Amerika Syarikat Sita 3.97 Juta Sarung Tangan Keluaran Top Glove

Rampasan sarung tangan bernilai AS$518,000 dilakukan di sebuah pelabuhan di Cleveland, Ohio.
Nani Yusof
2021.05.04
Washington
Amerika Syarikat Sita 3.97 Juta Sarung Tangan Keluaran Top Glove Seorang pekerja sedang memeriksa sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan di kilang Top Glove yang terletak di Shah Alam, pinggir Kuala Lumpur, 26 Ogos 2020.
[AFP]

KEMASKINI pada 10.30 malam waktu tempatan ETS - 2021-05-04

Pihak berkuasa sempadan Amerika Syarikat merampas dan menyita 3.97 juta sarung tangan pakai buang keluaran Top Glove di sebuah pelabuhan di Ohio berikutan adanya penggunaan buruh paksa dalam operasi pengeluaran syarikat itu di kilang-kilangnya di Malaysia, kata Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) pada Selasa.

CBP, dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Washington, berkata rampasan tersebut dibuat di sebuah pelabuhan di Cleveland selepas pihak berkuasa itu mengarahkan pegawai di semua pintu masuk negara itu menyita sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh syarikat berkenaan.

“Pada 29 Mac, CBP mengarahkan pegawai di semua pintu masuk Amerika Syarikat untuk mula menyita sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove Corporation Bhd.

“Penghantaran sarung tangan ke Cleveland disita setelah pemeriksaan dijalankan oleh pegawai CBP mendapati ia adalah sarung tangan yang dihasilkan oleh anak syarikat Top Glove di Malaysia. Penghantaran itu dianggarkan bernilai AS$518,000.

"Penyitaan ini membawa mesej yang tegas bahawa CBP tidak akan bertolak ansur dengan barangan import yang dihasilkan dengan menggunakan buruh paksa, penghambaan moden dan menyusahkan pekerja yang rentan dan mengancam ekonomi," kata Diann Rodriguez, Pengarah Pelabuhan Kawasan Cleveland. "CBP sentiasa memudahkan pengimportan PPE sah yang diperlukan untuk pandemik COVID-19 dengan memastikan hanya PPE yang dibenarkan dan selamat untuk digunakan."

CBP Top Glove Seizure Cleveland 1.JPG

Sarung tangan pakai buang keluaran kilang Top Glove di Malaysia yang dirampas oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat di Pelabuhan Cleveland di Ohio. [Ihsan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat]

Ada bukti

Mac lalu, CBP mendapati adanya penggunaan buruh paksa berdasarkan beberapa bukti dan petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran sarung tangan Top Glove. Ini termasuklah adanya tunggakan hutang, kerja lebih masa yang melampau, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang buruk serta penyimpanan dokumen pengenalan diri.

Menurut Washington, larangan terhadap produk syarikat itu yang dikeluarkan itu tidak memberi kesan yang signifikan kepada jumlah import sarung tangan pakai buang AS yang amat kritikal semasa pandemik COVID-19.

Arahan larangan AS itu memberi tamparan besar kepada pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu, yang kini dalam proses membuat rayuan bagi membatalkan keputusan perintah sekatan yang dikenakan CBP terhadap produknya sejak tahun lalu.

“Pejabat Perdagangan CBP, selepas merujuk kepada Setiausaha Perbendaharaan, menerbitkan mengenai penemuan kegiatan buruh paksa dalam penghasilan sarung tangan pakai buang oleh Top Glove di Malaysia dalam Buletin Kastam serta Pendaftaran Persekutuan,” menurut kenyataan media CBP yang dikeluarkan di Washington pada Mac.

Dalam penemuan tersebut, CBP mendapati adanya maklumat yang mencukupi untuk mempercayai bahawa Top Glove menggunakan tenaga buruh paksa dalam pengeluaran produk sarung tangan pakai buang. Sebarang barangan yang tersenarai di dalam penemuan buruh paksa akan termaktub kepada rampasan sejurus tiba di mana-mana pintu masuk AS.

"Penemuan mengenai buruh paksa itu adalah hasil daripada siasatan selama berbulan-bulan oleh CBP, yang bertujuan menghalang barangan yang dihasilkan melalui penghambaan moden daripada memasuki jualan dalam pasaran AS,” kata Troy Miller, yang memangku tugas Pesuruhjaya CBP, dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata CBP tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat dari negara-negara luar yang melakukan eksploitasi pekerja hanya untuk menjual barangan pada kadar murah serta menyekat produk yang dihasilkan secara tidak beretika daripada dijual kepada pengguna di Amerika Syarikat.

“CBP telah menggerakkan langkah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan bersasar terhadap Top Glove tidak akan memberi impak signifikan terhadap jumlah keseluruhan sarung tangan pakai buang yang diimport oleh AS,” kata John Leonard, pemangku Penolong Eksekutif Pesuruhjaya bagi Perdagangan CBP, dalam kenyataan yang sama.

“Kami akan terus menjalankan tugas dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan bahawa peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan farmaseutikal yang diperlukan untuk menangani COVID-19 dibenarkan dibawa masuk ke negara ini serta memastikan ia selamat dan dibenarkan pengunaannya,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, AS telah mengeluarkan larangan import terhadap sarung tangan keluaran Top Glove berikutan adanya "bukti munasabah" berhubung penggunaan buruh paksa.

"Bukti menunjukkan pelbagai petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa berhubung penggunaan buruh paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang buruk," kata jurucakap CBP dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 16 Julai.

Undang-undang Persekutuan 19 U.S.C. 1307 melarang pengimportan barang dagangan yang dilombong, diperbuat atau dihasilkan, secara sepenuhnya atau sebahagian, oleh tenaga banduan, buruh paksa dan / atau buruh tanpa izin termasuk buruh kanak-kanak paksa atau tanpa izin. CBP akan merampas penghantaran berkenaan yang tertakluk kepada penemuan tersebut kecuali pengimport dapat membuktikan hingga memuaskan hati CBP bahawa, perkara 19 C.F.R §12.43, barang dagangan berkenaan tidak dihasilkan dengan penggunaan buruh paksa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.