Polis Bongkar Sindiket Minta Derma Masjid Selatan Thailand

Hata Wahari & Fairul Mazlan
2017.06.07
Kuala Lumpur & Alor Setar
170607-my-th-derma-620.jpg Penduduk Islam Thailand menunaikan solat di sepanjang bulan Ramadan di wilayah selatan Thailand, Narathiwat, 29 Jun 2015.
AFP

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak berjaya menyelamatkan lima lelaki warga Thailand yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk meminta derma bagi pembinaan sebuah masjid di Narathiwat, selatan Thailand.

Dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tanjung Rambutan, Perak pada lewat malam Selasa, Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 36 tahun yang disyaki menjadi penjaga kepada kesemua mangsa.

“Polis juga sedang mencari  suspek kedua dikenali sebagai Pok Teh yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan, beliau dipercayai aktif beroperasi menjalankan kegiatan mengutip derma di sekitar Lembah Klang bagi tujuan pembinaan sebuah masjid di Narathiwat,`` kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Gan Tian Kee dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, serbuan di rumah itu telah menyelamatkan empat mangsa manakala seorang lagi diselamatkan di kawasan lain pada tengahari Selasa. Kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 28 tahun dan telah dipaksa meminta sedekah sejak dibawa masuk ke Malaysia.

Katanya, polis telah menahan mangsa pertama di Gunung Rapat sekitar pukul 3.50 petang bersama beberapa dokumen serta buku resit bertujuan untuk meminta sedekah bagi pembinaan Masjid Nurul Huda di Narathiwat.

Susulan daripada itu, mangsa telah memaklumkan kepada pihak polis mengenai empat lagi rakannya yang ditempatkan di sebuah rumah bersama seorang penjaga.

Kesemua mangsa berasal dari Narathiwat dan dipercayai meminta sedekah di sekitar  Ipoh termasuk di bazar-bazar Ramadan bagi membantu dalam pembangunan masjid tersebut.

Sementara itu, Abdulrahman Abdulzamad, President Jawatankuasa Islam Selatan Thailand ketika dihubungi memberitahu Jawatankuasa Islam Thai tidak pernah membenarkan mana-mana rakyat Thai yang beragama Islam meminta sedekah terutamanya di Malaysia.

“Kami tidak pernah menghantar sesiapa untuk mengumpul dana di Malaysia,” katanya kepada BeritaBenar sambil memberitahu pihaknya masih belum dimaklumkan mengenai kes tersebut.

“Kami tidak tahu mengenai orang-orang ini. Dan Jawatankuasa Islam Selatan Thailand tidak mengenali mereka,” katanya.

Polis cari Pok Teh

Tian Kee memberitahu, Pok Teh dipercayai mengupah suspek yang ditahan itu sebanyak RM2,000 untuk menjaga kelima-lima mangsa.

“Siasatan mendapati, kesemua mangsa yang berasal daripada keluarga miskin mengaku meminta derma di sekitar bandar Ipoh untuk masjid di Narathiwat,”  tambah beliau.

Ujarnya, mangsa juga mengaku telah dijaga oleh lelaki tersebut dan diberi upah RM20 sehari sekiranya dapat mengutip derma sebanyak RM100 dan sekiranya gagal, mereka tidak akan diberi makan.

"Mereka berasal dari keluarga miskin dan masuk ke Malaysia dengan dibawa oleh Ustaz yang juga dikenali sebagai Pok Teh melalui Padang Besar, Perlis dengan menaiki sebuah kereta. Siasatan mendapati mangsa sudah berada di Ipoh sejak lebih 11 bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan semalam polis merampas sebuah kereta jenis Volvo, wang tunai berjumlah RM924 [AS$217], lima telefon bimbit dan beberapa peralatan digunakan untuk mengutip derma termasuk empat buku catatan kutipan derma, lima pasport, empat beg hitam untuk simpan wang kutipan derma dan resit kuning kutipan derma atas nama Masjid Nurul Huda.

Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Pemandu pelancong Thailand dihukum 28 bulan


Sementara itu di Mahkamah Tinggi Alor Setar, seorang pemandu pelancong warga Thailand dihukum penjara 28 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyeludup dua migran wanita pada September tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li membuat keputusan itu ke atas Bueraheng Tohsatu, 46, dengan hukuman berjalan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 2 September tahun lalu.

Buaraheng dituduh menggunakan kenderaan pacuan empat roda model Mitsubishi Triton dengan nombor pendaftaran Thailand yang telah mengangkut dua migran wanita warga Thailand, Bungorn Somnoi, 50 dan Punyanuch Babpimai, 31.

Rakyat Thailand itu dituduh melakukan kesalahan itu di kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara Malaysia kira-kira jam 7 pagi pada 2 September 2016.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen, Fazril Sani Mohamed Fadzil, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hezeri Harun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Sempadan Malaysia-Thailand


Malaysia telah menjadi bahan berita utama bagi aktiviti penyeludupan manusia terutamanya di Kedah dan Perlis, iaitu dua negeri yang bersempadan dengan Thailand.

Pada Mei 2015, Ketua Polis Negara Malaysia telah mengumumkan penemuan lebih 130 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian dimana sebanyak 106 mayat dijumpai yang dipercayai daripada kalangan etnik Rohingya dan Bangladesh.

Kesemua mayat itu di temui di kem tahanan haram di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, yang terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Manakala, sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan pula sering digunakan oleh penyeludup untuk aktiviti penyeludupan rentas sempadan termasuk kes pengedaran dadah, senjata api, manusia dan komoditi seperti beras, yang menjadi makanan ruji negara itu.

Pada April lalu, Kerajaan Malaysia dan Thailand bercadang membuka pintu sempadan 24 jam sehari bagi kedua-dua negara, dan kedua pihak secara dasarnya telah bersetuju dengan perlaksanaan itu.

Rapee Mama di Selatan Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.