Rundingan Damai Selatan Thailand Diteruskan Walaupun Berlakunya Pembunuhan: Peserta
2016.04.08
Bangkok & Washington

Kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah bersenjata di Selatan Thailand berkata, mereka merancang untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan damai tidak rasmi pada akhir bulan ini, walaupun berlakunya peningkatan keganasan maut.
Siri tembakan dan pengeboman yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dalam tempoh lapan minggu lalu mungkin telah membuatkan junta Thailand untuk mempercepatkan proses damai wilayah itu, jurucakap badan induk yang mewakili pelbagai kumpulan dan puak pejuang pembebasan selatan memberitahu BeritaBenar.
Jurucakap MARA Patani Abu Hafiz Al-Hakim berkata, keganasan itu boleh dilihat sebagai "satu bentuk tekanan ke atas rakyat Thailand supaya serius mengenai proses damai, dalam usaha menjadikan proses ini rasmi dengan secepat mungkin."
"Proses ini masih tidak rasmi dan tidak ada sebarang perjanjian rasmi mengenai pengurangan atau pemberhentian serangan daripada kedua-dua pihak," katanya BeritaBenar melalui e-mel, sambil menambah kata bahawa pihak pejuang pembebasan berharap dapat mengadakan satu lagi pusingan rundingan tidak rasmi dengan pegawai Thailand sebelum Mei.
"Jadi, tidak hairanlah serangan masih berlaku kerana tidak ada persetujuan bersama tentangnya," kata beliau.
Seorang ahli kumpulan rundingan Thailand, bagaimanapun, menafikan bahawa keganasan yang terus meningkat itu mempunyai kaitan dengan rundingan damai yang diusahakan Malaysia. Beliau melahirkan keyakinan bahawa pertemuan tidak rasmi pertama sejak Ogos 2015, dengan kedua-dua pihak diwakili sepenuhnya di meja rundingan, akan diadakan seawal penghujung April ini.
"Keganasan tidak ada kena mengena dengan rundingan itu kerana, walaupun tiada perbincangan, mereka tetap melakukan keganasan," kata Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, setiausaha bagi kumpulan Thailand, kepada BeritaBenar.
Kebangkitan keganasan
Melalui rundingan semula saluran belakang, pihak junta telah cuba memujuk kumpulan pejuang pembebasan Selatan untuk meneruskan rundingan damai rasmi buat kali pertama sejak Disember 2013, apabila ia terhenti semasa kerajaan Thailand awam memimpin.
Sejak usaha junta dapat dilaksanakan tahun lepas dan MARA Patani muncul di meja rundingan pada Ogos 2015 sebagai badan induk yang berunding bagi pihak beberapa kumpulan dan puak pejuang pembebasan, rundingan tidak rasmi itu belum dapat melangkaui fasa pembentukan kepercayaan dan keyakinan. Seperti yang diakui oleh Abu Hafiz, kedua-dua pihak masih belum bersetuju untuk melakukan gencatan senjata.
Pemberontakan di kawasan sempadan selatan Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu, telah berlaku sejak awal 1960-an dan meningkat semula pada 2004 setelah pertempuran reda buat tempoh yang lama.
Dalam tempoh 12 tahun yang lalu, lebih daripada 6,500 orang telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 11,000 cedera dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik itu, demikian menurut Deep South Watch (DSW), sebuah badan pemikir tempatan.
Di tengah-tengah usaha untuk menggerakkan rundingan damai yang rasmi, jumlah kematian yang berkaitan dengan konflik itu mencatatkan rekod dengan penurunan angkanya tahun lepas kepada 246 orang sejak tahun 2004, lapor DSW.
Tetapi serangan yang disyaki dilakukan pejuang pembebasan dan pertempuran antara pejuang pembebasan dan pasukan keselamatan Thailand telah meningkat dengan ketara sejak tentera Thailand menyerbu tempat persembunyian pemberontak di Nong Chik, sebuah daerah dalam wilayah Pattani pada 10 Februari lalu.
Perbalahan dalaman di kalangan pejuang pembebasan?
Pengulas bagi kedua-dua pihak menyifatkan peningkatan dalam keganasan berlaku berikutan perbezaan pendapat di antara pihak tertinggi pejuang pembebasan berhubung proses damai itu.
