UMNO Kembali Utuh Namum Masih Belum Tentukan Calon PM
2022.03.22
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 9.30 malam waktu tempatan ETS - 2022-03-22
Selepas memenangi dua pilihan raya negeri berturut-turut dalam tempoh lima bulan, UMNO kini semakin yakin untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang -- proses pengundian umum yang pertama sejak parti itu ditumbangkan buat pertama kalinya dalam sejarah pada 2018.
Namun, penganalisis politik berkata parti itu, yang terpalit pelbagai skandal, masih belum mempunyai calon perdana menteri sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.
Antara mereka yang dikatakan mungkin menjadi calon untuk jawatan tertinggi itu ialah presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, 69, yang sedang menghadapi puluhan kes jenayah berkaitan rasuah di mahkamah; dan timbalannya Mohamad Hasan, 65, yang dilihat sebagai pilihan paling "selamat" parti itu.
Nama bekas Perdana Menteri Najib Razak turut sering disebut sebagai antara pemimpin UMNO yang berpotensi kembali memegang tampuk pemerintahan sekiranya beliau berjaya mengubah sabitan bersalah mahkamah terhadapnya bagi tujuh dakwaan jenayah serta mengelak daripada beberapa dakwaan jenayah lain terhadapnya.
"UMNO memang sekian lama lebih kepada bersifat retorik berbanding mempunyai isi, dan ia akan tetap begitu. Budaya tersebut sudah terlalu lama berakar umbi," kata Tunku Mohar Mokhtar, seorang penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Tekaan saya... ia mungkin tepat atau tidak, ialah sekiranya UMNO menang besar dalam pilihan raya umum, presidennya Zahid Hamidi akan cuba untuk mencalonkan diri sendiri sebagai perdana menteri dan beliau akan menggunakan alasan bahawa semua kes mahkamah terhadapnya adalah bermotifkan politik. Beliau tidak dapat berbuat demikian buat masa ini hanya kerana UMNO tidak mempunyai majoriti."
Ismail Sabri Yaakob, perdana menteri Malaysia yang juga seorang naib presiden UMNO, adalah antara yang disenaraikan sebagai berpotensi dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Tetapi, beberapa penganalisis berkata bahawa beliau bukan pilihan pertama mahupun kedua bagi ramai ahli parti berkenaan.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata bahawa Mohamad Hasan, yang lebih mesra dipanggil Tok Mat dalam kalangan ahli UMNO, dipercayai akan menjadi pilihan selamat untuk menyandang jawatan perdana menteri sementara Zahid atau Najib perlu ‘dibersihkan’ daripada semua dakwaan jenayah terhadap mereka.
"Tok Mat atau beberapa orang pemimpin muda yang setia," kata Oh ketika ditanya mengenai calon berpotensi sebagai PM.
Profesor dari Institut Kajian Asia Universiti Tasmania, James Chin juga percaya bahawa Tok Mat adalah antara mereka yang mungkin menjadi pilihan tetapi beliau melihat ahli politik itu "tidak akan berjaya" kerana terdapat ramai lagi yang menunggu peluang untuk memegang tampuk pimpinan itu.
"Mereka yang lain tidak menunjukkan taring tetapi mereka ini adalah 'warlord' (panglima) dalam UMNO. Tok Mat bukanlah seorang ‘warlord’ jadi, beliau perlukan sokongan yang kuat daripada Najib dan Zahid untuk dapat menjadi perdana menteri," kata Chin, yang turut menyatakan bahawa Najib dan Zahid tetap mempunyai sokongan kuat daripada akar umbi parti walaupun mereka sedang menghadapi banyak kes mahkamah.
Tok Mat merupakan ahli perbankan yang kemudiannya berhijrah ke sektor korporat sebelum berkecimpung dalam politik secara sepenuh masa. Beliau menyertai UMNO pada 2004 dan mengetuai kerajaan Negeri Sembilan selama tiga penggal. Beliau juga kekal popular sebagai pemimpin di kawasan kampungnya sendiri di mana beliau adalah ahli Dewan Undangan Negeri untuk kawasan berkenaan.
