Konflik Rusia-Ukraine: Keselamatan Rakyat Malaysia Keutamaan Negara, Solusi Segera Perlu Dicapai

Pemindahan rakyat Malaysia menerusi jalan darat sejauh 782 km ke Poland sedang diusahakan kerajaan.
Iskandar Zulkarnain & Suganya Lingan
2022.02.24
Kuala Lumpur
Konflik Rusia-Ukraine: Keselamatan Rakyat Malaysia Keutamaan Negara, Solusi Segera Perlu Dicapai Tapak Pejabat Perkhidmatan Pengawal Sempadan Negara Ukraine dilihat rosak akibat tembakan di wilayah Kyiv di Ukraine, 24 Feb, 2022.
[Edaran daripada perkhidmatan media Perkhidmatan Pengawal Sempadan Negara Ukraine melalui Reuters]

Perdana Menteri Malaysia berharap satu penyelesaian damai yang terbaik antara Rusia dan Ukraine dapat segera dicapai dalam menamatkan konflik terkini di Ukraine selepas Rusia menceroboh negara bekas Kesatuan Soviet itu, dengan Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan rakyat Malaysia yang masih berada di sana selamat.

Ismail Sabri yang dalam lawatan rasmi sulung beliau sebagai Perdana Menteri ke Kemboja berkata seramai 23 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kiev, ibu negara Ukraine, dengan 12 daripada mereka telahpun kembali ke tanah air, manakala baki 11 lagi masih berada di negara berkenaan.

“Malaysia berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik tersebut.

“Kepentingan rakyat kita menjadi perkara utama kepada Malaysia... Kita akan mengambil tindakan segera.. dan kita sudah keluarkan rakyat kita dari Ukraine,” kata Perdana Menteri Malaysia itu pada Khamis.

Tentera Rusia menyerang Ukraine pada awal Khamis dalam apa yang disebut oleh Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell di Twitter sebagai "antara waktu paling gelap di Eropah sejak Perang Dunia Kedua."

Peluru berpandu menghujani sasaran di Ukraine ketika ratusan tentera melintasi di tiga bahagian sempadan negara itu, lapor agensi berita antarabangsa Reuters manakala AP pula melaporkan sekurang-kurangnya 40 anggota tentera Ukraine terbunuh pada Khamis.

Agensi berita kerajaan Malaysia, Bernama pula melaporkan yang agensi itu difahamkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Kiev sedang berhubung dengan pihak berkaitan di Warsaw dalam usaha mendapatkan membantu bagi usaha pergerakan melintasi sempadan.

Bernama turut melaporkan yang pelan pemindahan bagi rakyat Malaysia yang masih berada di Ukraine adalah menerusi jalan darat ke Poland yang mungkin mengambil masa 10 jam meliputi perjalanan 782km.

Sementara itu, dalam sidang media Ismail Sabri bersama rakan sejawatannya Samdech Techno Hun Se di Phnom Penh, kedua-dua pemimpin itu berpandangan Rusia dan Ukraine perlu memulakan dialog bagi mencari penyelesaian damai.

“Saya dan Perdana Menteri Malaysia juga membincangkan isu ini apa yang kita lihat adalah penyelesaian damai,” ujar Hun Sen, seperti dilaporkan oleh Bernama.

Kedua-dua negara juga bersetuju bahawa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), di mana Kemboja kini adalah Pengerusinya tidak akan mencampuri urusan negara lain.

“Kita semua bersetuju ASEAN sebagai pertubuhan negara-negara bebas tidak mencampuri urusan negara lain. PM Hun Sen juga bersetuju yang kita tidak akan membuat sebarang kenyataan kecuali negara-negara anggota ASEAN buat perbincangan dan membuat keputusan secara konsensus.

“Selagi tidak ada keputusan secara konsensus dari ASEAN, selagi itu kita tidak akan membuat sebarang kenyataan atas nama ASEAN,” ulas Ismail Sabri ketika menjelaskan perbincangan kedua-dua pemimpin berkenaan berhubung isu konflik Rusia-Ukraine dan pendirian ASEAN.

ASEAN masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Ukraine, walaupun agensi berita Reuters melihat apa yang dikatakan sebagai draf kenyataan oleh blok serantau itu. Ia berkata situasi itu mesti melihat sebagai "resolusi aman selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu."

Media antarabangsa pada Khamis melaporkan yang Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara itu susulan tindakan tentera Rusia memasuki sempadannya dan menyerang beberapa sasaran di Kiev serta beberapa bandar di negara tersebut.

Ketegangan Ukraine – sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dengan Rusia dikatakan berpunca daripada beberapa tindakan Ukraine yang didakwa Rusia sebagai langkah provokasi.

Konflik ini berlarutan susulan hasrat Ukraine untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) – pakatan pertahanan ketenteraan yang dianggotai oleh negara-negara Eropah dan ketuai oleh AS.

Konflik dua negara berjiran itu memuncak beberapa minggu lalu apabila Kremlin mengerahkan 100,000 tentera dan aset ketenteraan ke sempadannya dengan Ukraine.

Impak global

Mengulas mengenai konflik Rusia dan Ukraine, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tunku Mohar Mokhtar berkata ia akan mencetuskan impak di peringkat global.

“Apa sahaja peperangan akan mencetuskan impak di peringkat global, apatah lagi jika ia melibatkan kuasa besar seperti Rusia.

“Bagi Malaysia, ia bernasib baik kerana negara ini tidak terlalu bergantung kepada Rusia, apa sahaja kerugian aktiviti perdagangan atau bentuk kerjasama lain boleh ditampung oleh hubungan sedia ada Malaysia dengan negara-negara lain,” katanya kepada BenarNews.

Menurutnya Malaysia tidak akan merasai kesan langsung daripada konflik tersebut memandangkan Rusia bukan negara dagang utama.

Namun, beliau berpandangan kenaikan mendadak harga minyak dunia akan memberi kesan kepada pengguna malahan ia juga mampu mencetuskan kenaikan harga barangan keperluan.

“Malaysia akhirnya perlu memutuskan pendirian rasmi berhubung peperangan yang telah tercetus, sama ada untuk mengutuk atau menyatakan pendirian berkecuali.

“Kerajaan perlu mengambil kira nasib para pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di Rusia apabila memutuskan pendiriannya terhadap peperangan ini,” tambahnya lagi.

Tunku Mohar percaya masyarakat antarabangsa akan mengutuk sekeras-kerasnya peperangan yang tercetus tetapi berkata kemungkinan untuk tercetusnya peperangan susulan agak rendah memandangkan Rusia bertindak bersendirian dalam peperangan ini tanpa melibatkan rakan-rakan sekutunya.

Zon tidak terbang

Dalam pada itu, Safe Airspace, yang ditubuhkan untuk menyediakan maklumat zon keselamatan dan konflik bagi syarikat penerbangan selepas penerbangan Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, berkata ia telah meningkatkan tahap "tidak terbang" di ruang udara Ukraine kerana risiko penembakan yang tidak diingini atau serangan siber yang menyasarkan kawalan trafik udara di tengah-tengah ketegangan dengan Rusia.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di zon konflik di kawasan Donetsk, Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika ia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Seramai 298 penumpang dan anak kapal termasuk 200 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, dan 13 warga Indonesia terbunuh.

Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), yang terdiri daripada pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda, dan Ukraine pada Mei 2018 membuat kesimpulan bahawa “Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-Pesawat Buk-TELAR yang berpangkalan di Kursk, Rusia telah menembak jatuh MH17. Briged ke-53 adalah sebahagian daripada angkatan bersenjata Rusia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.