NGO Gesa Thailand Lindungi Pelarian, Mangsa Pemerdagangan Rohingya Dengan Lebih Baik

Nontarat Phaicharoen
2016.06.09
Bangkok
160609-my-th-trafficking620 Pelarian-pelarian Rohingya yang menaiki bot yang terapung di Laut Andaman dekat perairan Thailand, melompat ke dalam laut untuk mengutip bekalan makanan yang dijatuhkan oleh sebuah helikopter Tentera Thailand, 14 Mei 2015.
AFP

Sekumpulan NGO mengadakan ulang tahun krisis penghijrahan Laut Andaman 2015 dengan menggesa Thailand supaya menamatkan "penahanan sembarangan dan tidak menentu" terhadap pelarian dari Myanmar yang mendarat di pantai negara itu sebelum ini, dan melakukan lebih banyak lagi usaha untuk melindungi mangsa dan saksi penyeludupan manusia.

"Dasar dan amalan Thailand terhadap pelarian Rohingya meletakkan risiko terhadap nyawa mereka dan ini perlu ditangani segera," kata Amy Smith, pengarah eksekutif Fortify Rights, satu daripada enam NGO yang mengeluarkan kenyataan bersama selepas mengadakan forum sehari di Bangkok pada Rabu.

"Kerajaan Thailand perlu memastikan perlindungan untuk pelarian dan mangsa pemerdagangan manusia Rohingya dilakukan tanpa berlengah lagi."

Lebih setahun selepas hampir 3,000 umat Islam Rohingya dari Myanmar dan migran tanpa izin Bangladesh mendarat di Thailand, Malaysia dan Indonesia pada Mei 2015, setelah penyeludup manusia  meninggalkan mereka di lautan, pelarian Rohingya masih ditahan di pusat tahanan dan pusat perlindungan yang dikendalikan kerajaan Thailand, kata 12 NGO itu  yang memperjuangkan hak asasi manusia dan hak-hak untuk pekerja  dan pelarian asing.

Krisis itu bertambah buruk apabila pihak berkuasa Thailand melancarkan operasi terhadap pemerdagangan manusia dan mengenakan sekatan maritim terhadap bot-bot penyeludup yang cuba menghampiri pantai Andaman Thailand.

Tindakan keras dan sekatan itu dilakukan susulan penemuan kubur-kubur mengandungi sekurang-kurangnya 36 mayat orang yang tidak mempunyai dokumen di dalam hutan di bahagian Thailand yang bersempadan dengan Malaysia.

Sembilan puluh dua suspek termasuk seorang jeneral Thailand sedang didakwa kerana memerdagangkan manusia di Thailand susulan tindakan keras itu. Perbicaraan mereka adalah kes pemerdagangan manusia yang terbesar dalam sejarah Thailand.

"Ia melegakan apabila Thailand mengambil langkah-langkah untuk memerangi rangkaian besar pemerdagangan manusia yang telah sekian lama memerangkap pelarian Rohingya yang terdesak," kata Siwawong Sukthawee dari  Migrant Working Group (MWG),  satu daripada  penganjur forum itu,  dalam kenyataan bersama itu.

"Tetapi, ini belum mencukupi. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk melindungi mangsa. Dalam banyak cara, krisis ini masih berterusan, " kata Siwawong.

Ketika dihubungi BeritaBenar pada Khamis, Leftenan Jeneral Nattathorn Phrohsunthon, ketua Polis Imigresen Thailand, enggan mengulas mengenai kritikan yang terkandung dalam kenyataan bersama NGO itu.

Tetapi, jurucakap junta Thai memberi maklum balas ringkas mengenainya.

"Kerajaan memahami masalah ini dengan baik. Kami akan mengumpulkan agensi-agensi yang terlibat dan mengeluarkan  kenyataan akhbar nanti. Biarlah kami mengadakan mesyuarat dahulu, " kata Mejar Weerachon Sukhontapatipak kepada BeritaBenar.

Silap klasifikasi

Dalam kenyataan mereka, NGO berkenaan merujuk kepada resolusi yang diterima pakai oleh kabinet Thailand pada 15 Mac,  yang jika dilaksanakan, akan memberi status perlindungan undang-undang untuk mangsa penyeludupan manusia dan memberikan perlindungan rasmi kepada saksi yang memberi keterangan dalam perbicaraan pemerdagangan manusia.

Pada mulanya, NGO menyambut baik berita tentang resolusi itu tiga bulan yang lalu, tetapi kini mereka menyuarakan kebimbangan kerana kerajaan belum lagi melaksanakan peruntukan berkenaan, menurut kenyataan bersama itu.

Sehingga Disember 2015, Kementerian Kehakiman Thailand telah menyediakan perlindungan saksi rasmi kepada hanya 12 daripada kira-kira 500 saksi yang dijangka memberi keterangan pada perbicaraan kesemua 92 defendan itu, kata Fortify Rights.

Pelarian Rohingya telah melarikan diri daripada penindasan agama di Myanmar terutamanya oleh rakyatnya yang beragama Buddha, di mana minoriti Muslim ini tidak diiktiraf sebagai warganegara.

Menurut Papop Siamhan, penyelaras anti-penyeludupan di Human Rights and Development Foundation (HRDF), pihak berkuasa Thailand telah silap mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin.

"Kebanyakan Rohingya telah diperdagangkan oleh beberapa kumpulan orang - broker perdagangan manusia. Tetapi, polis dan peguam negara mendokumenkan kes itu seolah-olah mereka hanyalah pendatang haram. Mahkamah diminta melihat kes-kes seperti ini sebagai penghijrahan haram semata-mata," kata Papop pada forum itu Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.