Peruding Damai Baru Thailand Bayangkan Ada Perubahan Rakan Dialog
2019.11.29
Bangkok, Thailand

Perunding baru Thailand bagi rundingan damai dengan pemberontak di wilayah sempadan selatan negara itu membayangkan kemungkinan berlakunya perubahan rakan dialog damai itu, demikian menurut pegawai kanan tentera itu pada Jumaat.
Jeneral Wanlop Rugsanaoh menjangkakan pusingan pertama rundingan rasmi di bawah kepimpinannya itu akan diadakan "tidak lama lagi" tetapi beliau tidak memberi butiran terperinci.
Dalam kenyataan pertamanya mengenai rundingan damai itu sejak dilantik menerajuinya pada September lalu, Wanlop mengulangi pendirian para perunding sebelum ini apabila beliau berkata sedang berusaha untuk berbincang dengan semua pihak termasuk "kelompok yang mempunyai pengaruh terhadap operasi di lapangan."
"Atas permintaan kami, Malaysia telah menghubungi kumpulan-kumpulan itu, yang kami tidak tahu siapa atau pemimpin mereka. Kami perlu tunggu dan lihat bila keadaan sudah jelas," kata Wanlop.
Semasa ditanya sama ada terdapat perubahan rakan kongsi dialog, Wanlop menjawab: "Secara peribadi, saya rasa akan ada perubahan, tetapi ia boleh melibatkan apa sahaja. Seperti yang saya katakan, Malaysia sedang membantu kami dalam urusan itu. "
Dari Ogos 2015 sehingga perbincangan itu kelihatan seperti terhenti pada awal tahun ini, Thailand telah mengadakan perbincangan dengan MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang mewakili pelbagai kumpulan dan puak pemberontak. Rundingan itu memberi tumpuan kepada melancarkan gencatan senjata di sebuah daerah, namun ia tidak pernah dilaksanakan.
Penganalisis keselamatan menyatakan bahawa pemimpin utama dari kumpulan yang mengawal para pejuang di lapangan, Barisan Revolusi Kebangsaan atau BRN, tidak mengambil bahagian dalam rundingan itu.
"Kita boleh belajar daripada peranan dan mengambil iktibar masa lalu mengenai mengapa rundingan itu gagal. Cara terbaik adalah untuk berbincang dengan orang yang betul supaya kami dapat menyelesaikan masalah ini dengan betul," kata Pengarah Badan Perisikan Negara, Thanakorn Buaras, iaitu seorang daripada empat ahli panel yang bercakap pada sidang media itu.
"Saya hanya ingin berkata, secara ringkas, sila tampil dan berbincang," kata Thanakorn ketika ditanya sama ada beliau mempunyai pesanan untuk BRN.
Agenda negara
Keganasan di tiga wilayah selatan dan di segelintir daerah berjiran yang terdiri daripada wilayah yang penduduknya bertutur dalam bahasa Melayu, kebanyakannya di daerah Muslim yang dikenali sebagai Selatan Thai, telah menurun dengan ketara pada tahun ini namun insiden terbaru telah menarik perhatian antarabangsa.
Pada 5 November, serangan di wilayah Yala menyebabkan kematian 15 orang termasuk sukarelawan pertahanan awam, pegawai polis dan orang awam apabila lelaki bersenjata yang dipercayai anggota militan menyerang dua pos pemeriksaan di wilayah Yala.
Pada 2 Ogos, sembilan peranti kecil meletup di empat lokasi di sekitar ibu kota Thailand, semasa sidang kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) diadakan hingga mencederakan empat orang. Pegawai-pegawai Thai yang mempunyai maklumat mengenai perkara-perkara keselamatan memberitahu BeritaBenar bahawa mereka percaya BRN yang mengatur serangan itu dalam usaha untuk menarik perhatian kepada pemberontakan.
Ditanya mengapa Thailand masih meneruskan rundingan damai itu selepas serangan 5 November serta keganasan berdarah berlaku sejak beberapa tahun lalu di wilayah sempadan, Wanlop merujuk kepada dokumen strategi nasional yang dilancarkan pada 2018.
"Kami ingin memberitahu masyarakat, komuniti antarabangsa dan wakil media bahawa Selatan Thailand adalah agenda negara, yang mana diutamakan oleh pemerintah Thailand," katanya. "Ia disenaraikan dalam Rancangan Strategik Negara 20 tahun yang menyatakan dengan jelas bahawa Selatan Thailand mesti menggunakan pendekatan yang aman dan mengadakan perbincangan yang mesra."
Pada 2015, apabila usaha damai kembali diadakan di bawah junta tentera yang memerintah Thailand pada masa itu, pemberontak menuntut kerajaan supaya menyenaraikan proses damai Selatan Thailand sebagai agenda negara yang menjadi antara syarat mereka untuk meneruskan perbincangan.
Lebih 7,000 orang terbunuh dalam pemberontakan pihak pemisah berhampiran sempadan selatan Thailand sejak gerakan itu dihidupkan semula pada 2004. Pelbagai rundingan damai telah dilaksanakan sejak 2013.
Ditanya sama ada beliau akan memperkenalkan sesuatu yang baru, Wanlop berkata, "Kami tidak mempunyai banyak pendekatan baru, tetapi kami mempunyai keikhlasan, perhatian dan keazaman untuk memastikan rundingan ini dapat dilaksanakan."
Pada September lalu, Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, menyuarakan pandangannya bahawa Bangkok tidak akan bersetuju dengan permintaan untuk memberikan autonomi atau kemerdekaan di wilayah selatan itu.
Merujuk kepada Wanlop, beliau berkata: "Kami akan cuba bekerjasama dengan pemimpin baru ini, kerana kami hanya ingin mencari jalan untuk menamatkan rusuhan yang berlaku sebab, menurut pendapat kami, Thailand tidak akan langsung membenarkan mereka mendapatkan autonomi atau kemerdekaan selain ia menyebabkan Thailand menjadi lebih tegas, dan ramai lagi yang akan mati."
"Seperti yang diperkatakan oleh Dr Mahathir dalam temu bualnya dengan BeritaBenar, beliau mungkin bercakap dari sudut pengalamannya bahawa perjuangan sejak sekian lama itu mungkin memerlukan perubahan dalam perjuangan bagio mendapatkan kemerdekaan atau autonomi," kata Wanlop pada Jumaat.