Doktor bangkitkan kemarahan dengan tawaran poligami untuk lelaki Selatan Thailand
2022.10.24
Pattani, Thailand

Sekumpulan wanita Muslim di Selatan Thailand mengecam seorang doktor kerana mempromosikan perkhidmatan dalam talian untuk membantu lelaki tempatan mencari jodoh sehingga menambah tiga isteri lagi, dengan menyatakan bahawa amalan berpoligami itu tidak mengikut sunnah Rasulullah.
Waemahadi Wae-dao, seorang doktor dan bekas ahli parlimen dari wilayah sempadan Selatan Thailand, yang kebanyakan penduduknya beragama Islam, menolak kecaman ramai mengenai perkhidmatan berbayarnya sebagai pencari jodoh. Menurutnya, beliau berniat baik dan mahu membantu lelaki mencari jodoh mengikut amalan Islam, yang membenarkan seorang lelaki mempunyai sehingga empat isteri.
Wae, yang turut mempunyai empat isteri, menyediakan perkhidmatan itu dengan mengiklankannya di laman Facebook beliau. Matlamatnya adalah untuk menghapuskan hubungan sulit luar nikah dan membantu kedua-dua pihak mencari pasangan yang baik dan sepadan di Selatan Thailand, iaitu wilayah yang sebahagian besarnya miskin dan dilanda pemberontakan serta bersempadan dengan Malaysia. Beliau mengenakan bayaran sebanyak AS$350 (13,300 baht) kepada lelaki yang berjaya mendapatkan pasangan.
“Ini menyebabkan saya menerima banyak kritikan dalam talian – ada komen yang sopan dan ada juga yang kasar. Namun, saya tidak begitu kisah tentangnya. Saya menganggap ia sebagai karut,” katanya kepada BenarNews.
Imam diwajibkan melaksanakan pernikahan sedemikian kerana dalam Islam seorang lelaki boleh mengahwini empat wanita asalkan beliau dapat memberi nafkah yang saksama kepada setiap keluarganya itu.
Wae menggunakan amalan yang sudah lapuk bagi dunia masa kini, kata Anchana Heemina, presiden Kumpulan Duay Jai (Bersama Jiwa), sebuah NGO Thailand, kepada BenarNews.
“Beliau melihat dari sudut prinsip agama dan keperluan bagi mereka yang ingin berkahwin lebih daripada seorang. Tetapi, beliau mengabaikan sebab mengapa berkahwin dengan empat wanita dibenarkan pada masa lalu berbanding dengan amalan prinsip ini dalam konteks masa kini,” kata Anchana.
Poligami hanya digalakkan dalam Islam apabila "wanita ditindas atau menjadi yatim", dan keadilan boleh dilakukan dengan berkahwin lebih daripada seorang, katanya.
"Sekiranya kita mengikut semua prinsip ini, maka sepatutnya balu dan wanita miskin yang dipilih tanpa mengira penampilan, bentuk tubuh atau pendidikan mereka, yang mana mungkin tidak berlaku."
'Lelaki mengejar nafsu'
Anchana berkata perkhidmatan mencari jodoh Wae memerlukan wanita untuk menggambarkan status, pendidikan, penampilan, ketinggian dan berat mereka "seolah-olah mereka perlu bersaing untuk dipilih oleh lelaki."
Beliau dan lima wanita lain di Selatan Thailand yang ditemu bual oleh BenarNews berkata mereka menentang lelaki mengahwini empat wanita, dan memberitahu bahawa kebanyakan lelaki menggunakan asbab bahawa Nabi Muhammad saw membenarkan amalan itu.
Ramai daripada lelaki ini tidak mampu memberikan sokongan kewangan dan emosi kepada wanita yang mereka nikahi, seperti mana yang diarahkan Rasulullah, kata wanita berkenaan.
Habsoh, 17, penduduk wilayah Pattani yang belum berkahwin, berkata media sosial termasuklah catatan dalam laman Facebook Wae, menarik perhatian kepada sesuatu yang telah disembunyikan sejak bertahun-tahun lamanya.
