Rundingan damai kerajaan Thai, BRN disambung semula selepas setahun tertangguh
2024.02.06
Kuala Lumpur

Rundingan damai antara wakil kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) disambung semula di Kuala Lumpur pada Selasa selepas tertangguh setahun susulan pilihan raya Thailand dan kelewatan membentuk kerajaan baharu.
Rundingan dua hari itu adalah yang pertama kalinya diketuai oleh ketua perunding baharu yang dilantik dari kalangan orang awam mewakili pentadbiran Bangkok, Chatchai Bangchuad yang optimis terhadap peluang baik dan kemajuan dalam rundingan kali ini.
“Prinsip-prinsip asas rundingan adalah sama seperti sebelum ini yang bermula untuk menamatkan keganasan, mengadakan perundingan awam dan mencari solusi politik.
“Kami akan teruskan rundingan seperti sebelum ini… Kami percaya terdapat peluang yang baik untuk kemajuan. Pertemuan ini adalah mengenai memahami prinsip dengan jelas,” katanya kepada media di Kuala Lumpur.
Chatchai yang dilantik Perdana Menteri, Sretta Thavisin untuk berunding dengan BRN, bertemu dengan Anas Abdulrahman pada Selasa, wakil puak pemisah yang sekian lama mengawal hampir semua pejuang di wilayah selatan negara itu yang penduduknya bertutur Bahasa Melayu.
"Seperti yang dinyatakan pagi ini, JCPP [Pelan Komprehensif Bersama Menuju Damai] akan dipertimbangkan. BRN akan mempertimbangkan butiran selanjutnya dengan teliti, dan kedua-dua pihak akan menyemaknya.
"Esok, kita sepatutnya mendapat keputusan yang lebih jelas. Sama ada akan ada kenyataan bersama, kita perlu bertanya kepada fasilitator.
"Kami menghabiskan banyak masa sejak pagi, selaras dengan objektif kami. Saya berpuas hati dengan hari pertama rundingan," kata Chatchai kepada media selepas pertemuan hari pertama itu.
Fasilitator Malaysia Zulkifli Zainal Abidin (kiri) bersama pegawai berjalan menuju ke bilik perbincangan Rundingan Damai Selatan Thailand di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 6 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Tahun lalu di Kuala Lumpur, proses rundingan yang pertama kali dikendalikan oleh bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Zulkifli Zainal Abidin yang memainkan peranan sebagai fasilitator telah membawa kepada persetujuan BRN menerima kumpulan-kumpulan lain dilibatkan dalam rundingan damai itu.
Rundingan pada Februari 2023 juga menyaksikan pembentukan Pelan Komprehensif Bersama Menuju Damai (JCCP) yang bertunjang tiga titik persamaan- perundingan awam, mengurangkan keganasan dan penyelesaian politik.
Pada Selasa, delegasi BRN yang diketuai oleh Anas Abdulrahman bersama enam lagi dengan kesemuanya berpakaian baju melayu dan bersongkok semasa hadir di meja rundingan tidak bercakap kepada media tetapi dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai hasil rundingan selama dua hari itu pada Rabu.
Dalam pada itu, menurut sumber pemerhati yang hadir dalam rundingan tersebut, perbincangan dilihat berjalan lancar walaupun ada ketikanya suasana menjadi sedikit tegang.
“Itu perkara biasa semasa rundingan. Masing-masing cuba mengetengahkan pandangan mereka,” kata sumber.
Anas Abdulrahman, ketua delegasi rundingan damai Barisan Revolusi Nasional berpakaian baju melayu dan songkok menunjukkan isyarat ‘bagus’ kepada media sebelum menyambung semula rundingan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 6 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Perubahan
Penyelidik bebas yang mengkaji konflik Selatan Thailand, Hara Shintaro berkata dia tidak menjangka apa-apa resolusi dalam rundingan pusingan ini, memandangkan mandat kepada Chatchai tidak jauh berbeza dengan ketua perunding terdahulu, Jeneral Wanlop Rugsanaoh.
