Malaysia Mulakan Siasatan Terhadap Asrama Penginapan Pekerja Top Glove

Enam kilang disiasat selepas serbuan mendapati pekerja terpaksa tinggal dalam asrama yang sempit dan tidak selesa.
Ray Sherman
2020.12.01
Kuala Lumpur
Malaysia Mulakan Siasatan Terhadap Asrama Penginapan Pekerja Top Glove Anggota Tentera DiRaja Malaysia memasang kawat duri di sekitar penempatan pekerja milik kilang Top Glove Corp Bhd, syarikat pengeluar sarung tangan pakai buang terkemuka di dunia di Meru, Klang, Selangor, 17 November 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa berkata beberapa siasatan dimulakan berhubung dakwaan mengenai keadaan penginapan yang buruk di asrama-asrama enam kilang yang dimiliki Top Glove, syarikat pengeluar sarung tangan perubatan yang terbesar di dunia, setelah lebih daripada 3,400 pekerja kilangnya di negeri Selangor didapati positif COVID-19.

Selepas serbuan dilakukan di asrama-asrama Top Glove di lima negeri lain pada minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia menyatakan pihaknya mendapati asrama berkenaan tidak mematuhi standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja.

"Serbuan serentak pada 26 November dilakukan berikutan peningkatan kes koronavirus dalam kalangan pekerja Top Glove di kilangnya di bandar Klang di Selangor pada 7 November," kata kementerian itu dalam satu kenyataan, yang merujuk kepada kluster jangkitan paling awal di kilang Top Glove.

"Berikutan itu, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka terhadap enam kilang di bawah Top Glove Group Corporation Bhd."

Siasatan itu dilakukan kira-kira empat bulan selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat import sarung tangan getah buatan Top Glove, dengan menyatakan adanya "bukti yang munasabah" mengenai buruh paksa di kilangnya.

Sementara itu pada Selasa, Jabatan Tenaga Kerja Malaysia menyatakan AS mungkin menurunkan kedudukan Malaysia dalam laporan tahunan penting mengenai perdagangan manusia sekiranya tuduhan terhadap Top Glove terbukti benar.

"Kita sudah pun berada dalam Senarai Pemantauan Tahap 2 Laporan Pemerdagangan Orang 2019 Jabatan Negara AS, dan kami amat berhati-hati dengan faktor-faktor yang boleh menyebabkan kita ditempatkan di tahap yang lebih rendah," kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Asri Ab Rahman.

Pada 2018, kedudukan Malaysia diturunkan satu peringkat ke Tahap 2, antara lain kerana berleluasanya "rasuah yang berkaitan dengan proses warga asing untuk bekerja di Malaysia." Ia kekal berada dalam tahap itu pada 2019.

Minggu lalu, ketika pihak berkuasa kesihatan menggantung operasi 28 kilang Top Glove di Klang, Selangor, ketua pengarah kesihatan Malaysia menyatakan bahawa sebahagian besar pekerjanya yang dijangkiti koronavirus adalah pekerja asing.

Pada Selasa, Malaysia melaporkan 1,472 jangkitan koronavirus yang baru, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 67,169, menurut data Kementerian Kesihatan.

‘Penginapan padat, tidak selesa serta pengudaraan teruk’

Kemudahan perumahan Top Glove juga sedang disiasat di negeri Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor.

"Hasil siasatan menyeluruh mengenai kemudahan perumahan dan asrama pekerja mendapati bahawa majikan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)," kata kenyataan kementerian itu.

Pindaan akta tersebut mewajibkan majikan menyediakan tempat tinggal untuk pekerja dengan ruang minimum yang memenuhi standard keselamatan dan kebersihan. Pindaan itu berkuat kuasa pada 1 September.

"Kesalahan terbesar adalah kegagalan syarikat untuk memperoleh perakuan penginapan daripada ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja mengikut bawah Seksyen 24D Akta 446," kata kenyataan itu.

“Kesalahan lain termasuklah keadaan penginapan dan asrama yang padat, tidak selesa dan tiada pengudaraan yang sesuai untuk pekerjanya. Malah, bangunan yang digunakan sebagai penginapan pekerja juga tidak mematuhi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan. ”

Kementerian berkenaan menyatakan bahawa ia akan menyerahkan laporan siasatannya kepada timbalan pendakwa raya.

Pejabat pendakwa raya yang akan memutuskan sama ada Top Glove perlu didakwa, kata Asri ketika ditanya bila dan sama ada syarikat itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Hanya 30 peratus daripada 24,000 syarikat yang diperiksa Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara mematuhi Akta 446 itu, katanya.

Pelanggaran akta itu boleh menyebabkan majikan dikenakan hukuman denda yang tinggi.

"Sekiranya didapati bersalah, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 (AS$12,250) bagi setiap pertuduhan," kata kementerian itu.

'Pekerja kami adalah aset terbesar syarikat'

Pada Selasa, pegawai kanan Top Glove menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Top Glove ingin menjelaskan bahawa usaha mencari lebih banyak tempat penginapan dan memperbaiki kemudahan tempat tinggal pekerja sedia ada sedang dijalankan, memandangkan jumlah pekerja kami yang ramai," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

"Kami berharap dapat menyelesaikan usaha memperbaiki keadaan tempat tinggal pekerja pada 31 Disember 2020. Ini selaras dengan pendekatan membimbing majikan yang dilaksanakan kerajaan dalam pelbagai sektor sehingga akhir tahun ini (2020), supaya mereka dapat mematuhi Akta 446. "

Top Glove berkata ia telah membelanjakan kira-kira RM20 juta (AS$4.9 juta) sejak dua bulan lalu untuk membeli 100 pangsapuri bagi menempatkan pekerja selaras dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

"Ini adalah tambahan kepada pembelian 100 unit rumah dua tingkat dan asrama dengan kemudahan lengkap termasuk kantin dalam rumah, mesin juruwang automatik, kedai gunting rambut dan kedai serbaneka yang bernilai kira-kira RM50 juta (AS$12.2 juta)," kata syarikat itu.

Syarikat-syarikat Malaysia menghasilkan 65 peratus sarung tangan getah dunia. Top Glove membekalkan lebih daripada satu per empat sarung tangan lateks dunia atau sebanyak 90 bilion sarung tangan setiap tahun.

Minggu lalu, syarikat itu menyatakan bahawa harga sarung tangan perubatan akan meningkat berikutan kekurangan pengeluarannya susulan penutupan sebanyak 28 - atau lebih daripada separuh – kilang-kilangnya.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.