“Lelaki lebih mengejar hawa nafsu daripada mengikuti contoh-contoh baik Rasulullah. Tidak ada cacat celanya pada cara Rasulullah. Ia bagus, dan tiada ragu langsung tentang perkara itu,” kata Habsoh.
Beliau meminta BenarNews menggunakan nama pertamanya atas faktor privasi.
“Tetapi, lelaki-lelaki ini secara semberono memilih untuk mempunyai empat isteri dengan alasan Rasulullah membenarkannya, sedangkan mereka tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana isteri mereka.
“Mereka tidak memberikan sokongan kewangan dengan betul, atau memperuntukkan masa dan kasih sayang secara sama rata,” katanya, sambil mendakwa bahawa sesetengah lelaki yang mempunyai lebih daripada seorang isteri turut menyuruh isteri mereka bekerja untuk menyara kehidupannya.
Ada banyak kes seperti ini berlaku di tempat tinggalnya, dakwa Habsoh.
"Wanita yang sarat mengandung perlu bekerja di ladang getah dan membesarkan anak-anak kecil manakala lelaki tinggal di rumah dan menjalani kehidupan yang santai," kata Habsoh.
Program pelbagai langkah demi cinta
Wae, yang pernah mewakili kawasan parlimen di wilayah Narathiwat, berkata beliau mempromosikan "khidmat mencari jodoh" pada tahun ini selepas pandemik COVID-19 kian berkurangan.
Semasa bekerja sebagai doktor, ahli politik, ahli perniagaan dan pekerja sosial di bahagian lain di negara itu, Wae berkata beliau melihat orang ramai bergelut mencari pasangan, yang menyebabkan beliau berusaha mencari penyelesaian bagi hati yang kesepian.
Menurutnya, beliau menerima permohonan daripada lebih 1,700 orang. Ramai lelaki mencari isteri pertama mereka tetapi kira-kira 170 pelanggan lagi mahu menambah pasangan mereka.
“Pertama, lelaki dan wanita tidak boleh hidup bersama tanpa nikah menurut agama kita; kedua, terdapat sebilangan besar wanita yang belum berkahwin berumur di antara 27 dan 35 tahun; dan ketiga, lelaki menghadapi cabaran dalam mencari wanita yang baik untuk dinikahi,” kata Wae.
Wae berkata beliau telah merangka pelan pelbagai langkah yang merangkumi pencarian pasangan dengan "padanan yang serasi" dan memperkenalkan mereka kepada satu sama lain; menganjurkan panggilan video antara kedua-duanya dengan kehadiran kakitangan; mengadakan janji temu untuk pasangan bertemu bersama pengiring; mengemukakan cadangan perkahwinan secara rasmi; serta menganjurkan majlis perkahwinan.
"Beberapa masalah yang mereka hadapi ialah adanya lebih ramai wanita berbanding lelaki, dan kadang-kadang wanita tidak okay dengan poligami," kata Wae. “Percanggahan pendapat berpunca daripada salah faham dan pengalaman buruk dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab, cuai dan tidak adil.”
Semasa BenarNews menemu bual pencari jodoh itu pada awal bulan ini, dua majlis perkahwinan telah dirancang dalam beberapa minggu akan datang untuk pasangan yang telah dipadankannya. Kedua-dua pengantin lelaki sudah pun mempunyai isteri.
Abdul, penduduk wilayah Yala yang meminta nama penuhnya tidak digunakan, berkata beliau mempunyai dua isteri tetapi mengakui cintanya untuk mereka berdua tidak sama rata.
“Penyelesaian saya ialah jangan biarkan kedua-duanya bertemu. Jika itu berlaku, maka perang akan tercetus,” kata Abdul kepada BenarNews.
Menurutnya beliau bersetuju bahawa tidak mungkin bagi seorang lelaki untuk menyediakan semuanya secara adil dan sama rata bagi kesemua isterinya.
"Tidak mungkin ada cinta yang sama untuk kedua-duanya, tetapi saya mahu bersama kedua-duanya," kata Abdul.
“Saya tahu isteri pertama hidup dengan tangisan air mata, tetapi dia mesti mematuhinya kerana agama membenarkan perkara ini. Jadi, dia perlulah reda menerimanya.”