Dua Lelaki Turki Ditahan Malaysia Ada Kaitan Dengan Militan IS: TPM
2017.05.04
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia sedang menjalankan siasatan ke atas dua warga Turki yang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.
Turgay Karaman dan Ihsan Aslan, yang penangkapan mereka diumumkan semalam, kini disiasat atas dakwaan membantu menyalurkan dana IS dan ditahan di bawah undang-undang antikeganasan yang membolehkan pihak berkuasa menahan suspek selama 28 hari tanpa sebarang pendakwaan, kata Ahmad Zahid kepada pemberita di Putrajaya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia, berkata kedua-dua warga Turki telah berada di bawah pengawasan polis dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, juga dikenali sebagai SOSMA.
"Unit antikeganasan di bawah cawangan khas Polis Diraja Malaysia telah mengikuti rapat pergerakan beberapa individu yang terlibat dalam menyebarkan pengaruh dan pembiayaan aktiviti yang berkaitan dengan Daesh," kata Ahmad Zahid, menggunakan nama lain bagi IS.
Beliau turut memberikan butiran lanjut berhubung penangkapan itu sehari selepas Human Rights Watch menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan rakyat Turki yang ditahan itu akan diseksa jika Malaysia menghantar mereka pulang ke negara asal. Karaman merupakan pengetua di sebuah sekolah antarabangsa di Perak manakala Aslan adalah seorang ahli perniagaan yang turut menetap di Malaysia.
"Pusat Komunikasi Pintasan Mesej polis Malaysia telah memintas komunikasi kedua-dua lelaki itu yang mempunyai kaitan dengan Daesh," katanya.
"Kami telah mengikuti pergerakan beberapa individu yang terlibat dalam menyebar dan menyediakan dana untuk aktiviti berkaitan IS, termasuk kedua-dua warga Turki ini," kata Timbalan Perdana Menteri tanpa mengulas lanjut.
Beliau juga berjanji akan memberikan layanan yang berperikemanusiaan kepada kedua-dua tahanan.
"Jangan risau," katanya, "kami tidak akan menganiaya orang yang tidak terlibat atau tahap penglibatan mereka adalah minimum." Bagaimanapun beliau menambah "jika terdapat bukti kukuh, penahanan akan dibuat mengikut undang-undang sedia ada dan kami akan mengesahkannya dengan pihak berkuasa Turki. "
Sementara itu, Ketua Polis Negara Malaysia Khalid Abu Bakar berkata tangkapan dibuat tanpa sebarang tekanan daripada kerajaan Turki.
"Tidak tidak. Tidak ada permintaan daripada sesiapa," katanya. "Ia disebabkan salah laku mereka sendiri."
Bagaimanapun Khalid enggan memberikan butiran lanjut mengenai dakwaan kaitan IS terhadap kedua-dua lelaki tersebut.
"Saya tidak mahu cakap banyak," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur. "Kami tidak mengalu-alukan kedatangan orang yang menimbulkan masalah di negara ini. Kami tidak mengalu-alukan kedatangan orang luar yang ingin menimbulkan sebarang masalah kepada rakyat dan negara ini."
Beliau juga tidak menjawab soalan sama ada kedua-dua lelaki akan dihantar pulang ke negara asal.
Sementara itu, ketika mengulas kes rakyat Turki yang dilaporkan hilang pada awal minggu ini, Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, menggesa pihak berkuasa Malaysia agar memastikan bahawa "dalam apa jua keadaan" mereka tidak akan "secara paksa dikeluarkan dari Malaysia dan dihantar pulang ke Turki."
“Tiada sebarang keraguan bahawa jika mereka dihantar pulang ke Turki, mereka bakal berdepan seksaan ketika dalam tahanan, dan jika didakwa atas pertuduhan jenayah di sana, mereka terpaksa berdepan dengan perbicaraan yang tidak akan memenuhi standard perbicaraan yang adil,”katanya.
Suspek lain IS
Penahanan kedua-dua warga Turki itu adalah antara beberapa siri tangkapan ke atas individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan IS di Malaysia, yang diumumkan minggu ini.
Polis pada Rabu telah mengumumkan penahanan enam rakyat Malaysia kerana disyaki mempunyai kaitan dengan IS dalam beberapa operasi menentang keganasan yang dijalankan di beberapa negeri dari akhir bulan Mac hingga akhir April. Suspek ketujuh yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu telah melarikan diri ke negara jiran, Thailand, kata polis.
Menurut Ketua Polis Negara, kesemua suspek ditahan di bawah SOSMA. Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 300 orang kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang berpangkalan di Timur Tengah, dan daripada jumlah itu, 66 orang telah dibebaskan, demikian menurut angka terkini yang diperoleh BeritaBenar daripada kerajaan.
Kaitan dengan Gülen?
Pada Rabu, Khalid mengumumkan penahanan kedua-dua warga Turki dengan memuat naik mesej di akaun Twitter miliknya yang menyebut bahawa mereka ditahan "kerana mengancam keselamatan Malaysia."
Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran khusus.
Isteri kedua-dua warga Turki yang ditahan telah menafikan dakwaan itu.
"Mereka tidak pernah menyakiti sesiapa," akhbar The Star memetik Ayse Gul Karaman, isteri Karaman yang berusia 38 tahun sebagai berkata pada Khamis.
Menurut agensi berita Turki, Anadolu, kedua-dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan ulama Turki, Fethullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat serta berdepan dakwaan menjadi dalang dalam percubaan rampasan kuasa yang gagal di Turki tahun lepas.
Gulen, pencetus pergerakan Hizmet yang mengendali kira-kira 2,000 pusat pendidikan di seluruh dunia, kini hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Pergerakan itu telah dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang mendakwa Gülen adalah dalang di sebalik percubaan rampasan kuasa pada Julai 2016, yang mengorbankan 265 nyawa, termasuk 161 orang awam.
Pasukan keselamatan yang setia kepada Erdogan dengan pantas berjaya mematahkan percubaan rampasan kuasa itu, dan beliau telah mengisytiharkan darurat serta mengarahkan tenteranya menahan beribu-ribu orang yang disyaki terlibat dalam usaha untuk menggulingkan beliau.
Tindakan keras itu turut diambil terhadap mereka yang didakwa menyokong Gulen.
Dalam pada itu, Gulen turut mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan yang dilakukan IS.
"Saya kesal dengan kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan militan ISIS yang bersembunyi di sebalik retorik agama palsu ...," kata ulama itu merujuk kepada IS dengan akronim yang berbeza, selepas kumpulan itu menyebarkan video dalam talian yang memaparkan pemenggalan kepala wartawan Amerika James Foley yang ditangkap pada 2014.