Rompak: Penduduk Tetap UK Mati Ditembak Polis, Isteri Rakyat Malaysia Masih Hilang

Noah Lee
2019.09.16
Kuala Lumpur, Malaysia
190916-MY-CUK-Crime490.jpg Penduduk tetap United Kingdom yang berasal dari Sri Lanka, V. Janatharnan, mati ditembak polis pada 15 September, 2019, manakala isterinya G. Moganambal masih hilang.
[Ihsan keluarga]

Seorang penduduk tetap United Kindgom antara tiga yang ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian berbalas tembakan di Selangor pada Sabtu, manakala isterinya yang dikatakan telah keluar bersama mereka sebelum kejadian masih hilang, dengan ahli keluarga meragui dakwaan polis yang lelaki tersebut terlibat dalam 60 kes rompakan sedangkan pasangan itu bersama anak-anak mereka balik bercuti di Malaysia.

V Janatharnan yang berasal dari Sri Lanka serta merupakan seorang penduduk tetap UK bersama isterinya, seorang rakyat tempatan G Moganambal serta dua lagi telah keluar daripada rumah mereka di Rawang pada lewat Jumaat tetapi dimaklumkan pihak berkuasa tiga daripada mereka ditembak mati kerana dipercayai terlibat dalam beberapa siri rompakan di Selangor.

Pada Sabtu, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin seperti dilaporkan akbar tempatan berkata, tiga lelaki ditembak mati selepas terlibat dalam kejadian kejar mengejar antara suspek dan pihak berkuasa di Gombak pada jam 5 pagi Sabtu.

Polis mendakwa bahawa kesemua individu tersebut yang tidak dinamakan, dipercayai bertanggungjawab terhadap 60 kes rompakan sekitar Selangor sejak Mei lalu.

Pihak berkuasa tidak menyebut tentang individu keempat dalam kejadian tembak menembak tersebut, walaupun keluarga mangsa mendakwa individu keempat adalah Moganambal, yang kini tidak diketahui keberadaannya.

Peguam keluarga pasangan itu, Sivahnanthan Ragava pula mempersoalkan bagaimana Janatharnan yang tiba di Malaysia bersama isteri dan keluarganya pada Ogos lepas terlibat dalam 60 kes rompakan.

Menurut peguam itu lagi, keluarga itu baru sampai di Malaysia pada Ogos lepas, dan kali terakhir berada di negara tersebut ialah pada enam tahun lepas.

“Bagaiamana seorang lelaki dan isterinya yang datang ke Malaysia selepas kali terakhir melawat keluarga enam tahun lalu, boleh menjadi suspek rompakan oleh polis?” kata Sivahnanthan kepada BeritaBenar.

Dalam pada itu, anak sulung pasangan tersebut, Loganthiran yang berusia 17 tahun bersama ahli keluarganya yang lain mendakwa Moganambal masih hilang dan meminta polis mencari ibu mereka.

“Saya tidak percaya ayah saya ditembak mati oleh polis, sehinggalah saya melihat wajah beliau pagi ini. Dan ibu saya pula masih hilang. Saya berharap pihak polis dapat membantu mencari beliau kerana saya dan adik mahukan beliau kembali. Kami sudah kehilangan bapa. Kami sudah tidak punya siapa-siapa,” kata Loganthiran lagi.

Selain itu, anak-anak pasangan itu berserta keluarga mereka mahu kerajaan melakukan siasatan terperinci dalam mengetahui sebab sebenarnya apa yang berlaku keatas kedua ibu bapa mereka serta dua yang lain.

Loganthiran turut memberitahu kali terakhir beliau berhubung dengan ibunya adalah pada jam 1.45 pagi Sabtu bila wanita itu menghantar lokasi keberadaan bersama bapa dan dua lagi, iaitu di sebuah restoran di Seri Kembangan.

Cubaan untuk menghubungi ibunya juga gagal, sebelum beliau diberitahu yang bapanya Janarthanan mati ditembak polis.

Janarthanan, menurut Loganthiran bekerja di stesen minyak di UK manakala isterinya Moganambal merupakan surirumah sepenuh masa. Mereka tinggal di Portsmouth.  

