Malaysia Dikutuk Usir Tiga Rakyat Turki

Ray Sherman
2017.05.12
Kuala Lumpur
turki.jpeg Patung ulama yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, digantung di Ankara, Turki, semasa protes rampasan kuasa yang gagal terhadap kerajaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, 2 Ogos, 2016.
AFP

Tiga rakyat Turki yang ditahan di Malaysia kerana didakwa mengancam keselamatan negara, telah dihantar pulang ke negara asal mereka kerana disyaki terlibat dengan seorang ulama yang dianggap Ankara sebagai ketua pengganas, kata Ketua Polis Malaysia pada Jumaat.

Kumpulan hak asasi dan organisasi antarabangsa pada Jumaat menyelar keputusan Malaysia menghantar pulang ketiga-tiga lelaki itu ke Turki secara paksa, dan berkata bahawa tindakan itu meletakkan nyawa mereka dalam bahaya. Anggota keluarga lelaki berkenaan di Malaysia menuduh pihak berkuasa gagal memberitahu tentang pengusiran orang tersayang mereka yang dibuat pada tengah malam.

Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar berkata pada Jumaat bahawa tiga lelaki itu diusir keluar sehari sebelum itu kerana mereka didakwa menganggotai kumpulan yang dilabel oleh Turki sebagai Fethullah Terrorist Organization (FETO).

"Polis mendapati bahawa mereka terlibat dengan FETO dan dikehendaki oleh kerajaan Turki. Dokumen perjalanan mereka telah dibatalkan oleh kerajaan Turki. Oleh itu, kehadiran mereka di Malaysia adalah tidak sah dan mereka dianggap sebagai pendatang haram," kata Khalid kepada pemberita di Kuala Lumpur.

FETO juga dikenali dengan nama lain – Gulem Movement dan Hizmet (Services). Gerakan sosial itu diketuai oleh Fethullah Gulen, seorang ulama Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat dengan pegawai-pegawai Turki telah menuduhnya merancang  menggulingkan kerajaan dalam rampasan kuasa yang gagal pada tahun lepas.

Sejak tangkapan itu minggu lepas, pegawai-pegawai Malaysia telah menyangkal dakwaan bahawa suspek berkenaan - Turgay Karaman, 43, Ihsan Aslan, 39, dan Ismet Ozcelik, 58 - telah ditahan atas permintaan kerajaan Turki, negara majoriti Islam dan sekutu yang bekerjasama dengan Malaysia dalam menangani keganasan.

"Saya tidak mahu mempersoalkan motif  atau integriti mereka tetapi, dengan melihat dari luar, penahanan individu-individu ini kelihatan dibuat bawah pengaruh Turki," kata Y. Alp Aslandogan, presiden Alliance for Shared Values dan ahli lembaga Pengarah Gulen Institute, kedua-duanya dikaitkan dengan Fethullah Gulen, yang berpejabat di New York.

"Ia tidak mencerminkan rekod Malaysia berhubung hak asasi manusia dan, dengan itu, saya menggesa pihak berkuasa ... supaya bebas sepenuhnya daripada sebarang pengaruh Turki," katanya kepada BeritaBenar dalam temu bual telefon awal minggu ini.

'Mereka akan menyeksa dia'

Isteri Aslan, Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar yang merupakan warganegara Malaysia, berkata, beliau terkejut apabila mengetahui bahawa suaminya dan yang lain dipaksa meninggalkan Malaysia.

"Saya mendapat tahu pagi ini daripada seorang wartawan bahawa suami saya telah dihantar pulang. Saya tidak diberitahu sama sekali oleh pihak berkuasa, " katanya kepada BeritaBenar.

Seorang lagi lelaki yang diusir, Karaman, telah tinggal di Malaysia selama hampir 15 tahun dan berkhidmat sebagai pengetua sebuah sekolah antarabangsa di negeri Perak.

