Ketua panel kerajaan mahu lebih banyak kumpulan terlibat dalam rundingan damai Selatan Thailand
2023.01.25
Pattani, Thailand & Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 8 malam waktu tempatan ETS - 2023-01-25
Rundingan damai Selatan Thailand kini sedia disambung semula seawal bulan depan dengan adanya fasilitator Malaysia yang baharu dilantik, dan ketua perunding utama kerajaan Thailand yang mengadakan lawatan ke wilayah Pattani pada Rabu mengakui bahawa proses itu mungkin menjadi lebih inklusif.
Jeneral Wanlop Rugsanaoh, yang mengetuai panel kerajaan Thailand dalam rundingan damai itu, memberitahu kira-kira 200 orang yang menghadiri satu forum di Pattani bahawa panglima tentara Malaysia yang telah bersara Zulkifli Zainal Abidin, 65, akan menjadi broker baharu bagi perbincangan di antara kerajaan Thailand dan pemberontak Barisan Revolusi Nasional ( BRN).
"Tetapi sebelum itu, fasilitator berkenaan perlu ke Bangkok terlebih dahulu," kata Wanlop pada forum tersebut.
BRN, kumpulan pemisah bersenjata terbesar di wilayah Selatan Thailand yang bersempadanan dengan Malaysia, telah mengadakan lima pusingan rundingan damai secara bersemuka dengan pasukan Wanlop sejak awal 2020.
Rundingan yang keenam telah ditangguhkan kerana pilihan raya umum Malaysia pada November lepas di mana Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia, dan beliau telah memilih Zulkifli untuk menggantikan Abdul Rahim Noor.
Pada forum tersebut, Wanlop memberitahu bahawa beliau mahu melihat kumpulan lain termasuk MARA Patani turut serta dalam proses rundingan damai tersebut.
“Mengenai pelbagai organisasi, saya mahu semua mengambil bahagian – MARA atau mana-mana kumpulan lain. Masalahnya sekarang ialah mereka tidak bersatu. Kami cuba berbincang dengan semua kumpulan – kami berusaha ke arah itu,” katanya.
MARA Patani merupakan organisasi induk yang mewakili pelbagai pertubuhan dan puak pemberontak Selatan Thailand termasuk BRN dalam rundingan damai dengan Thailand sebelum ini. Ia telah berlangsung selama beberapa tahun sehinggalah BRN dan kerajaan Thailand memulakan rundingan langsung pada 2020, yang turut dikendalikan oleh Malaysia.
“Terpulanglah kepada parti politik atau kehendak rakyat tempatan berhubung beberapa perkara seperti zon pentadbiran khas, desentralisasi kuasa, pemilihan gabenor. Semua ini perlu dibincangkan, dibahaskan untuk diterima oleh semua pihak,” kata Wanlop.
Menyedari keganasan yang berterusan diwilayah itu, seorang peserta forum menyuarakan keraguannya berhubung keberkesanan rundingan yang diadakan sebelum ini termasuk yang diadakan pada Ogos 2022.
“Saya tidak tahu dengan siapa pasukan rundingan damai [Thailand] berbincang tetapi setiap kali selepas rundingan berakhir, akan timbul masalah. … orang ramai mempunyai keraguan terhadap panel rundingan damai,” kata Koleeyoh Halee, yang bapanya terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Masjid Krue Seh pada 2004. Pasukan keselamatan Thailand telah dipersalahkan kerana membunuh 32 pemisah Melayu Islam yang berada di dalam masjid tersebut.
“Adakah kita mempunyai keyakinan palsu terhadap mereka ini? Mereka tidak dapat mengawal para pejuang mereka. Perbincangan itu berakhir dengan pertumpahan darah, pertempuran, tembakan harian dan (menyebabkan) lebih ramai (menjadi) balu dan yatim,” katanya.
Wanlop mengakui bahawa perbincangan sebelum ini tidak berlangsung seperti yang diharapkan.
"Kami tidak pasti sama ada panel rundingan damai BRN mengadakan perbincangan dengan sayap tenteranya sebelum ke meja rundingan atau delegasi itu ke meja rundingan dahulu dan memberitahu sayap tenteranya kemudian," kata Wanlop semasa menjawap pertanyaan Koleeyoh. "Jika sayap tentera bersetuju, mereka menghentikan serangan - jika tidak, mereka terus melakukan tembakan, serta melakukan perbincangan dan tindakan serangan."
“Bagi pihak kerajaan Thailand, saya menegaskan bahawa semua delegasi ini wujud, yang dilantik oleh perdana menteri.… Tetapi kita tidak tahu tentang mereka,” katanya.
“Saya mahu semua bantu membuktikan jika mereka adalah delegasi de facto. Mereka mungkin tulen pada tahap tertentu, tetapi bukan pemimpin utama.”
Selatan Thailand terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,344 orang telah terbunuh manakala 13,641 orang lagi cedera dalam keganasan di seluruh wilayah sempadan itu, yang kebanyakannya beragama Islam dan berbahasa Melayu, menurut data yang dikemas kini setakat Mac 2022 oleh Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.
Pegawai pasukan keselamatan Thailand memeriksa lokasi serangan bom selepas beberapa individu yang disyaki anggota kumpulan pemisah menyasarkan sebuah pejabat pentadbiran di Pattani, Thailand, 20 Jun 2022. [BenarNews]
Pemimpin BRN dan sumber yang rapat dengan rundingan damai itu mengesahkan mengenai lawatan fasilitator baharu itu ke Thailand, yang dijangka diadakan pada awal Februari.
Zulkifli tidak segera menjawab permintaan BenarNews untuk mendapatkan ulasan.
“Fasilitator baharu itu dijadual berada di Bangkok selama tiga hari bermula 1 Feb. Beliau dijangka bertemu Timbalan Perdana Menteri Jeneral Prawit Wongsuwan dan ketua panel rundingan Wanlop,” kata sumber itu yang enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
Sejak pelantikannya, Zulkifli telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin pemberontak, kata sumber itu.
Anas Abdulrahman yang mengetuai delegasi BRN dalam rundingan itu mengesahkan perkara tersebut.
"Ya, kami telah berjumpa dengannya," kata Anas kepada BenarNews.
Altaf Deviyati, pengarah Pusat Penyelidikan Iman iaitu sebuah kumpulan penyelidik keselamatan dan konflik Malaysia, berkata banyak yang perlu dilakukan oleh Zulkifli dalam memudah cara rundingan tersebut.
“Beliau perlu seimbang dalam melaksanakan tugasnya. Di satu pihak, perbincangan sedia ada dan pembentukan keyakinan perlulah dilindungi. Banyak yang telah diusahakan, tetapi sebaliknya, ada keperluan untuk menjadikan rundingan damai ini lebih inklusif,” katanya kepada BenarNews.
"Secara peribadi, saya percaya akhirnya rundingan ini mesti inklusif demi keamanan yang berkekalan, tetapi saya fikir kita belum berada pada tahap itu lagi."
Terdapat juga persepsi bahawa Malaysia bukanlah broker yang jujur dalamrundingan damai itu, katanya.
“Naratifnya adalah seolah-olah Malaysia tidak boleh dipercayai oleh mana-mana pihak berkenaan, yang bagi saya ia adalah amat salah. Setiap pihak seolah-olah menuduh Malaysia berpihak kepada ppihak yang satu lagi,” kata Altaf.
“Inilah sebabnya saya fikir fasilitator baharu itu perlu menunjukkan bahawa Malaysia adalah fasilitator serius yang tidak berat sebelah dengan keutamaannya terikat kepada mewujudkan keamanan di Selatan Thailand.”