AS: Siasatan Jabatan Kehakiman Tidak Harus Jejaskan Lawatan PM Najib
2017.09.12
Washington DC

Siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) terhadap skandal rasuah besar di Malaysia yang membabitkan Perdana Menteri Najib Razak tidak sepatutnya dikaitkan dengan perbincangan pemimpin Malaysia itu dengan Presiden Donald Trump minggu ini, kata White House pada Isnin.
Kumpulan hak asasi manusia dan kumpulan lain mengkritik masa perbincangan itu diadakan, yang dijadualkan pada Selasa, terutamanya selepas Jabatan Kehakiman berkata bahawa ia mula menjalankan penyiasatan jenayah berhubung kes wang yang diselewengkan daripada dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diasaskan oleh Najib.
Jabatan Kehakiman itu adalah antara agensi-agensi membanteras jenayah di enam negara, termasuk Singapura dan Switzerland, yang menyiasat skandal di 1MDB di mana lebih $4.5 bilion didakwa diselewengkan. Najib didakwa menerima hampir $700 juta yang berpunca daripada dana itu.
Semasa ditanya pada Isnin mengenai pertemuan Trump dan Najib di tengah-tengah siasatan rasuah itu, Setiausaha Akhbar White House Sarah Huckabee Sanders berkata, siasatan itu tidak berkaitan dengan politik.
"Kami tidak akan memberi komen mengenai penyiasatan yang masih berterusan yang diterajui oleh Jabatan Kehakiman, dan penyiasatan itu tidak berunsurkan politik dan sudah tentunya tidak bergantung kepada apa yang akan berlaku esok," katanya kepada pemberita.
Beliau menambah kata bahawa Trump memang berharap untuk membincangkan pelbagai masalah serantau dan keselamatan dengan Najib, termasuk memperkuat kerjasama dalam memerangi keganasan, menangani ancaman nuklear Korea Utara dan meningkatkan keselamatan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
"Itu adalah semestinya, saya rasa, beberapa perkara utama pada mesyuarat esok, tetapi saya tidak boleh beritahu lebih lanjut tentang sebarang perbincangan yang bakal diadakan," katanya.
Tahun lepas, Jabatan Kehakiman memfailkan lebih daripada 24 saman undang-undang dalam usaha mendapatkan semula asset-aset yang didakwa dicuri oleh ahli-ahli perniagaan yang berkaitan dengan 1MDB. Aset-aset tersebut termasuklah kalung berlian untuk isteri Najib, Rosmah.
Najib, yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lepas, telah menafikan sebarang salah laku dan ia disahkan oleh peguam negara Malaysia.
Wall Street Journal yang berpejabat di AS, dalam rencana pengarangnya yang menyengat, telah mempersoalkan keputusan White House untuk mengadakan pertemuan dengan Najib, yang telah memenjarakan pemimpin pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim dan "merupakan suspek dalam skandal rasuah yang berlaku di seluruh dunia."
Nurul Izzah, anak perempuan Anwar yang sedang dipenjarakan, berkata, skandal 1MDB "mendakwa kerajaan Najib secara rutinnya mencuri dana awam untuk kekayaan sendiri dan membiayai kelangsungan politiknya."
"Pemimpin politik kami begitu terbiasa dengan kuasa sehinggakan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk terus menyimpannya," katanya dalam satu artikel dalam Washington Post pada Isnin.
Beliau menuduh parti berasaskan Melayu dan Islam yang diterajui Najib “menyokong kumpulan ekstremis yang secara rutinnya mengganggu dan menakut-nakutkan penganut minoriti Kristian, Buddha dan Hindu di negara itu" dan menuduh kerajaannya mengawal media dan menahan penunjuk perasaan secara aman mengikut undang-undang yang dikhususkan untuk memerangi keganasan.
Najib berkata lawatannya ke Washington adalah bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala yang kukuh di antara AS dan Malaysia selain ia bermatlamat membawa hubungan itu ke tahap yang lebih tinggi.
"Sekiranya Amerika ingin mencari rakan kongsi untuk perdamaian, untuk kemakmuran dan keselamatan dalam dekad yang akan datang dalam abad ke-21, ia dapat mencarinya daripada rakan yang akrab dan teguh di Malaysia," kata Najib dalam satu artikel pendapat dalam akhbar The Hill, yang melaporkan mengenai tugasan Kongres AS dan perhubungan politik dan perniagaan, antara lainnya.
Dalam catatan blog peribadinya, Najib berkata beliau juga akan membincangkan tentang krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh Rohingya di Myanmar, di mana kerajaan negara itu menghadapi kritikan tegas antarabangsa berikutan tindakan kerasnya terhadap minoriti Islam.
Tindakan keras terbaru bermula ketika militan Rohingya menyerang pasukan keselamatan di negeri Rakhine pada 25 Ogos lalu.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijadualkan bertemu pada Rabu untuk membincangkan mengenai keganasan di Myanmar yang sehingga kini menyebabkan lebih 300,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.