Gabungan NGO Tuduh Kerajaan Baru Malaysia ‘Pinggirkan’ Orang Melayu

Ali Nufael
2018.07.27
Kuala Lumpur, Malaysia
MY-race-riots-1000.jpg Polis Malaysia menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan etnik India yang menuntut kesamaan kaum, di Kuala Lumpur, 16 Feb 2008.
[AP]

Gabungan 350 NGO Malaysia pada Jumaat menuduh kerajaan baru Perdana Menteri Mahathir Mohamad meminggirkan majoriti Muslim negara itu dan memberi amaran bahawa pelantikan bukan Melayu ke beberapa jawatan tinggi baru-baru ini boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Gerakan Pembela Ummah, nama Melayu untuk gabungan badan bukan kerajaan itu, turut mengecam cadangan tiga rang undang-undang berkaitan diskriminasi dan kebencian agama, dengan mendakwa bahawa rang undang-undang itu bertujuan ‘untuk menindas orang Melayu dan Islam’.

"Kami merasakan bahawa dalam masa kurang daripada 100 hari, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meminggirkan orang Melayu serta Islam sebagai agama rasmi negara ini," kata Aminudin Yahya, Ketua Setiausaha gerakan itu kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada pakatan empat parti itu yang dengan mudah memenangi pilihan raya umum 9 Mei selepas menumbangkan gabungan parti Barisan Nasional, yang memerintah Malaysia hampir 61 tahun. Barisan Nasional ditunjangi oleh parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang didominasi oleh orang Melayu beragama Islam.

"Kami mahu menghantar mesej yang jelas kepada PH bahawa kami tidak senang dengan cara Islam dan orang Melayu diperlakukan," katanya.

Untuk membantah apa yang dilihatnya sebagai usaha untuk melemahkan kepentingan orang Melayu, gabungan itu, yang ditubuhkan pada Mei 2017 bagi memperkasakan orang Melayu, berkata ia akan menganjurkan demonstrasi di Kuala Lumpur hujung minggu ini, kurang dari dua minggu selepas Yang di-Pertuan Agong meminta supaya rakyat bertenang di tengah-tengah peningkatan  ketegangan kaum.

Polis memberitahu BeritaBenar mereka akan membenarkan gerakan itu mengadakan perhimpunan berkenaan tetapi pihak berkuasa akan memantaunya.

"Negara ini dikawal oleh DAP," kata Aminudin, yang merujuk kepada Parti Tindakan Demokratik yang didominasi kaum Cina, dengan setiausaha agungnya, Lim Guan Eng, dilantik menjadi menteri kewangan selepas pilihan raya umum itu mengembalikan Mahathir ke tampuk kuasa.

"Orang Melayu sedang merasa dipinggirkan," kata Aminudin.

Pada 17 Julai, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menggesa rakyat Malaysia supaya memelihara dan memperkukuh 'keamanan dan perpaduan negara' semasa menyampaikan titah sulung kepada Ahli-ahli Parlimen dengan menekankan bahawa kaum dan agama saling berkaitan dengan politik Malaysia.

Aminudin berkata, tiga rang undang-undang yang dicadangkan itu tidak akan membawa kepada keharmonian kaum di negara ini, yang pernah mengalami rusuhan kaum Cina-Melayu pada Mei 1969 yang menyebabkan ramai terkorban.

"Undang-undang itu bertujuan untuk menindas orang Melayu dan Islam. Kami tidak lagi dapat menyatakan rasa tidak puas hati kami dan jika kami berbuat demikian, kami akan didakwa di bawah undang-undang itu, "katanya. "Ini adalah pemerintahan diktator."

Orang Melayu dan bumiputera merupakan hampir 70 peratus daripada penduduk Malaysia yang seramai 32 juta orang, dengan etnik Cina membentuk 23 peratus diikuti etnik India dan lain-lain.

Aminudin mengkritik pelantikan Tommy Thomas, yang berketurunan India Kristian, sebagai Peguam Negara dan Richard Malanjum, yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara bulan ini, serta Liew Vui Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri. Malanjum dan Keon juga bukan beragama Islam.

Pelantikan mereka adalah antara banyak sebab yang boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu, kata Aminudin.

Bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pelantikan seorang Kristian etnik India tidak mengancam Islam atau mengakhiri keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan bumiputera.

"Yang di-Pertuan Agong juga menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara tidak boleh mewujudkan konflik agama atau kaum kerana setiap rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama," kata kenyataan Istana Negara.

Pada Rabu, Mujahid Yusof Rawa, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama, mengumumkan bahawa kerajaan merancang untuk membentang tiga rang undang-undang baru di Parlimen iaitu Akta Anti-Diskriminasi, Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian serta Akta Kebencian Agama dan Kaum.

Di bawah undang-undang baru itu, mereka yang bersalah menghina agama dan kaum boleh menghadapi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM100,000 (kira-kira AS$25,000), kata Mujahid kepada wartawan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.