Putera Mahkota Johor Bertemu Diplomat Korea Utara Menjelang Perlawanan Bola sepak
2017.09.19
Kuala Lumpur

Seorang putera raja Malaysia memberitahu yang baginda telah mengadakan pertemuan ‘sangat positif’ pada Selasa dengan seorang diplomat Korea Utara menjelang perlawanan bola sepak antara kedua-dua negara yang akan berlangsung di Pyongyang bulan depan, walaupun ketegangan semakin meningkat berikutan ujian peluru berpandu nuklear dan balistik.
Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, putera mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut mendapat akses ruang udara memasuki Korea Utara yang jarang berlaku hasil daripada pertemuannya dengan Kim Yu Song, Charge D'Affaires dari Kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Putera Mahkota Johor itu pada Selasa.
Putera Mahkota dan diplomat itu juga menangani pelbagai masalah hal ehwal luar negara dan membincangkan mengenai perlawanan kelayakan bola sepak Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara yang sudah dua kali ditangguhkan, sebelum tarikh baru ditetapkan bagi kedua-dua pasukan untuk bermain di Pyongyang pada 5 Oktober depan.
Putera mahkota itu juga menerima "penghormatan khas yang membolehkan akses sepenuh penggunaan ruang udara Korea Utara bagi Tunku Mahkota mengembara dari Johor ke Pyongyang pada bila-bila masa baginda mahu melawat negara berkenaan," menurut kenyataan itu.
"Ini adalah penghormatan tertinggi, kerana mana-mana pemimpin dunia yang lain perlu berhenti di Beijing" sebelum dapat terbang terus ke ibu negara Korea Utara, tambah kenyataan itu lagi.
"Perbincangan ini menghasilkan keputusan yang sangat positif di mana ucapan dari Yang Teramat Mulia Tunku Mahkota telah disampaikan kepada pemimpin tertinggi Korea Utara," menurut kenyataan itu tanpa mengulas lanjut.
Pegawai dari Kementerian Luar Negeri Malaysia enggan memberi sebarang maklum balas mengenai berita dari Istana Bukit Serene, kediaman rasmi kerabat Johor, di mana pertemuan itu berlaku.
Windsor Paul, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi 47 buah negara, berkata beliau tidak pasti rancangan perjalanan Tunku Mahkota ke Pyongyang, meskipun mengenai akses udara khas.
"Bagi perlawanan itu sendiri, Jawatankuasa Pertandingan telah memutuskan bahawa perlawanan akan diteruskan melainkan ada perubahan kepada status keselamatan di rantau itu yang kami sentiasa memantaunya dengan teliti," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.
Dengan empat lagi perlawanan, Malaysia perlu berada antara dua pasukan teratas dalam Kumpulan B sebelum layak ke Piala AFC 2019, yang akan bermain di Emiriah Arab Bersatu dari 5 Januari hingga 1 Februari 2019, demikian menurut Bernama, agensi berita Malaysia.
Malaysia tewas 2-1 kepada Lebanon dan hanya berjaya mengumpul mata seri, 1-1 dengan Hong Kong dalam dua perlawanan kelayakan Piala AFC.
Tunku Mahkota sebelum itu menyatakan kebimbangan bahawa pemain dari pasukan kebangsaan akanterdedah kepada makanan beracun "kerana sabotaj," jika AFC memaksa Harimau Malaysia untuk bermain di Pyongyang.
Malaysia adalah antara 10 negara ASEAN yang mengekalkan hubungan dengan Korea Utara.
Kuala Lumpur dan Pyongyang mempunyai hubungan dua hala sejak tahun 1973, tetapi hubungan itu menjadi buruk pada awal tahun ini berikutan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpim diktator Korea Utara, Kim Jong Un di Malaysia.
Ketegangan Di Korea
Ujian peluru berpandu nuklear dan balistik oleh Korea Utara baru-baru ini telah menimbulkan ketegangan di Semenanjung Korea dan menggerakan kebimbangan keselamatan serantau di kalangan anggota masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia.
Minggu lepas, kerajaan Malaysia mengecam pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara dengan menyatakan kekecewaan dan perbalahan berterusan rejim komunis yang tidak mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kuala Lumpur juga menggesa Pyongyang untuk menghentikan program peluru berpandu nuklear dan balistik.
"Malaysia meluahkan kebimbangan yang serius terhadap pelancaran peluru berpandu balistik yang masih lagi melintasi kawasan negara Jepun, yang menimbulkan ancaman langsung terhadap keselamatan nasional negara berkenaan.
Aksi provokasi sedemikian terus menimbulkan ketegangan yang ada di Semenanjung Korea dan serantau," kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat lepas.
Pada 11 Sept lalu, Majlis Keselamatan PBB mengundi sebulat suara untuk meningkatkan sekatan terhadap Korea Utara selepas ujian nuklear keenam dan terbesar oleh Pyongyang pada bulan ini. Sekatan tersebut, ketetapan kesembilan terhadap Korea Utara sejak 2006, mengharamkan eksport tekstil dan bekalan bahan bakar.
Bola sepak dan politik
Perlawanan akan datang yang pada awalnya diadakan di Pyongyang pada 28 Mac lepas telah ditangguhkan kepada 8 Jun berikutan kebimbangan keselamatan oleh pegawai Malaysia selepas Kim Jong Nam dibunuh dalam serangan senjata kimia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu.
Ketegangan itu berlangsung selama enam minggu dan menyaksikan Malaysia dan Korea Utara mengusir duta masing-masing, dan juga mengenakan larangan keluar timbal balik kepada rakyat masing-masing.
Perdana Menteri Malaysia bersama berpendapat dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat menuduh ejen kerajaan Korea Utara membunuh Kim.
Ketegangan itu berakhir pada akhir Mac lepas apabila Malaysia bersetuju untuk mengembalikan mayat Kim Jong Nam ke Korea Utara sebagai pertukaran untuk pembebasan pegawai kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang terkandas di Pyongyang akibat larangan keluar pejalanan berkenaan. Larangan itu telah ditarik balik.
AFC yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah menetapkan yang Pyongyang masih lagi tempat untuk perlawanan akhir Kumpulan B, walaupun larangan perjalanan itu ditarik balik. Kedua-dua pasukan yang sepatutnya bertemu di Pyongyang pada 28 Mac Malaysia telah meminta badan sukan itu untuk mengadakan pertemuan itu di tempat dan suasana yang lebih neutral.
Malaysia boleh didenda sehingga $50,000 dan menghadapi kehilangan kelayakan dari kejohanan pada masa depan jika negara itu memutuskan untuk menarik diri dari perlawanan dengan Korea Utara.