Najib Bertemu Trump Di Washington September Depan
2017.08.24
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Najib Razak dijangka bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat [AS] Donald J. Trump di White House dalam rangka lawatannya ke negara itu September depan, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbiran dari kedua-dua negara.
Pentadbiran White House dalam satu kenyataan pada Rabu berkata Presiden Trump telah mempelawa Najib untuk satu pertemuan yang dijadualkan pada 12 September di ibunegara itu.
Manakala Wisma Putra turut mengeluarkan kenyataan media yang sama memaklumkan mengenai lawatan Najib itu pada Khamis dengan mengesahkan bahawa Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Washington atas jemputan Trump.
“Malaysia dan Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun ini dan hubungan itu telah dipertingkatkan ke perkongsian yang komprehensif di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia.
Tambah kenyataan itu, kedua--dua pemimpin dijangka akan membincangkan hal-hal keselamatan negara, usaha menentang aktiviti keganasan dan ekstremisme, serta perdagangan dan pelaburan.
Sementara itu, kenyataan dari Rumah Putih berharap Trump dapat membincangkan pelbagai perkara dalam merapatkan hubungan dua hala.
“Presiden Trump berharap untuk meraikan ulang-tahun ke-60 perhubungan Amerika Syarikat – Malaysia dan membincangkan pelbagai kaedah dalam memperkuatkan dan memperluaskan hubungan dua hala serta kerjasama serantau dengan Malaysia yang merupakan salah satu rakan kongsi AS yang paling rapat di Asia Tenggara,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih itu, pada Rabu.
Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu menyiarkan laporan yang Najib ingin menjalin persahabatan dengan Trump ketika pihak berkuasa AS giat menyiasat dakwaan rasuah melibatkan pentadbirannya.
Laporan WSJ itu memetik sumber yang rapat dengan Najib sebagai berkata, lawatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha supaya penyiasatan lebih lanjut tidak dilakukan pihak berkuasa AS.
Bagaimanapun, pihak kerajaan Malaysia pula menyatakan bahawa ia tidak menemui sebarang kesalahan di 1MDB dan Najib menafikan dakwaan penyelewengan wang.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat pada bulan Ogos telah melancarkan satu siasatan jenayah terhadap 1MDB dan mendakwa berbilion dolar telah dicuri daripada dana pelaburan negara Malaysia itu, dan telah memohon sebuah mahkamah untuk menangguh saman sivil yang difailkan sejak setahun lepas, bagi melindungi keterangan, saksi dan sasaran penyiasatan itu.
Jabatan Kehakiman AS memfailkan 29 kes sivil sejak Julai 2016 dalam usaha merampas aset-aset yang diperolehi melalui institusi kewangan AS dalam cubaan untuk mengubah wang yang dikeluarkan daripada 1MDB.
Tetapi, kini ia berusaha untuk menangguhkan dahulu saman-saman berkenaan, demikin menurut dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles dan diperoleh BeritaBenar.
"Amerika Syarikat membuat permohonan ini dengan alasan prosiding kes ini berkemungkinan memberi kesan terhadap kemampuan kerajaan untuk melakukan siasatan jenayah persekutuan yang berkaitan," kata dokumen itu.
Semasa sidang berita bagi mengumumkan pemfailan mengenai kes tersebut pada Julai tahun lepas, Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata "pegawai rasuah dan rakan-rakan mereka memindahkan wang menggunakan beberapa transaksi rumit yang melibatkan syarikat-syarikat dan akaun bank lohong di seluruh dunia.”
Beliau tidak menamakan pegawai-pegawai berkenaan tetapi saman undang-undang itu menyatakan bahawa AS$681 juta daripada 1MDB telah dipindahkan ke akaun bank "Pegawai Malaysia 1", dengan sumber-sumber akhbar mengenal pastinya sebagai Perdana Menteri Najib Razak yang mengasaskan dana itu pada 2009.
1MDB kendalian negara yang dibebani hutang itu telah menjadi sasaran siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 12 negara, dan dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang membelenggui Najib, yang menafikan sebarang salah laku.
Peguam Negara Malaysia Apandi Ali sebelum ini telah menyatakan bahawa dana yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah sumbangan politik dari Arab Saudi dan kebanyakan wang tersebut telahpun dikembalikan.
Beliau tampil mempertahankan Najib dan menyatakan bahawa Jabatan Keadilan AS telah menghina perdana menteri.
“Selepas semakan, kami mendapati tiada sebarang jenayah dilakukan,” kata Apandi sambil menambah bahawa pihak polis Malaysia masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Peguam Negara Malaysia itu turut meluahkan kekecewaannya kerana Jabatan Keadilan AS telah gagal untuk “memaklumkan atau memberitahu” pihaknya berhubung saman terbaharu itu.
Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku di dalam kes 1MDB yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, yang turut menafikan sebarang kesalahan.