Tiga Rakyat Malaysia Terlibat IS Mati di Iraq
2015.10.01

Polis Malaysia mengesahkan tiga lagi rakyatnya mati semasa berjuang untuk kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq dalam tempoh sebulan.
Dua daripada mereka maut ketika bertempur manakala seorang lagi adalah pengebom bunuh diri.
Jumlah terbaru ini menjadikan rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria dan Iraq berjumlah 14 orang.
Pada 22 September lepas, BeritaBenar melaporkan polis Malaysia mendedahkan sekurang-kurangnya empat rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria dan Iraq telah menjadi pengebom bunuh diri.
Tiga daripadanya sudah meninggal dunia manakala seorang lagi yang dikenali sebagai Abu Ubaidah yang dipercayai berada di Iraq masih menunggu masa untuk melancarkan serangan sebagai pengebom bunuh diri.
Tinjauan BeritaBenar di media sosial Facebook milik beberapa anggota kumpulan IS rakyat Malaysia mendapati seorang lagi pejuang IS, dikenali sebagai Abu Aydan telah meninggal dunia pada pertengahan September lalu.
Ia berikutan beberapa rakan lelaki berkenaan yang memuat naik gambar Abu Aydan di dalam Facebook mereka sambil mengucapkan Innalillahi wainnalillah hirojiun dan Allahuakhbar selepas mendapat tahu beliau sudah ‘syahid’.
Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay semasa mengulas mengenai kematian rakyat Malaysia semasa dihubungi BeritaBenar pada 22 September lepas berkata, polis tidak dapat mengenalpasti identiti mereka yang terlibat kerana Syria dan Iraq tidak mempunyai pentadbiran yang lengkap untuk mengenalpasti mereka itu.
“Perkara ini [pengebom bunuh diri] memang berlaku dan pihak polis mengetahui antara tiga dan empat orang rakyat Malaysia telah menjadi pengebom bunuh diri…. Tindakan ini dilakukan kerana mereka hendak mati syahid,” tegas beliau.
Dalam pada itu, akhbar harian The Star dalam berita ekslusifnya melaporkan Ayub sebagai berkata, tiga rakyat Malaysia di Iraq, yang dipercayai direkrut oleh kumpulan militan IS di Syria dan telah 'diberi kepercayaan' untuk menyertai misi operasi khas kumpulan itu telah terbunuh.
Ketiga-tiga mereka ialah Zid Saharani Mohamed Esa, 43, Muhamad Syazani Mohd Salim, 28, dan Fadzly Ariff Zainal Ariff, 31.
Beliau berkata Zid Saharani yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) meninggal dunia dalam pertempuran dengan tentera di Bayji, Iraq pada 29 Ogos.
"Kami percaya beliau adalah salah seorang penembak tepat yang ditugaskan untuk menyasarkan struktur Kerajaan Iraq di Bayji.
"Zid, yang juga dikenali sebagai Abu Hoor, dipercayai pergi ke Syria pada Julai tahun lepas. Beliau pergi melalui Bangkok dan kemudiannya terbang ke Turki sebelum masuk laluan selamat ke Syria melalui jalan darat.
"Sebelum ini, beliau didapati terlibat dalam Kumpulan Mujahidin Malaysia dan telah ditahan di bawah ISA pada tahun 2002," katanya.
Ayub berkata, Muhamad Syazani, yang dikenali sebagai Abu Aydan, turut terbunuh di Bayji dalam satu pertempuran kecil dengan tentera Iraq pada 18 September lalu.
Beliau dipercayai menjadi anggota rejimen infantri IS yang dilatih untuk memenuhi matlamat misi tertentu.
"Dia pergi ke Syria pada 23 September melalui Istanbul bersama-sama dengan abangnya Muhamad Syazwan," katanya.
Mangsa ketiga yang dipercayai seorang pengebom bunuh diri iaitu Fadzly Ariff, meninggal dunia selepas memandu sebuah trak yang sarat dengan tujuh tan bahan letupan ke arah sebuah jambatan di Buhayrāt, yang terletak di Fallujah pada 26 September lepas.
