Bekas Pemimpin PULO Dibebaskan Kerana Kurang Bukti, Pegawai Polis Malaysia

N. Natha & Mariyam Ahmad
2017.07.14
Kuala Lumpur & Pattani
170714-TH-pulo-620.jpg Ma-ae Sa-a atau lebih dikenali sebagai Haji Ismail Thanam dan isterinya menghadiri upacara keagamaan di masjid Narathiwat, 7 November 2015.
BeritaBenar

Bekas pemimpin kumpulan pemberontak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) Ma-ae Sa-a (atau Haji Ismail Thanam) dan seorang sekutu Thailandnya Yusof Navic yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia telah dibebaskan daripada tahanan, demikian kata pegawai Malaysia dan Thailand kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Seorang pegawai kanan keselamatan Malaysia yang enggan namanya disiarkan semasa dihubungi BeritaBenar mengesahkan mengenai pembebasan Ismail Thanam [Ma-ae-Sa-a] dan sekutunya itu.

“Beliau sudah bebas, polis tiada bukti yang kukuh,” kata pegawai kanan keselamatan itu.

Pengesahan mengenai pembebasan bekas pemimpim pemberontak itu juga dibuat oleh Teeruth Supaiboonpol, Pengarah Hal Ehwal Luar Negeri bagi Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan kepada BeritaBenar pada Khamis.

“Seperti yang kami ikuti mengenai kes Ma-ae Sa-a [Ismail Thanam], beliau telah dibebaskan oleh polis Sungai Way, Kuala Lumpur pada Khamis,” kata Teeruth sambil  menambah bahawa isteri kepada bekas pemimpin itu, Mariyah Jeming serta anggota keluarganya telah pergi ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengannya.

Beliau berkata, pemimpin itu dan keluarga kemudiannya kembali ke Perak di mana perniagaan restoran masakan Thailand milik bekas pemimpin itu beroperasi.

“Haji Ma-ae Sa-a telah dibebaskan oleh pihak berkuasa pada pagi Khamis. Dia akan tinggal di restoran miliknya di Malaysia. Beliau tidak mempunyai rancangan untuk kembali ke Pattani lagi,” kata seorang saudara yang enggan namanya disiarkan kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Khamis.

Haji Ismail Thanam ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia dan diserahkan secara rahsia kepada polis Thailand pada tahun 1998. Dia kemudiannya dihukum mati atas tuduhan memberontak. Hukuman keatasnya dikurangkan dari masa ke masa dan telah menjalani hukuman penjara selama 17 tahun sebelum dibebaskan dengan parol pada September 2015.

Jun lepas, BeritaBenar melaporkan yang pegawai Thailand berkata Polis Malaysia telah menahan bekas pemimpin kumpulan pemberontak PULO serta seorang sekutunya kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah serta senjata api ke Malaysia.

Seorang pegawai keselamatan di pedalaman Selatan Thailand, yang mahu identitinya dirahsiakan, memberitahu BeritaBenar bahawa Ma-ae Sa-a (atau Haji Ismail Thanam) dan Yusof Navic ditahan secara berasingan selepas polis di bahagian barat laut Malaysia mengesan komunikasi melalui telefon antara kedua-duanya dengan seorang lelaki rakyat Thailand yang telah ditembak mati oleh polis Malaysia pada Sabtu.

Pegawai Thailand telah mengenal pasti identiti lelaki itu sebagai Doloh, 41.

Menurut para pegawai Thailand, polis Malaysia tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki namun mereka kekal dalam tahanan.

Berdasarkan maklumat tidak rasmi beberapa pegawai Malaysia, difahamkan Yusof Navic telah ditahan pada Sabtu di Kota Bahru, ibu negeri Kelantan yang terletak di pantai timur Malaysia.

Pada hari berikutnya, polis telah menahan Ma-ae Sa-a di restorannya di Perak, sebuah destinasi pelancongan yang popular di pantai barat Malaysia.

Penahanan itu adalah susulan insiden tembak-menembak antara seorang lelaki rakyat Thailand dengan polis Malaysia, yang berakhir dengan kematian lelaki terbabit.

Polis telah mengesan hubungan antara lelaki itu dengan Ma-ae Sa-a. Kedua, pegawai Malaysia telah menahan seorang wanita rakyat Thailand berhampiran Pusat Pemeriksaan Betong dan mengesan hubungannya dengan Ma-ae Sa-a,” kata pegawai Thailand itu.

PULO merupakan satu daripada gerakan puak pemisah yang menggesa agar kemerdekaan diberikan kepada wilayah di selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah Melayu Islam.

Berikutan insiden itu, Ketua Polis Kedah Asri Yusof berkata Doloh ditembak mati kerana dia terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah polis.

“Anggota polis telah menghampiri sebuah kereta dan mereka nampak seorang lelaki di tempat pemandu. Polis telah meminta suspek keluar dari kereta itu. Lelaki itu secara tiba-tiba telah melepaskan tembakan dari dalam kereta dan terus menembak ke arah anggota polis meskipun selepas dia keluar dari kereta,” kata Yusof.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan balas dan terkena suspek dua kali iaitu di bahagian dada dan kepala,” katanya.

Polis telah menemui sepucuk pistol semi automatik dengan satu magazin peluru, lapan bungkusan yang dipercayai mengandungi heroin dan dua set plat lesen palsu.

“Susulan insiden itu, sepasukan polis dari negeri jiran Perak telah menggeledah rumah lelaki itu di Pengkalan Hulu, Perak pada 17 Jun dan merampas sebutir bom paip buatan sendiri, beberapa jenis peluru dan dadah jenis metamfetamin.

Menurut pangkalan jenayah, Doloh mempunyai rekod melibatkan tiga kes termasuk pecah rumah dan ugutan jenayah pada 1992 dan 1995.

Isterinya, seorang rakyat Thailand berusia lingkungan 30-an, telah ditahan di rumah mereka dan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.