UMNO Tidak Mahu Bekerjasama Dengan BERSATU Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang

UMNO memaklumkan mengenai keputusan itu dalam satu kenyataan, yang mendapat persetujuan Majlis Kerja Tertinggi bulan lepas.
Noah Lee & Hadi Azmi
2021.03.04
Kuala Lumpur
UMNO Tidak Mahu Bekerjasama Dengan BERSATU Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang Penyokong parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berkumpul semasa sambutan ulang-tahun ke-71 parti itu di Stadium Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, 11 Mei 2017.
[AFP]

Parti politik terbesar dalam gabungan yang membentuk kerajaan persekutuan, UMNO pada Khamis mengumumkan bahawa parti itu tidak akan berkerjasama dengan parti BERSATU pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Pilihan Raya Umum akan datang, tetapi akan kekal dalam blok pemeritah sehingga parlimen dibubarkan.

Dalam reaksi balas terhadap pengumuman UMNO itu, Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah memutuskan untuk mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti lain dalam gabungan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional, manakala penganalisis politik pula berpendapat perkembangan terbaharu itu mungkin akan memaksa Muhyiddin menangguhkan rancangan mengadakan pilihan raya bagi mengukuhkan kedudukan sebelum bertanding.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Ahmad Maslan dalam satu kenyataan media memberitahu yang keputusan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dibuat semasa pertemuan Majlis Kerta Tertinggi (MKT) parti itu pada 19 Feb lalu, yang diadakan selepas Muhyiddin meminta UMNO membuat pendirian jelas mengenai kerjasama mereka sebelum rundingan agihan kerusi untuk dipertandingkan pada PRU Ke-15 dapat diteruskan.

"Keputusan Mesyuarat MKT telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO yang telah mengutuskan surat kepada Presiden PPBM (BERSATU) bagi menyatakan keputusan Mesyuarat MKT sebagaimana yang diminta, iaitu tiada kerjasama dengan BERSATU dalam PRU Ke-15.

"Yang kedua, UMNO berpendapat bahawa kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen," kata beliau merujuk kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Kenyataan media yang ditandatangani Ahmad itu sekaligus mengesahkan desas-desus serta laporan media tempatan sebelum ini bahawa kepimpinan UMNO telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan BERSATU dalam pilihanraya akan datang.

Parti berkenaan bagaimanapun tidak membuat sebarang komen rasmi sebelum ini, dan dikatakan ia adalah keputusan MKT UMNO untuk hanya memaklumkan kepada Muhyiddin mengenai keputusan mereka secara tertutup.

Terdahulu itu, pada pagi Khamis Setiausaha Agung BERSATU Hamzah Zainuddin telah mengeluarkan kenyataan media mengenai surat yang dihantar UMNO kepada Muhyiddin, dan menyatakan bahawa kepimpinan BERSATU akan membincangkannya dengan lebih lanjut semasa Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingginya pada sebelah petang.

Ahmad Maslan kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengesahkan keputusan itu telah dibuat oleh UMNO, di mana beliau turut memberikan beberapa justifikasi mengenai keputusan yang dicapai.

"Sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Justeru, keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam Kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19," kata Ahmad Maslan.

Untuk rekod, sebelum ini lebih 100 Bahagian UMNO telah memutuskan dalam persidangan mereka supaya parti itu menolak sebarang kerjasama dengan BERSATU dalam PRU Ke-15.

Keputusan bahagian-bahagian itu bagaimanapun masih belum dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO untuk dibahaskan selepas ia terpaksa ditangguh disebabkan perintah kawalan pergerakan berkaitan pandemik COVID-19.

Bersatu kukuhkan kerjasama dengan parti lain

Dalam pada itu, mesyuarat MPT Bersatu yang diadakan pada petang Khamis dan dipengerusikan oleh Muhyiddin telah memutuskan bahawa mereka akan memberikan fokus kepada rakan-rakan parti yang lain di dalam kerajaan Perikatan Nasional bagi memenangi pilihanraya akan datang.

"Berhubung surat yang dihantar oleh Presiden UMNO bertarikh 26 Februari 2021, BERSATU memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, BERSATU dan Perikatan Nasional.

"Dalam hal ini, BERSATU memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam parti Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang," kata kenyataan media dikeluarkan oleh Hamzah selepas MPT BERSATU selesai bermesyuarat.

Tambah beliau, parti itu juga berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional "masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat".

UMNO merupakan parti yang memegang jumlah kerusi terbesar dalam gabungan yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional kini, dengan jumlah 38 kerusi parlimen, diikuti oleh Bersatu (31 kerusi) dan PAS (18 kerusi).

Dewan Rakyat Malaysia mempunyai 222 kerusi secara keseluruhan, namun dua daripada kerusi itu kini kosong ekoran kematian penyandangnya pada tahun lepas, termasuk seorang daripadanya adalah daripada parti UMNO manakala seorang lagi adalah ahli parlimen pembangkang dari parti Warisan Sabah.

Menurut laporan media-media tempatan, berdasarkan kedudukan ahli parlimen semasa sidang Dewan Rakyat yang terakhir pada tahun lepas, Perikatan Nasional mempunyai majoriti tipis.

Bagaimanapun, tiga daripada ahli parlimen UMNO kemudiannya telah mengumumkan penarikan balik sokongan mereka kepada Muhyiddin, dan menimbulkan spekulasi bahawa kerajaan Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Lengahkan Pilihan Raya

Sementara itu, Tunku Mohar Mokhtar, saintis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berpendapat keputusan yang dibuat oleh UMNO dan BERSATU itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan bakal menyaksikan Muhyiddin cuba untuk melengahkan lagi pilihan raya umum bagi mengumpul kekuatan terlebih dahulu.

"Ia tidak mengejutkan. BERSATU mahu kekal berkuasa, manakala UMNO pula tidak mahu berada dalam posisi di mana mereka tidak mendominasi dan merasakan bahawa BERSATU tidak bersikap adil kepada parti tersebut, ini termasuk tidak diberikan jawatan dalam kabinet yang bersesuaian dengan jumlah kerusi yang dimiliki mereka.

"Saya percaya Muhyiddin akan cuba melengahkan pilihan raya selagi boleh, sehingga beliau yakin boleh terus kekal sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, jika tiada Darurat dan Parlimen sudah sampai tempoh matangnya, tidak banyak yang beliau boleh lakukan," kata Mohar ketika dihubungi BeritaBenar.

Seorang lagi penganalisis politik, Oh Ei Sun, felow kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut memberikan pandangan serupa.

"Saya tak pernah merasakan bahawa Muhyiddin akan mengadakan pilihan raya umum dengan cepat, kerana parti BERSATU memerlukan masa untuk membina sokongan terhadap mereka. Para pengundi Pakatan Harapan yang memilih ramai Ahli Parlimen BERSATU pada pilihan raya lepas tidak lagi akan memberikan undi mereka, manakala UMNO dan PAS pula mempunyai pegangan kukuh pada undi dari golongan Melayu konservatif," kata Oh.

Tambah beliau, walaupun Muhyiddin telah berjanji sebelum ini untuk mengadakan PRU selepas pandemik COVID-19 reda, tiada yang mampu menyatakan bila perkara itu akan berlaku.

"Tempoh darurat ini akan berlanjutan sehingga Ogos, dan tiada apa yang boleh menghalang beliau daripada mendapatkan satu lagi proklamasi Darurat."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.