Tian Chua Jalani Penjara Sebulan
2017.09.29
Kuala Lumpur

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] yang juga seorang ahli parlimen pada Jumaat, memulakan hukuman penjara selama sebulan selepas membuat keputusan mengejut dengan menarik balik rayuan terhadap sabitannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Dalam prosiding di mahkamah tersebut, ahli parlimen Batu, Tian Chua telah menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman melanggar arahan polis meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) lima tahun lepas serta melucutkan tiga peguamnya dan menyuarakan kesediaannya untuk dipenjarakan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang terdiri dari Mohtarudin Baki, Zakaria Sam dan Abdul Karim Abdul Jalil telah membenarkan hasrat Tian Chua itu dengan Mohtarudin kemudiannya memerintahkan Tian Chua memulakan hukuman penjara tersebut di Penjara Kajang bermula Jumaat.
Mohtarudin berkata sabitan serta hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000 yang dijatuhkan terhadap Tian Chua oleh Mahkamah Sesyen dan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, adalah selaras dengan undang-undang negara itu.
Keputusan Tian Chua untuk ke penjara tidak menganggu statusnya sebagai ahli parlimen kerana seseorang wakil rakyat hanya akan kehilangan kelayakan jika dipenjarakan lebih setahun atau denda lebih RM2,000.
Tian Chua juga boleh bertanding pada pilihan raya umum ke-14 yang perlu dipanggil oleh parti pemerintah Barisan Nasional sebelum bulan Jun tahun hadapan.
Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Noraini Mohd Nor manakala Tian Chua telah diwakili oleh N. Surendran, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin.
Tian Chua sebelum ini telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur kerana enggan mematuhi arahan pegawai polis A. Rajagopal untuk meninggalkan kawasan tersebut pada 29 April 2012, sehari selepas dia ditahan dalam perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.
Beliau yang didakwa dibawah Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959 didapati bersalah oleh mahkamah pada Januari 2014 yang kemudiannya menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000. Tian Chua telah membayar denda itu.
Tian Chua kemudian membuat rayuan di Mahkamah Tinggi namun telah ditolak pada 30 Nov tahun lalu.
Ketika berada dalam kandang tertuduh di Mahkamah Rayuan pada Jumaat, Tian Chua berkata beliau telah ditahan bersama 500 peserta lain Bersih 3, yang didakwa sebagai perhimpunan haram sebelum dihantar ke Pulapol.
“Saya tidak didakwa atas kesalahan mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram tetapi kerana kehadiran saya di Pulapol, dimana saya telah ditahan.
“Dakwaan terhadap saya kerana melakukan kesalahan menceroboh satu kawasan larangan, iaitu dalam kes ini, Pulapol. Amat tidak munasabah untuk menghukum saya kerana saya berada di Pulapol atas paksaan dan tanpa persetujuan saya sendiri.
“Akibat daripada itu, saya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 24 Januari 2014 dan dijatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM1,000.
“Dengan penuh hormat, saya ingin memaklumkan mahkamah pada hari ini saya menarik balik rayuan saya,” katanya ketika membacakan kenyataan yang telah disediakan olehnya terlebih dahulu.
Tambah Tian Chua, beliau telah menyertai perhimpunan Bersih 3 kerana ia adalah sebahagian perjuangan untuk membentuk negara yang lebih baik serta adil, seperti mana diharapkan jutaan rakyat Malaysia yang lain.
“Sekiranya harga untuk mengubah sistem yang zalim dan korup ini adalah dengan saya perlu ke penjara, maka saya amat bersedia untuk membayarnya,” katanya lagi.
Tian Chua juga telah berulang kali mengingatkan bahawa penerimaan hukuman penjara itu bukannya satu pengakuan bersalah tetapi untuk menunjukkan kepincangan kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional.
“Sebenarnya, saya mahu mengetengahkan kesalahan kerajaan ini,” katanya.
Selepas prosiding Tian Chua kelihatan bersalaman dengan pemimpin PKR yang lain, antaranya Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail dan juga Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah.
Kesemua pemimpin pembangkang tersebut kelihatan terkejut dengan keputusan Tian Chua itu.
“Saya semalam sudah bertanyakan kepada beliau apakah keputusan yang akan beliau buat pada hari ini, tetapi dia enggan beritahu,” Wan Azizah memberitahu wartawan sambil mengakui beliau terkejut dengan keputusan Tian Chua itu.
Peguam Latheefa pula berkata barisan peguam telah menasihati Tian Chua mengenai implikasi terhadap keputusannya tetapi bekas anak guamnya itu tetap dengan pendiriannya.
“Kami telah pun menasihati Tian Chua mengenai kemungkinan dan akibat yang akan dia terima. Tetapi beliau menyatakan tidak takut dengan hukuman penjara dan tetap dengan pendiriannya untuk tidak menjalani hukuman,” katanya ketika ditemui diluar mahkamah.