Thailand Tahan 15 Rakyat Malaysia, Gagalkan Penyeludupan Dadah

Staf BeritaBenar
2016.03.24
Bangkok
160324-my-thai-dadah620 Polis Thailand bersama suspek penyeludupan dadah rakyat Malaysia, semasa taklimat media di Bangkok, 24 Mac 2016.
BeritaBenar

Polis Thailand pada Khamis mengumumkan mengenai penahanan 15 rakyat Malaysia yang dipercayai cuba menyeludup dadah sintetik  'ice' (methamphetamine) dan heroin melalui kereta api ke Malaysia

Kesemua suspek ditahan pada Rabu di dalam kereta api yang sedang menuju ke Padang Besar, bandar di selatan Thailand yang bersempadanan dengan Malaysia, kata polis.

"Terdapat 226 kilogram [hampir 500 paun] ice [kristal meth] dan lapan kilo [18 paun] heroin," kata Leftenan Jeneral Polis Thitiraj Nonghanpitak, Ketua Biro Siasatan Pusat Thai (CIB), pada taklimat media di Bangkok pada Khamis.

Beliau berkata rampasan itu merupakan yang terbesar pernah dibuat oleh Thailand. Kawasan sempadan selatan Thailand memang terkenal sebagai hab aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk pemerdagangan manusia dan penyeludupan narkotik.

Lebih daripada 10 suspek rakyat Malaysia itu di bawah semasa taklimat di pejabat CIB, di mana  beg galas yang dirampas yang masing-masing mengandungi beberapa paket kristal meth dan heroin, dipamerkan.

Suspek didakwa memiliki dadah kelas pertama secara pemilikan bersama, tetapi kesemua mereka menafikan pendakwaan itu. Mereka berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan/atau denda sehingga 200 ribu baht (AS$5,660), jika sabit kesalahan.

Mej Jen Polis, Sommai Kongwisaisuk, Timbalan Komander CIB berkata, kesemua heroin itu dibungkus dalam paket 350 gram manakala 'ice' dalam pakej satu kilogram.

Di Bangkok, harga bagi satu paket heroin dianggarkan 500 ribu baht (AS $ 14,154), manakala boleh mencecah antara 300 ribu dan 500 ribu bath (AS$8,494 dan $14,154), bagi setiap sekilogram paket 'ice', kata polis.

Leftenan Jeneral Thitiraj berkata, penyeludup kebiasaannya tidak mahu menggunakan jalan raya.

"Polis Lebuhraya mempunyai kekerapan pemeriksaan jadi mereka menggunakan kereta api.  Kebanyakan paket bungkusan dibalut dengan lapisan nipis logam [aluminium foil]. Terdapat juga mesin X-ray yang tidak dapat mengesan lapisan nipis logam berkenaan. Saya juga percaya beberapa hantaran diseludup melalui udara, "katanya.

Penyeludupan melalui kereta api

Pol. Col. Putidej Boonkrapru, penyelia polis stesen kereta api berkata, kereta api menjadi medium utama pengangkutan sejak beberapa bulan lalu, membawa kepada polis stesen kereta api untuk meningkatkan kempen anti-dadah mereka.

Sommai berkata, kesemua 15 anggota kumpulan penyeludup itu, menaiki kereta api kelas pertama, berhawa dingin dengan gerabah berasingan.

Berdasarkan kepada maklumat seorang detektif polis, pegawai kereta api menahan dua pembawa pertama yang disyaki, yang membawa bersama mereka sebanyak 23 kilogram ‘ice’ semasa di wilayah Rajaburi, iaitu kira-kira 150 km (93 batu) barat Bangkok.

Beliau berkata polis kemudian berjaya mengesan 12 yang lain dan membuat lebih banyak tangkapan apabila perjalanan kereta api bergerak ke selatan.

Suspek dibayar bawa dadah dari Chiang Mai: Diplomat Malaysia

Seorang suspek berkata dia telah dibayar untuk membawa beg dari utara Thailand, tetapi tidak tahu apa yang ada di dalamnya, seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Bangkok Fauzi Khan Ismail memberitahu pemberita.

Pembawa dibayar 5 ribu baht (AS$141) bagi setiap paket, kata Fauzi. Setiap beg yang dipamerkan mengandungi lebih daripada 10 paket.

"Mereka mendapat konsainan di Chiang Mai. Kemudian menghantar dadah tersebut ke Hatyai, [kerana] ia berhampiran dengan sempadan Malaysia," kata Fauzi yang mewakili kerajaan Malaysia pada taklimat media itu.

Negara kami mahu bekerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara lain untuk membasmi perdagangan dadah, kata Fauzi.

"Di Malaysia, kita turut menghadapi pelbagai masalah dadah. Sejak Januari tahun ini, Jabatan Narkotik kami, berjaya menumpaskan kumpulan-kumpulan besar pengedar dan penyeludup antara dua atau tiga kali," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.