Polis Thailand: Pengedar Dadah Ada Kaitan Dengan Pemberontak Selatan

Wilawan Watcharasakwet & Mariyam Ahmad
2018.07.24
Bangkok & Pattani, Thailand
180723-TH-drugs-insurgency-1000.jpg Seorang suspek yang ditahan di daerah Chumphon di selatan Thailand sedang menunjukkan sebahagian daripada dadah yang disembunyikan di dalam karung baja, 19 Julai, 2018.
(Ihsan Biro Pengawasan Narkotik Thailand)

Pengedar dadah yang ditangkap pada Julai semasa menyeludup syabu dan heroin untuk pasaran Malaysia telah dikaitkan dengan pemberontak di selatan Thailand, kata pihak berkuasa Thailand minggu ini.

Penyeludup narkotik dan kumpulan pemberontak separatis di wilayah selatan yang bersempadan dengan Malaysia telah terlibat dalam hubungan timbal balik jangka panjang, Mej Jen Jatuporn Kalumpasut, komander pasukan petugas di wilayah Pattani, memberitahu BeritaBenar.

"Kami mendapati adanya hubungan antara kumpulan geng dan pemberontak. Kami boleh mengesahkan bahawa mereka mempunyai kaitan dan hubungan simbiotik," kata Jatuporn.

Pada Isnin, Biro Pengawasan Narkotik (NSB) Polis Thailand mengumumkan bahawa lima operasi pencegahan dadah telah dibuat di seluruh negara dengan 16 suspek ditahan dalam tempoh dua minggu lepas. Polis juga merampas 9.8 juta pil amphetamine, 450 kg syabu, 77 kg heroin, 1.654 kg kokain dan 706 kg ganja.

Pegawai NSB berkata syabu dan heroin yang ditemui itu dinilai sebanyak 1 juta baht (AS$30,000) bagi setiap kilogram, manakala methamphetamine bernilai 200 baht (AS$6) bagi setiap pil.

Enam suspek yang ditangkap dengan syabu dan heroin didakwa cuba menyeludup dadah ke Malaysia menerusi sempadan wilayah Narathiwat, menurut Komander Polis Wilayah Selatan, NSB, Maj Jen, Kitti Sapaothong.

Tiga suspek, yang didakwa bertindak sebagai pengawal pemerhati, ditahan di sebuah pusat pemeriksaan lebuh raya di wilayah Chumphon. Mereka kemudian mengaku bahawa trak yang digunakan sebagai pengangkutan membawa dadah sedang mengikuti mereka. Pegawai NSB memberhentikan trak tersebut di sebuah stesen minyak dekat sempadan Malaysia, katanya.

Polis menemui dadah yang tersembunyi di dalam karung baja yang diletakkan di bawah timbunan paip PVC, kata Kitti.

"Sindiket ini menggunakan GPS untuk memantau dan berkomunikasi," kata Kitti kepada wartawan.

Di Malaysia, Timbalan Pengarah Jabatan Narkotik Polis DiRaja Malaysia, Kang Chez Chiang berkata pegawainya menyedari mengenai penangkapan di sempadan Thailand itu.

"Kami tidak boleh mendedahkan penyiasatan dan maklumat yang kami terima berkaitan dengan penyeludup dan kumpulan selatan Thailand itu, kerana mereka memerhatikan pergerakan kami. Jadi, saya tidak mahu menjejaskan operasi kami," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

"Tetapi bagi kami, sudah tentu, kami sentiasa bekerjasama dengan rakan-rakan kami di Thailand dan, ya, kami sedang kerjasama.”

Kaitan sejak dulu lagi


Jatuporn, ketua pasukan petugas Pattani, berkata dia telah menemui bukti yang menghubungkan pengedar dadah dengan pemberontak sejak lima tahun lalu.

"Pada 2013 kami menahan seorang suspek di Sungai Kolok. Dia mengakui bahawa dia membayar wang perlindungan kepada pemberontak untuk melepasi selatan Thailand beberapa kali, " kata Jatuporn, merujuk kepada sebuah daerah di wilayah Narathiwat yang terletak di sepanjang sempadan Thailand dengan Malaysia.

Pengedar dadah telah membayar militan untuk membunuh pengedar dadah lain untuk membuat kematian itu seperti kelihatan terikat kepada pemberontakan, katanya.

"Ia berlaku di dalam penjara apabila seorang tahanan banduan bertemu dengan banduan pemberontak," kata Jatuporn. Apabila mereka meninggalkan penjara, banduan dadah memberi upah kepada pemberontak untuk mengutip bayaran dari pengedar lain atau membunuh mereka jika mereka enggan membayar.

Dari 1 Oktober 2017 hingga 23 Julai 2018, pihak berkuasa Thailand telah menahan ramai suspek yang melibatkan 1,705 kes, merampas aset bernilai 134.53 juta baht (AS$4 juta), berbanding 456 dan 453 kes dalam dua tahun sebelumnya.

Sementara itu, kawasan sempadan Thailand yang kebanyakan penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu lebih dikenali sebagai selatan Thailand [Deep South] sejak pemberontak pemisah mencetuskan keganasan di wilayah itu. Hampir 7,000 orang terbunuh sejak pemberontakan dihidupkan semula pada 2004.


Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.