Suspek Mengaku Peranan Dalam Pengeboman di Kawasan Pelancongan Thailand: Polis

Staf BeritaBenar
2016.11.02
Nakhon Sri Thammarat, Thailand
161102-TH-bomb-victim-1000.jpg Seorang wanita yang cedera terbaring di laluan pejalan kaki selepas letupan bom di Hua Hin, Thailand, 12 Ogos, 2016.
[Somchai Kwankijswet / BeritaBenar]

Timbalan Ketua Polis Thailand pada Rabu berkata seorang suspek dari wilayah Selatan mengaku semasa soal siasat bahawa dia mempunyai peranan dalam rentetan serangan bom diselaraskan di kawasan popular pelancong di selatan Thailand pada pertengahan Ogos lalu.

Muhammad Muhi, seorang penduduk wilayah Pattani, memberitahu penyiasat bahawa dia telah menanam bom di Phuket pada 10 Ogos lalu, kata Timbalan Ketua Polis Jeneral Srivarah Rungsibrahmanakul.

Srivarah berkata demikian kepada pemberita di sebuah pusat tahanan belia di wilayah selatan Nakhon Sri Thammarat, di mana Muhi yang berusia 21 tahun sedang ditahan.

"Penyiasat Polis dari Phuket menyoal siasat beliau semasa dalam tahanan di pusat belia ini, di hadapan pegawai-pegawai Jabatan Pemulihan, dan dia mengaku mempunyai peranan dalam tiga kes bom," kata Srivarah.

Daripada 11 pengeboman diselaraskan, yang membunuh empat orang dan mencederakan lebih daripada 30 orang di tujuh wilayah pada 11 dan 12 Ogos, dua bom meletup di Phuket dan mencederakan satu individu.

Pada 10 Ogos lalu, polis menemui dua bom lagi di pasar-pasar di Phuket tetapi dapat mematikannya, kata pegawai selepas kejadian serangan itu.  Kejadian itu berlaku  selepas Thailand mengadakan referendum di mana majoriti rakyat mengundi untuk perlembagaan kontroversi yang disokong oleh kerajaan tentera.

Muhi adalah seorang daripada dua suspek yang ditahan setakat ini berkaitan dengan pengeboman di Phuket, Hua Hin dan lima wilayah selatan lain, serta  siri serangan kebakaran khianat di beberapa  wilayah pada masa yang sama.

Suspek kedua ialah Hakim Doloh, 30, yang ditahan kerana didakwa membakar  sebuah kedai di wilayah Nakhon Sri Thammarat. Hakim kini ditahan di penjara Thung Song di Nakhon Sri Thammarat.

Setakat ini, pihak berkuasa Thai telah mengeluarkan waran tangkap terhadap sekurang-kurangnya 11 suspek yang dikehendaki berkaitan dengan serangan itu.

Wilayah-wilayah ini terletak di luar sempadan pemberontakan  Selatan, tetapi pihak berkuasa berkata ramai daripada suspek berasal dari wilayah itu. Bagaimanapun, pegawai-pegawai Thailand tidak menyatakan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan pemberontakan pemisah di wilayah Selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan  berbahasa Melayu.

Pada September lalu, ahli Barisan Revolusi Nasional (BRN) - kumpulan pemisah bersenjata  terbesar di wilayah itu – memberitahu BeritaBenar bahawa unit tempurnya didakwa  telah melakukan serangan pada 11 dan 12 Ogos lalu, serta pengeboman lain di wilayah Selatan.

"Kami mendakwa bahawa serangan di daerah Tak Bai adalah perbuatan operasi kami, begitu juga dengan pengeboman kereta api dan serangan di tujuh kawasan di bahagian atas wilayah selatan," kata ketua unit pertempuran BRN  dikenali sebagai Runda Kumpulan Kecil (RKK ), yang tidak mahu namanya disiarkan.

Minta Ketelusan

Pada Rabu, seorang aktivis hak asasi manusia menyuarakan kebimbangannya mengenai sama ada Muhi diberi nasihat undang-undang yang betul semasa dalam tahanan.

"Kami bimbang Muhi tidak mempunyai akses kepada hak-hak suspek, seperti lawatan daripada saudara-mara dan peguam yang dipercayai. Seperti yang dilaporkan, polis datang dengan peguam mereka sendiri, yang, mungkin, tidak boleh tidak boleh dipercayai oleh suspek, "kata Anchana Heemmina, presiden Hearty Support Group kepada BeritaBenar.

Anchana, yang telah disaman pihak tentera kerana menuduh tentera mendera suspek pemberontak wilayah Selatan, berkata, beliau mahu polis mengendalikan kes Muhi dengan telus "kerana pengendalian polis merupakan petunjuk kredibiliti sistem kehakiman secara keseluruhannya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.