Beberapa ahli Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pejuang pembebasan terbesar dan paling berkuasa dan diwakili dalam MARA Patani, telah berpecah daripada BRN kerana mereka tidak bersetuju dengan proses ini, kata seorang bekas komander BRN yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai "Abdullah”.
"Apa yang saya tahu daripada ahli BRN yang aktif, mereka telah membentuk satu unit baru yang mungkin turut dianggotai ahli PULO untuk menentang tentera kerajaan, membantah rundingan damai yang tidak ikhlas dan menentang MARA Patani," katanya kepada BeritaBenar dalam satu temu bual di Pattani, dengan merujuk kepada Barisan Pembebasan Patani Bersatu, satu lagi kumpulan pejuang pembebasan.
Dalam dua insiden tahun lepas, sebuah kumpulan rahsia yang memperkenal dirinya sebagai Jabatan Penerangan BRN telah menyuarakan bantahannya terhadap proses damai itu, tetapi ia tidak menamakan MARA Patani.
Pada 12 Oktober, kumpulan itu mengeluarkan kenyataan empat muka surat yang menuntut proses damai yang melibatkan mediator antarabangsa dan Thailand mengiktiraf kedaulatan "Patani." Ini adalah permintaan yang sama yang dibuat oleh pemimpin BRN yang membawa kepada kegagalan rundingan damai pada tiga Disember sebelum ini.
Angkhana Neelapaijit, ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau difahamkan bahawa "banyak unsur bersenjata di lapangan tidak menerima pihak daripada MARA Patani sebagai wakil mereka di meja rundingan, walaupun terdapat ahli BRN."
Angkhana adalah isteri seorang peguam Muslim dari Selatan Thailand, yang hilang 12 tahun lalu, dan anak guamnya disyaki sebagai pemberontak dan dalam tahanan tentera.
Pengarah Deep South Watch Srisompob Jitprisomsri pula berpendapat, menerusi keganasan, para pejuang pembebasan "cuba menunjukkan penentangan terhadap kerajaan."
"Baru-baru ini, BRN mula membunuh lebih ramai orang awam dan pegawai-pegawai. Ia adalah kerana mereka sedang membuat persediaan untuk melancarkan serangan yang lebih besar," kata Srisompob kepada BeritaBenar.
"Bagaimanapun, saya percaya pendekatan rundingan damai yang dapat diterima semua pihak boleh mencapai keamanan," katanya.
Ada yang di luar kawalan MARA
Abu Hafiz dari MARA Patani mengakui bahawa tidak semua kumpulan dan puak pejuang pembebasan bersatu di bawah badan induk itu.
"Terdapat kumpulan bersenjata yang bergabung dengan MARA dan ada yang di luar kawalan MARA, termasuk kumpulan yang tidak diketahui," katanya kepada BeritaBenar.
"Biasanya, kumpulan-kumpulan militia ini diwujudkan oleh tentera kerajaan - mereka dipercayai terlibat dalam pembunuhan individu dan memandu sambil menembak di kawasan sesak seperti di kedai kopi, atau di kampung-kampung," kata Abu Hafiz.
Walaupun keraguan disuarakan oleh beberapa penganalisis, Leftenan Jeneral Nakrob berkata kedua-dua pemimpin BRN yang merupakan sebahagian daripada pasukan rundingan MARA Patani sejak awal tahun lepas - Awang Jabat dan Shukri Hari - tidak menarik diri daripada kumpulan induk itu dan masih terlibat dalam proses damai.
Tetapi setiausaha kumpulan rundingan Thailand tidak mengakui tentang kewujudan bahagian itu dalam tahap pangkat pejuang pembebasan, begitu juga pihak kumpulan Selatan Thailand, dalam proses rundingan itu yang bertujuan menamatkan berdekad-dekad lamanya pertumpahan darah di Selatan Thailand.
Dengan memetik sebagai contoh pemimpin BRN yang menentang rundingan damai, Nakrob mencadangkan bahawa, lambat laun, mereka tidak mempunyai pilihan tetapi untuk mengikuti kehendak penduduk di wilayah itu.
"Kedua-dua belah pihak, kita dan pembangkang, mempunyai beberapa individu yang bersetuju dengan, yang neutral ke arah dan yang menentang rundingan itu. Tetapi di akhirnya nanti, mereka yang menentang rundingan ini perlu bersama-sama dengan penyokong mereka, dan mereka [akan] perlu bersetuju dengannya, "kata Nakrob kepada BeritaBenar.