"Serangan itu juga membunuh sekumpulan tentera Iraq.
"Perisikan kami menunjukkan bahawa Fadzly Ariff, juga dikenali sebagai Abu Ubaidah, sebelum ini terbabit dalam cubaan pengeboman bunuh diri sebanyak dua kali" tetapi gagal, katanya sambil menambah bahawa bekas penjual burger itu telah pergi ke Syria pada 11 Oktober 2013.
Ayub berkata, ibu Fadzly Ariff, Azizah Md Yusof ditahan di bawah SOSMA pada 28 April tahun lalu kerana menyokong IS, dan kemudiannya didakwa pada 23 Mei tahun yang sama.
Setakat ini, 14 orang anggota IS berkerakyatan Malaysia telah terbunuh di Syria dan Iraq.
Ayub juga mendedahkan, pada masa ini, polis Bukit Aman telah mengenal pasti seramai 69 rakyat Malaysia yang terlibat dengan IS di Syria.
DNA
"Seperti beberapa kematian yang melibatkan rakyat Malaysia di kedua-dua negara, adalah sukar untuk mendapatkan sampel DNA untuk benar-benar mengesahkan dan mengenal pasti pejuang yang terlibat.
"Bagaimanapun, kita bergantung kepada rangkaian perisikan untuk mencegah sebarang plot keganasan dan juga mendapatkan maklumat mengenai kematian yang melibatkan rakyat Malaysia di sana," kata Ayub.
Beliau berkata, sebelum ini, terdapat militan yang menyertai kumpulan pengganas lain, termasuk Jabhat al-Nusra, gabungan rasmi Al-Qaeda di Syria.
"Bagaimanapun, trend ini telah terhenti kerana kesemua mereka telah menyertai IS," katanya.
Walaupun bilangan rasmi adalah 69, Ayub berkata jumlah sebenar rakyat Malaysia di Syria mungkin boleh mencecah 100, termasuk kanak-kanak.
Seramai 121 individu termasuk 23 wanita daripada pelbagai peringkat umur telah ditahan di seluruh Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan IS.
Ayub berkata, rakyat Malaysia yang menyertai IS, tidak lagi terhad kepada tanggungjawab kecil. Mereka yang terpedaya dengan janji 'jihad' palsu ini sedang dilatih untuk menjadi penembak tepat dan pengebom bunuh diri dengan matlamat yang telah ditetapkan oleh kumpulan pengganas di Iraq.
Beliau berkata, kumpulan pengganas itu kini bergantung kepada sebilangan rakyat Malaysia untuk menjalankan ops misi khas di seluruh Iraq.
Boleh dikatakan kehadiran IS di Syria agak kukuh tetapi mereka semakin lemah di Iraq apabila banyak wilayah jatuh ke dalam tangan tentera kerajaan Iraq, katanya.
"Perisikan kita telah mendedahkan bahawa mereka kini terpaksa bergantung kepada rakyat Malaysia untuk menjalankan misi serangan terhadap beberapa struktur utama di Iraq," katanya seperti dilaporkan oleh akhbar The Star pada Khamis.
Ayub berkata, kebimbangan kumpulan pengganas adalah untuk menuntut semula wilayah yang hilang dalam bekas negara yang dipimpin Saddam Hussein itu.
"Kumpulan ini melatih lebih ramai pejuang Malaysia, diambil dari sel Khatibah Nusantara di Syria untuk menyertai skuad ops khas mereka.
"Khatibah Nusantara terdiri daripada pejuang IS dari Malaysia dan Indonesia. Mereka bersatu kerana bahasa dan kepentingan mereka adalah sama, "katanya.
Ayub turut mengulas mengenai terdapatnya bendera kumpulan militan IS yang dilihat berkibar di beberapa buah negeri seperti di Perak, Terengganu, Kedah dan Selangor sejak dua minggu lepas.
Beliau berkata, Polis Bukit Aman sedang menyiasat mengenai kibaran bendera IS itu dan sentiasa memantau perkembangan mengenai kumpulan IS itu.
Ayub juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang khabar angin bahawa serangan akan berlaku di Malaysia.