Kerajaan Baru Janjikan Dana Untuk Siapkan Projek Pencakar Langit KL

Hadi Azmi
2018.06.21
Kuala Lumpur, Malaysia
180621-MY-1mdb-622.jpg Bangunan pencakar langit, The Exchange 106, sedang dibina di Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, 30 Mac, 2018.
[AP]

Kerajaan baru Malaysia akan menyiapkan projek pencakar langit yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak walaupun wang sebanyak AS$765 juta yang diperuntukkan untuknya didakwa diselewengkan oleh dana negara yang dibelenggui skandal, 1MDB, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Khamis.

Kerajaan akan melabur sebanyak RM2.8 bilion (AS$700 juta) bagi menyiapkan projek Tun Razak Exchange (TRX), katanya.

Selepas mengadakan pertemuan dengan pemaju induk, TRX City Sdn Bhd (TRXC), Lim berkata, kabinet bersetuju pada Rabu untuk melabur dalam projek itu bagi menyiapkan kerja-kerja prasarana sebagai satu bentuk "mengawal kerosakan" yang telah berlaku.

"Projek TRX akan disiapkan walaupun lebih daripada RM3 bilion dana kerajaan telah diselewengkan daripada TRX City Sdn Bhd oleh 1MDB," kata Lim dalam satu kenyataan, yang merujuk kepada dana pelaburan berlandaskan tunai, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Projek seluas 70 ekar itu turut mengandungi 26 bangunan yang bakal  diserlahkan oleh The Exchange 106, bangunan pencakar langit setinggi 106 tingkat. Seluruh projek itu dinamakan sempena bapa Najib yang juga perdana menteri kedua Malaysia.

"Akibat daripada penyelewengan dana, TRX City Sdn Bhd tidak mempunyai wang yang cukup untuk memenuhi kewajipannya sebagai pemaju induk," kata Lim pada sidang berita di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Beliau berkata, sebanyak RM3.07 bilion ($765 juta) daripada sejumlah RM3.7 bilion ($923 juta) dalam jaminan pinjaman kerajaan, bayaran pendahuluan dan pemindahan dana serta pembelian tanah untuk TRX telah disalahgunakan "terutamanya untuk membayar balik pinjaman 1MDB."

“Alternatif untuk tidak menyediakan pembiayaan RM2.8 bilion dan tidak menyiapkan projek itu, adalah dengan terpaksa membayar pampasan RM3.51 bilion ($875.6 juta) selain Kuala Lumpur akan dibelenggui dengan satu projek mega yang terbengkalai,” katanya.

Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng (kanan), sedang membincangkan rancangan kerajaan untuk membiayai projek Tun Razak Exchange, 21 Jun, 2018. (Hadi Azmi/BeritaBenar)

Maklum balas Najib

Komen daripada Lim telah menerima pujian daripada TRXC tetapi dikritik oleh Najib, yang gabungan Barisan Nasional pimpinannya disingkirkan daripada terus berkuasa pada pilihan raya umum bulan lalu.

Dalam satu catatan Facebook, Najib menyambut baik keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneruskan projek itu yang bakal menyediakan "puluhan ribu pekerjaan baru dan mewujudkan sebuah pusat kewangan bertaraf dunia di Kuala Lumpur."

Tetapi bekas perdana menteri itu menuduh Lim "menyebarkan separuh kebenaran dan melakukan pembohongan dalam kenyataannya hari ini mengenai TRX City Sdn Bhd."

Kerajaan baru itu telah melancarkan siasatan terhadap dakwaan rasuah besar yang dilakukan di 1MDB, yang diasaskan Najib pada 2009.

Sejak kekalahan pada pilihan raya itu, Najib dihalang daripada meninggalkan Malaysia dan disoal siasat dua kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dengan hal ehwal 1MDB. Tetapi, beliau secara konsisten  menafikan sebarang salah laku dengan wang yang dikaitkan dengan dana itu.

Bagaimanapun, skandal itu telah membawa kepada siasatan pengubahan  wang di Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menggambarkan dakwaan pencurian berbilion ringgit daripada 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama."

