Malaysia Tahan Warga Turki Ketiga Berkaitan Isu Keselamatan

N. Natha
2017.05.05
Kuala Lumpur
170505-MY-Erdogan-1000.jpg Pemimpin Turki Recep Tayyip Erdogan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Rejimen Askar Melayu Diraja semasa sambutan ketibaan beliau di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 10 Jan 2014.
AFP

Seorang lagi warga Turki telah ditahan di Malaysia minggu ini berkaitan isu keselamatan meskipun pihak berkuasa menolak cadangan bahawa tindakan tersebut diambil atas permintaan kerajaan Turki yang menjejaki pengkritik di luar negara serta mempunyai kaitan dengan rampasan kuasa yang gagal tahun lepas.  

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Jumaat berkata Ismet Ozcelik, seorang ahli akademik berusia 58 tahun yang diberikan status pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ditahan pada petang Khamis.

Khalid berkata Ozcelik dan dua lagi warga Turki yang ditahan sehari sebelum itu adalah satu ancaman terhadap keselamatan negara.

Kedua-duanya – pengetua sebuah sekolah antarabangsa Turgay Karaman dan ahli perniagaan Ihsan Aslan – telah dikaitkan oleh media Turki dengan ulama Fethullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang didakwa kerajaan Turki  mendalangi satu rampasan kuasa yang gagal pada 15 Julai 2016.

Khalid menolak cadangan bahawa kesemua penahanan itu dilakukan atas permintaan kerajaan Turki.

“Mengapa kami perlu menunggu arahan daripada negara lain untuk melakukan tangkapan di negara ini,” soalnya kepada pemberita. “Kami mempunyai undang-undang sendiri, kami menjaga keselamatan rakyat dan negara kami jadi kami berhak menentukan siapa yang ingin kami tahan.”

PBB suarakan kebimbangan


Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB bagi Asia Tenggara pada Jumaat meluahkan kebimbangan yang serius berhubung penahanan itu dan menggesa kerajaan Malaysia agar tidak menghantar pulang ketiga-tiga rakyat Turki.

“Terdapat kebimbangan bahawa kesemua lelaki ini mungkin menjadi sasaran kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pergerakan Gulen yang didakwa mendalangi percubaan rampasan kuasa di Turki pada Julai 2016,” kata Laurent Meillan, pemangku wakil serantau Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Bangkok.

Pejabat PBB berkata  Malaysia telah menahan dan menghantar pulang dua lagi warga Turki pada Oktoer 2016.

Ia berkata mereka ditahan sebaik sahaja mereka pulang ke Turki dan kini mereka berada dalam tahanan tanpa dibicarakan.

“Kami amat bimbang ketiga-tiga lelaki yang ditahan minggu ini mungkin berdepan nasib yang sama seperti yang dialami oleh dua lagi individu yang telah dihantar pulang ke Turki tahun lepas,” kata Meillan.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia agar memastikan bahawa ketiga-tiga lelaki dibicarakan dengan adil di Malaysia dan memohon agar pihak berkuasa tidak mengekstradisi mereka kerana kami  amat bimbang dengan keselamatan mereka jika mereka dihantar pulang ke Turki.

Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di Amerika Syarikat turut menggesa pihak berkuasa Malaysia memberikan alasan penahanan warga Turki terbabit serta membenarkan mereka mendapat akses kepada peguam dan menghubungi keluarga  masing-masing.

“Undang-Undang pentadbiran Malaysia berkaitan penahanan membuka pintu kepada penyalahgunaan yang mudah, jadi adalah penting untuk kerajaan memaklumkan lokasi mereka dan membenarkan mereka akses segera kepada keluarga masing-masing serta peguam,” kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW Asia.

Usaha menangani Keganasan

Malaysia dan Turki telah bekerjasama rapat dalam usaha menangani keganasan.

Turki telah menghantar pulang beberapa warga Malaysia yang ingin memasuki Syria melalui Turki untuk menyertai kumpulan Negara Islam (IS).

Sementara itu, seorang peguam yang mewakili Karaman dan Ozcelik berkata beliau tidak dibenarkan bertemu anak guamnya oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Kami tidak dapat menemui Ismet dan Turgay. Kami hanya berjumpa mereka pada Khamis. Begitu juga dengan keluarga mereka,” kata Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani kepada BeritaBenar.

Ozcelik adalah ahli lembaga Universiti Meylana di wilayah Konya, Turki. Universiti itu adalah antara kebanyakan yang ditutup pada 2016 selepas didakwa mempunyai kaitan dengan pergerakan Gulen.

Beliau ditahan pada Disember kerana didakwa menghalang para pegawai Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan tugas mereka namun dibebaskan dengan jaminan pada Januari.

Agensi berita Turki, Anadolu menyatakan bahawa beliau dibebaskan selepas berjaya memperoleh status pelarian PBB yang memberikan imuniti kepadanya daripada penahanan tanpa perbicaraan.

Karaman dan Aslan ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan IS, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis. Khalid enggan mengesahkan isu berkaitan IS pada Jumaat.

“Sekali lagi, suspek ditahan kerana mengancam keselamatan negara,” katanya yang enggan memberikan alasan spesifik bagi ketiga-tiga penahanan.

“Kami mempunyai alasan yang cukup untuk bertindak,” kata Khalid sambil menambah bahawa ketiga-tiga penahanan mempunyai kaitan.

“Orang luar tidak perlu datang ke sini dan menganccam keselamatan negara kami,” katanya. “Jangan bawa masalah negara anda ke negara kami.”

Pergerakan Gulen, dikenali sebagai “hizmet” atau “berkhidmat” dalam Bahasa Turki, mengendalikan sekolah dan organisasi bukan kerajaan di Eropah, Afrika dan Asia.

Pergerakan itu telah dilabel sebagai sebuah organisasi pengganas oleh kerajaan Turki. Gulen menafikan dakwaan kerajaan itu bahawa beliau adalah dalang di sebalik rampasan kuasa tersebut.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.