Pegawai Thai, Kumpulan Pemisah Selatan Bertemu di Malaysia

Razlan Rashid
2016.04.27
Kuala Lumpur
160427-my-th-peace-talk-620 Anggota skuad bom Thailand memeriksa kawasan berlakunya serangan keatas sebuah kenderaan di wilayah selatan Narathiwat, April 21, 2016.
AFP

Satu delegasi Thai bertemu pada Rabu di Kuala Lumpur dengan perunding yang mewakili kumpulan pemisah bersenjata Selatan Thailand dalam usaha untuk menyambung semula rundingan damai rasmi, jurucakap pihak pemisah memberitahu BeritaBenar.

"Mesyuarat itu berakhir tanpa sebarang perkembangan selanjutnya. Saya akan komen esok," Abu Hafiz Al-Hakim, jurucakap MARA Patani berkata, sambil mengesahkan mengenai rundingan damai pada Rabu itu.

MARA Patani merupakan panel yang mewakili pelbagai kumpulan pemisah bersenjata di wilayah sempadan selatan Thailand.

Bagaimanapun, pihak kerajaan Thailand tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen.

Mesyuarat yang  diusahakan oleh pihak kerajaan Malaysia adalah yang pertama sejak kedua-dua pihak bertemu di ibu negara Malaysia pada November untuk membincangkan langkah teknikal ke arah meneruskan rundingan damai secara rasmi buat pertama kali sejak Disember 2013, apabila kerajaan awam mula memerintah Thailand.

Pada Ogos lepas, satu delegasi yang mewakili kerajaan tentera yang memerintah Thailand buat kali pertama di Kuala Lumpur bertemu dengan MARA Patani, apabila badan induk yang baru ditubuhkan diumumkan kepada awam.

"Tidak ada kenyataan daripada saya hari ini. Terima kasih, " fasilitator Malaysia Ahmad Zamzamin Hashim memberitahu BeritaBenar.

Kol. Kasturi Mahkota, pemimpin Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), salah satu kumpulan pemberontak yang mewakili MARA Patani, tidak hadir pada mesyuarat itu. Beliau memberitahu BeritaBenar bahawa beliau belum lagi mendapat sebarang maklumat lanjut mengenai pertemuaan itu.

Mesyuarat itu diadakan ketika Selatan Thailand menghadapi cabaran keganasan sejak kebelakangan ini.

Pada hari Isnin, tembakan dan dua serangan bom telah menyebabkan tiga orang mati dan sekurang-kurangnya 20 cedera. Sejak 10 Februari sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam serangan yang dipercayai dilakukan pemberontak selepas pasukan keselamatan Thai menyerbu tempat persembunyian pemberontak di Pattani, satu daripada wilayah di selatan negara itu.

Mesyuarat itu juga diadakan beberapa hari selepas perunding kerajaan ditamatkan daripada tugasnya.

Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha berkata, Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong telah dilucutkan daripada jawatan sebagai perunding, dan ini merupakan perkara rutin. Nakrob dianggap sebagai orang utama di dalam pasukan kerajaan Thai yang terlibat sejak 2013 dalam usaha perundingan damai di Selatan Thailand itu.

Sejak konflik tercetus semula pada tahun 2004, lebih 6,500 orang telah terbunuh dalam keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan pemisah di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

 

Hata Wahari di Putrajaya turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.