Suspek Pengeboman Bangkok Ditahan Di Malaysia

Hata Wahari
2015.09.14
150914-MY-TH-BOMBFOLO620 Suspek warga asing Yusufu Mieraili (berbaju kuning) menunjuk ke arah Kuil Erawan di Bangkok, ketika dia memberi gambaran mengenai kejadian yang membawa kepada pengeboman tapak kuil Hindu Erawan kepada polis Thailand. 9 September 2015
AFP

Kemaskini pada 1:04 p.m. ET - 2015-09-15

Polis Malaysia menahan dua rakyatnya dan seorang warga Pakistan bagi membantu siasatan berhubung kes pengeboman maut di Bangkok pada 17 Ogos lalu, yang  memperluaskan penyiasatan itu ke peringkat antarabangsa.

Ketiga-tiga mereka ditahan selepas memasuki Malaysia minggu lepas, kerana disyaki terbabit aktiviti berkaitan pengganas di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada sidang akhbar Isnin.

Beliau enggan menyatakan bagaimana mereka memasuki Malaysia atau di mana mereka ditahan - kecuali pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) memainkan peranan dalam perkara itu.

“Mereka telah dikenal pasti melalui perkongsian maklumat antara Polis DiRaja Malaysia dan Polis Thailand," katanya.

"Bagaimanapun, kita tidak akan menyerahkan suspek kepada Thailand setakat ini, kerana kita perlu melakukan siasatan lanjut untuk menentukan kesahihan maklumat mengenai sama ada suspek utama itu berada di negara kita dan kemungkinan adanya rangkaian pengganas," tambah Khalid.

Dengan penangkapan mereka, sekurang-kurangnya lima orang telah ditahan berhubung kejadian pengeboman Bangkok. Di Thailand, dua lelaki asing telah ditangkap dan didakwa memiliki bahan letupan.

Seorang daripada suspek Malaysia itu adalah wanita, kata polis.

Dan dalam satu serbuan di asrama wanita di daerah Din Daeng di Bangkok pada Ahad, pihak berkuasa menahan tiga wanita untuk disoal sebagai sebahagian daripada siasatan itu, lapor Bangkok Post.

Minggu lalu, polis Thailand berkata seorang daripada suspek yang dikenali sebagai Yusufu Mieraili (gambar) telah mengaku menyerahkan sebuah beg galas mengandungi bom yang digunakan dalam serangan itu kepada suspek utama lain, iaitu seorang lelaki berbaju kuning yang dirakamkan oleh CCTV sedang menanam bom di Kuil Erawan sejurus sebelum letupan itu berlaku.

Serangan ke atas kuil Hindu itu membunuh 20 orang dan mencederakan 120 yang lain ketika kesibukan petang di persimpangan Rajaprasong , Bangkok.

Kaitan Dengan Bangladesh

Pada Isnin juga, polis Thailand memberitahu pemberita bahawa dalang letupan itu - yang mereka namakan sebagai pemegang pasport China, Abu Dustar Abdulrahman atau "Izan" - kini berada di Turki.

Polis Thailand sebelum ini berkata bahawa mereka percaya Izan telah melarikan diri ke China pada malam serangan itu.

Tetapi, seorang pegawai Bangladesh pada Isnin mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa lelaki itu tiba di Dhaka pada 16 Ogos lalu dan keluar dari negara itu dua minggu kemudian.

"Berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa imigresen, suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal dengan penerbangan Bangladesh Biman  dari Bangkok pada 11 pagi, 16 Ogos lalu," kata Penolong Ketua Polis Bangladesh Nazrul Islam kepada BeritaBenar.

"Pemegang pasport China itu meninggalkan Dhaka dengan penerbangan Jet Airways pada kira-kira 10 pagi. Pas masuknya menyatakan destinasi terakhirnya ialah Beijing," kata pegawai Bangladesh itu, dengan menyatakan 30 Ogos sebagai tarikh berlepas tetapi enggan mengulas lanjut.

"Dia berlepas dari  Dhaka pada 30 Ogos untuk ke Delhi dengan menaiki Jet Airways," Associated Press memetik jurucakap Polis Thailand Prawut Thavornsiri sebagai berkata hari ini.

"Dari Delhi, dia meneruskan perjalanannya ke Abu Dhabi, dan dari Abu Dhabi dia ke Istanbul pada 31 Ogos. Ini merupakan destinasi terakhirnya. Ia jelas sekali."

Namun, pegawai kanan kerajaan Turki menafikan perkara itu.

"Tiada rekod menunjukkan suspek memasuki Turki," kata pegawai itu kepada AP, dan enggan namanya disiarkan.

"Pihak berkuasa Thailand juga tidak memaklumkan kepada kami bahawa seorang suspek keganasan itu dalam perjalanan ke Turki."

Tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman - serangan pengganas dahsyat Thailand - dan pihak berkuasa Thailand belum mendedahkan motif.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman itu - serangan pengganas paling dahsyat di Thailand - dan pihak berkuasa Thailand belum mendedahkan sebarang motif.


Shahriar Sharif menyumbang kepada laporan ini.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.