Pihak keluarga turut melahirkan rasa terkejut atas kenyataan bahawa ketiga-tiga individu menggunakan sebuah Volkswagen Polo ketika mereka ditembak mati, kerana mereka dikatakan telah keluar menggunakan sebuah kereta sewa Perodua Alza, yang kemudiannya dijumpai berdekatan dengan lokasi terakhir yang dikongsi dengan anak pasangan itu.

Naratif kejadian meragukan


Peguam Sivahnanthan turut mengesyaki bahawa ada yang tidak kena dengan versi naratif kejadian yang dikeluarkan oleh pihak polis dan berlakunya salahlaku dari pihak polis dalam kejadian tembak menembak pada Sabtu itu.

Beliau berkata keluarga meminta supaya Ketua Polis Negara dan kerajaan untuk melihat tahap keseriusan kes tersebut dan memberikan jawapan segera tentang nasib wanita yang masih hilang  dan kejadian sebenarnya sehingga mendatangkan kematian kepada tiga lelaki tersebut.

Sementara itu, Jasminder Kaur, 30, isteri kepada G Thavaselvan, seorang lagi mangsa yang ditembak polis itu mengesahkan bahawa dua antara tiga mayat tersebut adalah suaminya, yang merupakan adik lelaki kepada Moganambal.

Menurut ahli keluarga, empat individu termasuk Janatharnan dan Moganambal didakwa meninggalkan rumah keluarga mereka di Rawang pada lewat malam Jumaat menaiki kereta Perodua Alza yang disewa Moganambal bagi memudahkan pergerakan mereka sekeluarga semasa berada di Malaysia.

Menurut Jasminder keluarga itu tiba di Malaysia pada 17 Ogos untuk bercuti dan melawat saudara yang menghidap sakit jantung.

Apabila keempat itu tidak pulang ke rumah pada pagi Sabtu, Jasminder menambah keluarga mereka keluar mencari dan membuat laporan orang hilang dengan pihak polis.

Keluarga beliau turut mendapatkan bantuan dari syarikat kereta sewa yang membawa mereka kepada tempat letak kereta di deretan rumah kedai di Serdang tidak jauh dari lokasi terakhir yang dihantar oleh Moganambal.

Jasminder yang ditemui di pintu masuk ibu pejabat polis Bukit Aman meminta pihak polis memberitahu mereka apa yang sebenarnya berlaku.

“Saya mahukan penjelasan tentang apa yang terjadi pada suami saya. Di mana kakak ipar saya dan kenapa suami beliau dibunuh?”

Jasminder mendakwa bahawa tuduhan bahawa Janarthanan terlibat dalam jenayah di Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana keluarga kakak ipar beliau mempunyai kehidupan yang baik di UK.

Menurut Jasminder lagi, keluarga mereka tidak akan membawa keluar mayat Janatharnan dan Thavalselvan sehingga mereka mendapat keadilan yang dicari.

Noor Azam semasa dihubungi BeritaBenar petang Isnin berkata pihak polis akan menyiasat laporan orang hilang yang dibuat oleh pihak keluarga mangsa dan mereka juga ingin bercakap dengan wanita itu untuk membantu polis dalam kes tersebut.

“Kami akan siasat laporan orang hilang itu. Kami juga ingin tahu apa hubungan wanita itu dengan ketiga-tiga suspek,” menurut Ketua Polis Selangor itu.

Menurut laporan media tempatan, Noor Azam berkata ketiga individu enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan apabila diminta oleh pihak polis dan kemudiannya berlaku kejar mengejar sebelum kenderaan suspek tergelincir dan tidak boleh bergerak.

Laporan itu juga berkata berlaku berbalas tembakan sehingga ketiga individu itu tertembak dan mati ditempat kejadian.

Polis juga merampas dua pucuk pistol semi automatik daripada suspek, tiga parang, topeng muka, sarung tangan antara lainnya dan kenderaan yang digunakan mereka dilaporkan dicuri pada 5 Ogos lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.