Aslan adalah seorang ahli perniagaan manakala Ozcelik merupakan ahli lembaga pengarah sebuah universiti di Turki yang telah ditutup oleh pihak berkuasa selepas cubaan rampasan kuasa pada 2016. Sebelum ini, dia telah ditangkap dan dipenjarakan selama 90 hari oleh Imigresen Malaysia pada Disember atas tuduhan menghalang pegawai awam apabila diminta menunjukkan pasportnya.

Ketiga-tiga rakyat Turki itu ditangkap pada minggu pertama Mei di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) Malaysia, kerana didakwa menjalankan aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, Karaman dan Aslan telah ditahan kerana disyaki menpunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS). Beliau tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Pengusiran minggu ini menyamai  tindakan sama terhadap warga Turki, Alettin Duman dan Tamer Tibik, yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dan dihantar pulang ke Turki pada Oktober 2016.

Berikutan penahanan Karaman, Aslan dan Ozcelik, keluarga mereka merau kepada kerajaan Malaysia supaya tidak menghantar orang tersayang mereka kembali ke Turki.

"Jika mereka tidak mahu (suami saya) berada di sini, mereka boleh menghantar (dia) ke negara-negara lain tetapi bukan Turki kerana mereka akan menyeksa dia," kata isteri Karaman, Ayse Gul Karaman.

Kecaman meluas

Antara organisasi yang mengkritik pengusiran tiga lelaki berkenaan adalah kumpulan penyokong hak-hak asasi tempatan dan antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam siri Tweet, Eric Paulsen, pengarah eksekutif badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Lawyers for Liberty, bertanya apa yang telah dilakukan ketiga-tiga lelaki itu hingga mereka dihantar pulang ke Turki di mana, katanya,  mereka berisiko dipenjara dan diseksa.

"Ini melanggar undang-undang antarabangsa yang melarang penghantaran pulang..."kata Paulsen dalam Twitter, dengan menggunakan istilah undang-undang yang merujuk kepada penghantaran pulang secara paksa seseorang yang berdepan tindakan penganiayaan di tanah airnya.

Josef Benedict, pengarah Amnesty International di Asia Tenggara dan Pasifik, berkata pihak berkuasa Malaysia telah menjejaskan kebebasan dan kesejahteraan ketiga-tiga lelaki itu.

"Mereka telah pun mengalami pengalaman pahit yang menakutkan, dengan sewenang-wenangnya ditahan dan tidak dibenarkan berkomunikasi. Sekarang, mereka telah diekstradisi ke Turki, di mana mereka boleh dikenakan penahanan sewenang-wenangnya, perbicaraan tidak adil dan risiko sebenar penyeksaan, "katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia Phil Robertson turut mengkritik kerahsiaan tentang penghantaran pulang kesemua lelaki itu, dan menyatakan bahawa keluarga mereka tidak dimaklumkan tentangnya.

Beliau berkata penghantaran pulang Ismet, yang diiktiraf sebagai pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), adalah jelas melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Apa yang membuatkan tindakan ini lebih buruk daripada tanda hitam yang sudah pun terdapat dalam rekod hak asasi Malaysia ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara, berkali-kali menafikan penglibatan Turki, dan menggunakan dakwaan palsu dengan kaitan IS atau 'keganasan tempatan 'untuk menjustifikasikan penahanan mereka di bawah undang-undang SOSMA yang menyalahgunakan hak asasi,"kata Robertson.

Pejabat UNHCR Asia Tenggara juga melahirkan kebimbangan  sama berhubung  keselamatan mereka yang dihantar pulang itu.

"Lima orang telah dihantar pulang secara paksa ke Turki dari Malaysia sejak Oktober lepas. Kami bimbang bahawa warga Turki lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan gerakan Gulen mungkin turut ditangkap dan dihantar pulang dari Malaysia, "katanya dalam satu catatan Facebook.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur dan Roni Toldanes di Washington menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.