"Ini bermakna rundingan damai masih didominasi oleh pihak tentera, dan kerajaan sekarang pun tidak memberikan keutamaan yang sepatutnya. Tidak dapat dinafikan bahawa pelantikan orang awam sebagai ketua itu satu perkembangan positif, tetapi tidak lebih daripada itu," katanya sambil menambah, dua hari tidak cukup untuk mencapai penyelesaian.
Warga Jepun yang berpangkalan di Patani itu menambah sentimen orang Patani di Selatan Thailand merasakan Zulkifli bersikap berat sebelah kerana memihak kepada Bangkok dan memberi tekanan kepada BRN.
"Sekarang proses berjalan di Kuala Lumpur, dan hanya tentera sahaja yang berkomunikasi dengan orang tempatan. Maka proses tidak dianggap sebagai 'milik' orang tempatan, tetapi milik orang tertentu," jelasnya.
BenarNews pada 2022 melaporkan rundingan pada tahun itu melibatkan kertas kerja Prinsip Am yang mana kedua-dua pihak bersetuju bahawa rangka perbincangan akan berjalan dibawah Kerajaan Thailand, mengikut Perlembagaan negara itu.
Penerimaan perlembagaan bermakna BRN tidak lagi memperjuangkan kemerdekaan.
Bagaimanapun, semasa ditemui pemberita di Malaysia, kedua-dua pihak tidak mahu mengesahkan mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, Nabiela Ismail, penganalisis di Jabatan Hal-Ehwal Luar Negeri Institut Bait Al Amanah berkata terdapat iltizam politik daripada pihak kerajaan Thailand pada pusingan kali ini yang mana mereka serius untuk merealisasikan tiga tunjang utama JCCP.
"Proses rundingan kali ini dijangka akan merealisasikan JCCP yang berpaksikan keamanan bebas keganasan sebagai kepentingan utama, seterusnya memberi fokus kepada proses rundingan awam yang dapat menjelaskan kehendak dan kemahuan kedua-dua belah pihak dalam mencari penyelesaian politik.
"Walaubagaimanapun, bagi mencapai pendamaian yang berkekalan memerlukan masa yang lebih panjang dan proses rundingan terperinci yang lebih untuk mencapai kata sepakat dalam menghasilkan perjanjian keamanan kekal," katanya.
Pihak berkuasa Thailand memeriksa bangkai sebuah trak yang musnah dalam serangan bom di stesen minyak Bang Chak di Nong Chik, Pattani, Thailand pada 17 Ogos 2022. [BenarNews]
Dalam pada itu, laman sosial yang bersekutu dengan BRN, 'Kelab Penyokong Perdamaian Patani Deep South' memaklumkan, sepanjang setahun lalu rakyat Patani menunjukkan keterujaan dengan perkembangan terbaharu, melalui pelbagai siri wacana awam telah diadakan.
Organisasi masyarat sivil di wilayah itu juga telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan Thailand, BRN dan fasilitator Malaysia, yang menegaskan keinginan mereka untuk proses rundingan yang berwibawa.
"Khususnya untuk rundingan rasmi pusingan ketujuh ini, harapan rakyat Patani adalah agar ada kesinambungan dan fokus kepada rangka kerja pelan bersama yang telah dipersetujui itu, dan dapat disahkan secara rasmi oleh semua pihak utama. Seterusnya membuka pintu kepada perbincangan lanjut mengenai perinciannya sesuai dengan prinsip asas JCPP dalam siri-siri rundingan seterusnya.
"Rakyat Patani sudah muak dengan agenda mesyuarat yang bersifat kosmetik. Berpusing-pusing dalam lingkaran yang sama, tanpa kemajuan ke hadapan," demikian menurut kenyataan yang dimuat naik di laman social Facebook pada Selasa.
Selatan Thailand terdiri daripada wilayah penduduk majoriti Islam iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. Seramai 7,344 orang telah terbunuh dan 13,641 tercedera dalam keganasan di wilayah itu sejak dua dekad lalu, menurut laporan organisasi bukan kerajaan Deep South Watch.
Pemberontakan bermula semula pada awal 2004 selepas konflik mereda sejak tahun 1990-an apabila sebuah kem tentera diceroboh anggota pemberontak. Ratusan senjata dilarikan sekali gus mencetuskan api pemberontakan yang lebih marak.