Sembilan Anggota Tentera Laut Yang Hilang Berjaya Diselamatkan

Fadzil Aziz
2017.05.22
Kuala Lumpur
170522-my-tldm-sedili620.jpg Gambar bot TLDM yang ditemui berdekatan perairan timur Kuantan, Pahang.
(Ihsan Panglima TLDM)

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin mengumumkan kejayaan menyelamatkan sembilan anak kapal tentera laut yang hilang sejak Sabtu di perairan timur Kuantan, di Pahang.

Penemuan itu disahkan sendiri oleh Panglima Tentera Laut Malaysia Laksamana Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin selepas usaha mencari dan menyelamat melibatkan 11 kapal dan dua helikopter itu dimulakan sebaik saja dimaklumkan mengenai kehilangan berkenaan.

“#SAR bot KD Perdana. Ekoran laporan dari kapal dagang, pesawat Beechcraft #TUDM telah ditugaskan dan melaporkan bot dijumpai selamat,

“Usaha SAR bot KD Perdana dilakukan oleh semua pihak termasuk kapal dagang dan para nelayan di kawasan pencarian. Dipercayai hanyut ke utara,” kata beliau dalam laman Twitternya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada awal Isnin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan bahawa Kapal Diraja (KD) Perdana terputus hubungan dengan bot boading team KD Perdana, yang membawa sembilan aggotanya semasa dalam operasi mengusir beberapa buah bot nelayan asing di perairan Sedili, di negeri Johor.

“Mereka kelihatan baik dari atas udara. Terima kasih kepada semua yang membantu dalam usaha SAR ini. Satu kerjasama pasukan yang baik!,” kata Panglima berkenaan dalam laman twitternya lewat malam Isnin.

Bagaimanapuin Panglima TLDM itu tidak mendedahkan keadaan anggota yang berada di atas bot berkenaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah mengarahkan semua aset kerajaan Malaysia dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Saya doakan agar sembilan anak kapal KD Perdana yang terputus hubungan malam tadi di perairan Johor dijumpai segera dalam keadaan sihat dan selamat.

“Saya mahu usaha operasi mencari dan menyelamat diperluas serta ditingkatkan. Semua aset kerajaan yang diperlukan harus dikerah. Terima kasih juga saya ucapkan kepada para nelayan yang turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat ini,” katanya dalam catatan laman Facebook beliau pada petang Isnin.

Selain beberapa buah kapal TLDM beserta dua buah helikopter, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga terlibat dalam operasi pencarian dan menyelamat itu, menurut TLDM.

TLDM dalam kenyataan itu berkata “Lokasi terakhir penglihatan bot dan hubungan komunikasi terputus adalah 29 batu bautika (bn) Timur Tanjung Sedili Besar.

“Keadaan cuaca baik dengan ketinggian ombak 1 hingga 1.5 meter dan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam di kawasan kejadian,” kata kenyataan itu.

Bot dan krew dari KD Perdana itu  hilang semasa membuat rondaan di kawasan perairan negara bagi menghalang kemasukan sepuluh buah bot nelayan Vietnam dengan sembilan anak kapal tersebut merupakan pasukan menggeledah, kata kenyataan itu.

“Pada 20 Mei, KD Perdana telah mengesan 10 bot nelayan Vietnam pada pukul 9.30 pagi di sekitar kawasan rondaan. Lima bot nelayan itu berjaya diarahkan keluar menghala ke zon ekonomi eksklusif(EEZ) manakala lima lagi bot menghala ke utara.

“Pada pukul 1.00 petang, kapal berjaya mengesan lima bot nelayan asing. Sebuah Bot pasukan penggeledah telah diarah melaksanakan operasi menggeledah bot nelayan asing berkenaan yang berada hampir empat kilometer dari lokasi, manakala kapal tersebut menghalau bot nelayan asing lain,” menurut laporan itu.

TLDM dalam kenyataan itu berkata, kapal berkenaan diketuai seorang pegawai dan lapan anggota Laskar Kanan ke bawah yang melaksanakan rondaan maritim rutin di kawasan perairan negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.