Perbincangan Damai Dengan Pemberontak Selatan Diteruskan: Ketua Perunding Thailand
2017.11.02
Bangkok & Pattani

Perbincangan dua tahun dengan pemberontak Selatan akan diteruskan walaupun laporan menunjukkan bahawa proses damai itu mungkin dilengah-lengahkan, kata ketua perunding Thailand pada Rabu.
Tetapi, pemberontak di Selatan Thailand yang bergolak memberitahu BeritaBenar bahawa serangan pemberontakan tetap akan berlaku, walaupun perbincangan diadakan bagi melaksanakan gencatan senjata terhad di wilayah itu.
Aksara Kerdpol, ketua perunding kerajaan, menyalahkan media tempatan kerana menyebabkan kekeliruan orang ramai selepas delegasi yang dipimpinnya dan wakil MARA Patani, sebuah panel yang mewakili kumpulan pemberontak di Selatan Thailand, pada September lalu gagal menyelesaikan percanggahan pendapat mengenai mewujudkan "zon keselamatan" atau kawasan bagi gencatan senjata terhad.
"Saya mengesahkan bahawa perbincangan damai sedang berjalan, tiada masalah. Pihak satu lagi juga tidak mempunyai masalah dengannya," kata Aksara, jeneral tentera bersara, kepada BeritaBenar dalam temu bual telefon. "Laporan atau analisis media dalam beberapa minggu kebelakangan ini adalah berdasarkan maklumat yang sudah lapuk."
Beliau mengetuai pasukan yang mewakili junta Thailand dalam perbincangan damai dengan MARA Patani, yang diusahakan Malaysia sejak 2015, tetapi kedua-dua pihak itu masih belum melaksanakan gencatan senjata selepas beberapa mesyuarat tertutup diadakan di Kuala Lumpur.
Ini menyebabkan beberapa pemerhati mempersoalkan sama ada ahli panel MARA dapat mengawal kumpulan pemberontak di Selatan Thailand, dan sama ada mereka benar-benar mewakili pangkat dan kumpulan kumpulan pemisah seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak yang paling berkuasa. Siri perbincangan yang diadakan juga tidak menghentikan keganasan di wilayah itu.
'Kaedah lain sekadar lakonan'
Pada Rabu, seorang militan selatan yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Sulaiman’ berkata, kumpulannya telah menerima arahan untuk terus melakukan serangan terhadap pasukan keselamatan.
"Kami mempunyai kelebihan untuk mencapai matlamat kami mendapatkan kemerdekaan. Kami menerima arahan untuk meneruskan serangan tanpa mengira usaha mewujudkan zon keselamatan," katanya kepada BeritaBenar dalam satu wawancara telefon. "Kadang-kala alam melarang perkara ini, jadi kami berhenti sekejap. Masih ada sasaran untuk diserang. "
"Secara peribadi saya berasakan perjuangan bersenjata ini adalah satu-satunya cara untuk berjuang. Kaedah lain sekadar lakonan, ” katanya. "Tidak ada cara lain untuk membuatkan kerajaan melayani orang awam sebagai manusia kecuali dengan melakukan keganasan."
Abu Hafez Al-Hakim, jurucakap MARA Patani yang berpejabat di Malaysia, semasa dihubungi mengesahkan yang perbincangan damai itu masih berjalan dan diteruskan.
"Walaupun tidak ada perbincangan melalui fasilitator, tetapi komunikasi dan perbincangan tetap berjalan kerana kita sedang membuat persiapan untuk 'zon keselamatan' dan pihak Thai pula sibuk dengan upacara pengkebumian diraja," katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.
Pada September, beliau menegaskan dalam temu bual dengan BeritaBenar bahawa BRN terlibat dalam usaha damai yang dijalankan sekarang.
"Awang Jabat ialah pengerusi MARA Patani ... Shukri Haree adalah ketua pasukan dialog manakala Ahmad Chuwo juga berada di dalam pasukan dialog. Kesemua mereka adalah anggota BRN, "katanya ketika itu.
'Ia akan bersetuju mengenai zon keselamatan'
Pada Februari, kerajaan Thailand mengumumkan bahawa ia telah mencapai perjanjian dengan MARA Patani. Perjanjian itu akan melibatkan rangka kerja bagi mewujudkan zon keselamatan atau gencatan senjata di satu daerah di Selatan Thailand.
Laporan media tempatan mempersoalkan tentang kemajuan proses damai itu setelah kedua-dua pihak gagal memuktamadkan perjanjian semasa perbincangan diadakan di Kuala Lumpur pada September.
Aksara memberitahu BeritaBenar pada Rabu bahawa pasukan teknikal bersama Thailand telah memilih satu daerah bagi melaksanakan zon keselamatan itu.
Tetapi beliau enggan memberitahu nama daerah itu atau mendedahkan tarikh pertemuan berikutnya dengan pemberontak.
"MARA Patani masih berunding dengan kami dan ia akan bersetuju dengan zon keselamatan itu," katanya.
Sementara itu, keganasan maut di Selatan Thailand, yang mempunyai ramai penduduk Islam yang berbahasa Melayu, semakin reda.
Di antara Oktober 2016 dan September 2017, seramai 233 anggota tentera, polis dan sukarelawan pertahanan telah terbunuh dalam serangan bom di tepi-tepi jalan dan serangan pemberontak di Selatan Thailand, menurut pejabat serantau Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman Thailand (ISOC).
Pemberontakan puluhan tahun itu kembali berleluasa pada 2004, ketika pemberontak melancarkan serangan untuk menentang pemerintahan Buddha di wilayah sempadan selatan Thailand.
Dalam tempoh 13 tahun yang lalu, hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam kejadian pengeboman dan tembakan di wilayah-wilayah yang merupakan sebahagian daripada kesultanan Melayu Islam sebelum ia diambil alih oleh Bangkok pada 1909.