Selain daripada Tun Razak Exchange, 1MDB terlibat dalam pembangunan semula lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di Kuala Lumpur di "Bandar Malaysia", pembangunan berorientasikan pengangkutan yang dibina di sekitar terminal utara yang dirancang dalam cadangan projek keretapi berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Pada Disember 2015, 1MDB menjual 60 peratus kepentingan Bandar Malaysia kepada konsortium bersama antara Malaysia dan China sebanyak RM7.41 bilion (AS$1.85 bilion). Perjanjian itu luput dan terbatal pada Mei selepas konsortium itu gagal memenuhi kewajipannya untuk membuat pembayaran.

Bekas anak syarikat 1MDB

Azmar Talib, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, yang menghadiri sidang berita bersama-saa Lim pada Khamis berkata, walaupun pembinaan bangunan pencakar langit itu kini siap 92 peratus, namun keseluruhan projek itu baru hanya 20 peratus disiapkan.

Agensi berita negara,Bernama, melaporkan bahawa Lim telah mengarahkan TRCX untuk membuat laporan polis dan kepada panel penyiasatan 1MDB berhubung dana projek itu yang didakwa diambil oleh 1MDB.

TRXC bermula sebagai anak syarikat 1MDB dengan nama 1MDB Real Estate Sdn Bhd. Namanya berubah apabila ia menjadi anak syarikat Kementerian Kewangan pada Mac 2017 selepas ia tidak dapat memperoleh pembiayaan bank. Najib berkhidmat sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika pemindahan itu dilakukan.

"Menyiapkan TRX akan membolehkan projek itu mencapai nilai penuhnya sekurang-kurangnya RM7.6 bilion ($1.9 bilion)," kata Lim semasa mengumumkan pembiayaan itu.

"Ini akan membantu menjana kembali dan membayar balik pinjaman TRX City, termasuk jumlah yang diselewengkan oleh 1MDB, mendapatkan semula pelaburan dana dan kos peluang selain berpotensi mencapai lebihan kecil."

1MDB tidak muflis sejak 2016

Najib mempersoalkan bagaimana pembiayaan itu boleh dianggap sebagai usaha menyelamat jika matlamatnya adalah untuk mencapai keuntungan.

Sebelum ini, dalam ucapannya pada majlis yang dikenali sebagai Invest Malaysia pada 2017, Najib memuji TRX sebagai bukti kejayaan rancangan "rasionalisasi" beliau untuk membaik pulih 1MDB yang menurutnya mempunyai kaitan dengan "kesalahan tadbir urus. "

"Daripada menyalurkan wang untuk melindungi sebarang isu dihadapi 1MDB…saya mengarahkan rasionalisasi syarikat itu dan ia sedang berkembang dengan baik," kata Najib pada ketika itu.

"Memang, banyak aset yang pernah dimiliki oleh 1MDB sedang berkembang dengan maju."

Pada 23 Mei, hanya beberapa hari selepas kerajaan baru mengambil alih pemerintahan Malaysia, pengarah 1MDB, Kamal Mohd Ali, memberitahu Kementerian Kewangan bahawa pelaburan itu merupakan "penipuan" dan dana pembangunan sudah muflis sejak 2016.

Kamal dan Norazman Ayob, dua anggota lembaga 1MDB, diarah oleh Lim untuk memberi taklimat kepada kementerian mengenai keadaan syarikat itu selepas beliau mengetahui yang kerajaan Malaysia membuat pembayaran hutang bagi 1MDB sejak April 2017.

"Tiada gunanya untuk terus rasa bimbang. Ia sudah pun muflis,"kata Lim selepas taklimat itu.

Dalam catatan Facebook beliau, Najib berkata tiada pembiayaan TRXC yang diselewengkan oleh 1MDB.

Beliau berkata terdapat pinjaman antara syarikat kira-kira RM3 bilion  ($748 juta) daripada TRXC kepada 1MDB, tetapi pinjaman tersebut telah dibayar balik pada 31 Mac, 2017, melalui pembayaran tunai dan lain-lain cara.

"Sekali lagi, saya memberi amaran kepada YB Lim Guan Eng agar tidak membuat kenyataan yang tidak benar sebagai sebahagian daripada dendam politik [Pakatan Harapan] terhadap saya dan kerajaan terdahulu," kata Najib.

"Bukan sahaja ia tidak profesional, ia menakutkan pelabur mata wang, bon dan pasaran saham. Tentunya kesejahteraan ekonomi kita lebih penting daripada menyiarkan kenyataan bermotifkan politik? "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.