Ismail Sabri juga dikira sebagai pilihan selamat oleh para penganalisis.
Memulakan kerjaya sebagai seorang peguam, Ismail Sabri kemudian menyertai perkhidmatan awam dengan berkhidmat di beberapa jabatan kerajaan. Beliau telah memegang beberapa portfolio sebagai menteri kabinet sejak 2008 sebelum dilantik sebagai perdana menteri pada 2021 ketika gabungan parti pemerintah memerlukan seorang pemimpin yang bersih untuk diangkat sebagai ketua kerajaan pada waktu itu.
'Kerajaan, parti perlu sehaluan'
Semasa Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada minggu lepas, Zahid berkata bahawa parti itu menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri dan menekankan mengenai pentingnya mereka untuk sejajar dengan kerajaan. Zahid juga menyatakan bahawa dirinya tidak berasa cemburu dengan perdana menteri itu kerana beliaulah yang mencalonkan Ismail Sabri untuk jawatan tersebut.
"Saya dan bossku (Najib Razak) sudah terima hakikat bahawa rezeki tidak pernah salah alamat. Saya fikir kalau rezeki Tok Mat mungkin selepas Pilihan Raya Umum 16, mungkin rezeki tak salah alamat," kata Zahid dalam ucapan penggulungan beliau, dengan merujuk kepada pilihan raya umum yang berikutnya selepas PRU 15, yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Zahid tidak langsung menyebut mengenai sebarang rancangan untuk mengisi jawatan perdana menteri ketika persidangan tahunan parti tersebut, yang melihat para perwakilan memutuskan supaya pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum.
Tunku Mohar berkata ia adalah satu daripada strategi untuk mengekalkan Zahid sebagai pemimpin UMNO.
"Satu-satunya sebab mengapa barisan pimpinan exco meminta supaya pemilihan parti ditangguhkan adalah bagi memastikan Zahid terus memegang jawatan presiden parti ketika pilihan raya umum diadakan. Oleh itu, Zahid berkemampuan untuk memilih mereka yang setia kepadanya untuk menjadi calon pilihan raya dan melemahkan sokongan para pemimpin lain dalam parti," kata Tunku Mohar, yang merujuk kepada ahli mesyuarat tertinggi UMNO.
"Ini adalah cara permainan yang digunakan beliau buat masa ini."
Sementara itu, penganalisis Chin merujuk kepada situasi Zahid yang sedang bergelut dengan kes pengubahan wang haram dan dakwaan rasuah membabitkan jutaan ringgit berkaitan yayasan kebajikan yang diasaskannya. Najib juga gagal untuk menukar keputusan bersalah oleh mahkamah terhadap beliau dalam perbicaraan jenayah membabitkan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad. Ini membuatkan kedua-duanya tidak mungkin menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menerajui kepimpinan negara.
"Sebab itulah kluster mahkamah ini sedang berjuang habis-habisan untuk mengetepikan semua masalah perundangan mereka supaya dapat meneruskan karier politik mereka," kata Chin, yang merujuk kepada kumpulan pemimpin UMNO yang kini sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah.
Walaupun Najib masih dalam proses rayuan terhadap sabitan bersalah dan hukuman 12 tahun penjara, selain menghadapi beberapa perbicaraan jenayah lain berkaitan skandal kewangan 1MDB yang membabitkan lebih AS$4.5 bilion, beliau kekal popular dalam kalangan pengundi UMNO.
Bagaimanapun, menurut Chin, beliau percaya Najib tidak akan menjadi perdana menteri sekali lagi walaupun dengan populariti yang tinggi itu.
"Halangan terakhir untuk beliau sebenarnya adalah Yang di-Pertuan Agong, bukannya parti. Sudah tentu parti boleh menghantar cadangan nama-nama calon PM tetapi yang akan membuat keputusan akhir adalah Yang di-Pertuan Agong dan tidak mungkin baginda akan merisikokan reputasi Malaysia dengan melantik individu yang masih berdepan kes di mahkamah dan telah disabitkan bersalah sebagai perdana menteri," kata Chin.
"Ia tidak mungkin."