas lima bom asap semasa melakukan serbuan yang dikaitkan dengan kumpulan Ar Rayah.
Sumber berkata, pihak berkuasa tidak mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Nikok bagi pertuduhan kegiatan keganasan, menyebabkan dia hanya dituduh di bawah Akta Imigresen.
Sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan.
Pemberontakan puak pemisah yang dilancarkan oleh pemberontak berbangsa Melayu sejak beberapa dekad lalu telah mencengkam kawasan selatan Thailand yang didominasi penduduk beragama Islam, yang terletak di sepanjang sempadan utara Semenanjung Malaysia.
Kerajaan baru Malaysia pada Ogos lepas telah melantik bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor, untuk menerajui usaha Malaysia bagi menamatkan konflik itu yang telah meragut lebih 6,500 nyawa sehingga kini.