Malaysia: NGO Gesa Asingkan Pejabat Kehakiman
2016.03.17
Kuala Lumpur

Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya patut diasingkan untuk menjadikan mereka lebih bertanggungjawab dan bebas daripada cabang eksekutif, kata Cawangan Malaysia pertubuhan pemantau, Transparency International, pada Khamis.
Peguam Negara dilantik oleh Perdana Menteri dan memegang jawatan yang sama dengan pendakwa raya, tetapi tiada seorang pun yang harus memegang banyak kuasa bagi sistem keadilan jenayah di negara ini, demikian menurut Transparency International-Malaysia (TI-M) dan kumpulan-kumpulan masyarakat awam.
"Memandangkan PP [Pendakwa Raya] juga adalah AG [Peguam Negara], kebimbangan disuarakan orang ramai yang menuntut kebebasan dan integriti beliau bagi memastikan keadilan jenayah dikuatkuasakan dengan adil dan saksama," kata Presiden TI-M Akhbar Satar dalam kenyataan.
Sistem keadilan semasa "telah menjadikannya lebih mudah untuk membuat keputusan yang tidak disemak dan tidak wajar berhubung kes-kes yang melibatkan individu berprofil tinggi," katanya, sambil menyatakan bahawa "kebebasan AG yanjg terhakis telah membawa kepada akauntabiliti lemah pihak pendakwaan sistem dalam membuat keputusan. "
Sistem itu juga perlu diubah supaya pendakwa raya bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya kepada cabang eksekutif, tegas Akhbar.
"Pengasingan kuasa ini sebagai kaedah periksa dan imbang, akan memastikan keputusan pendakwaan boleh dibuat tanpa rasa takut atau pilih kasih serta dilindungi daripada campur tangan politik," kata beliau.
Akhbar memetik keputusan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali baru-baru ini, untuk membersihkan Perdana Menteri Najib Razak daripada potensi tuduhan rasuah dalam skandal kewangan yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad.
"Nyata sekali yang," Apandi "perlu bersih dan telus" mengenai keputusan itu, kata Akhbar.
Pada Januari lalu, Apandi mengumumkan bahawa jabatannya telah menutup siasatan terhadap skandal rasuah yang dihadapi oleh Perdana Menteri, terutamanya yang melibatkan deposit sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya umum 2013.
Apandi berkata "tiada kesalahan jenayah" telah dilakukan, dengan sebahagian besar wang itu telah pun dikembalikan, dan ia adalah "derma peribadi" dari keluarga diraja Arab Saudi.
Najib, yang para pengkritiknya menggesa beliau meletakkan jawatan susulan perkara itu, terus menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan peribadi. Tetapi pada Julai lalu, bulan semasa skandal itu didedahkan, beliau telah memecat Abdul Gani Patail, Peguam Negara pada masa itu yang menerajui sebuah pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiaszat kes itu dan skandal lain berkaitan dengan 1MDB.
Pada Khamis, Apandi tidak memberi respons kepada permintaan BeritaBenar bagi mendapatkan komen.
'Isu struktur yang serius'
Profesor undang-undang Universiti Malaya Azmi Shahrom bersetuju bahawa Pejabat Pendakwa Raya sepatutnya lebih autonomi daripada Jabatan Peguam Negara. Bagaimanapun, beliau tidak yakin jika perkara ini boleh dilakukan.
"TI-M betul. Tetapi, ia hanya boleh dilakukan jika versi perkhidmatan pendakwaan kita adalah bebas dan tiada campur tangan kerajaan. Tidak mungkin kerajaan Barisan Nasional akan membenarkan ia dilakukan," kata Azmi kepada BeritaBenar, sambil merujuk kepada gabungan parti yang memerintah Malaysia sejak 1957.
Sementara itu, ketua Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyifatkan susunan jabatan itu sebagai bermasalah.
"Dalam kes-kes yang melibatkan mana-mana ahli eksekutif terutamanya Perdana Menteri, langkah luar biasa perlu diambil untuk menjamin bahawa perbincangan mengenai pendakwaan akan dikendalikan secara bebas. Adanya isu struktur yang serius bagi Jabatan Peguam Negara yang memberi kesan kepada amanah awam dalam institusi itu, " kata Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan Khamis dalam satu kenyataan.
Dan G25, kumpulan masyarakat awam yang diketuai oleh mereka yang berpengaruh dalam semua lapisan masyarakat Malaysia, pula berkata bahawa konflik kepentingan wujud dalam fungsi dan kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara.
"Ia merupakan tadbir urus yang lemah apabila Peguam Negara yang juga penasihat undang-undang kerajaan Malaysia adalah pemutus muktamad bagi keputusan untuk mendakwa," kata G25 dalam satu kenyataan.
Dibawah tekanan
Peguam Negara semasa kini menghadapi lebih tekanan berhubung keputusannya untuk menutup siasatan terhadap Najib.
Pada Selasa, ketua pembangkang Wan Azizah Wan Ismail menggesa supaya Apandi dikeluarkan daripada jabatan itu dengan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Peguam Negara di Parlimen. Tetapi Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia menolak usul itu.
Sementara itu, Persatuan Peguam Malaysia telah memfailkan kes di Mahkamah Rayuan minggu ini bagi memohon hakim supaya mengkaji semula pengendalian Apandi terhadap siasatan berhubung Perdana Menteri.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.