UMNO Pecat Muhyiddin Dan Mukhriz
2016.06.24
Kuala Lumpur

Majlis Tertinggi (MT) Parti UMNO pada Jumaat sebulat suara bersetuju untuk memecat timbalan presiden yang digantung keahliannya Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir kerana melanggar disiplin parti itu, kata Presidennya Najib Razak.
Pengumuman pemecatan itu dibuat Najib yang juga Perdana Menteri selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti, pada satu sidang media di Kuala Lumpur.
"MT telah ambil keputusan secara sebulat suara untuk memecat Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz diatas pelanggaran disiplin, lebih-lebih lagi bila mereka telah berada di atas pentas bersama-sama dengan pemimpin pembangkang, membuat ucapan menyerang pimpinan dan parti, maka itu merupakan satu kesalahan besar parti," katanya.
Najib turut mengumumkan mengenai penggantungan keahlian Naib Presiden Mohd Shafie Apdal sehingga Majlis Tertinggi itu menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.
“Keputusan itu dibuat kerana Jawatankuasa Disiplin belum menghantar laporan lengkap kepada Jawatankuasa Pengurusan dan MT,” tambah beliau lagi.
Muhyiddin telah dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Najib pada Julai tahun lepas, dan keahliannya dalam UMNO serta jawatan Timbalan Presiden parti itu pula digantung oleh Majlis Tertinggi pada Feb lepas.
Pemecatan Muhyiddin itu, menjadikan beliau timbalan presiden UMNO yang kedua selepas Anwar Ibrahim pada tahun 1998, dipecat daripada parti terbesar di Malaysia yang juga menjadi tulang belakang kerajaan campuran Barisan Nasional yang memimpin negara itu.
Anwar dipecat semasa era pemerintahan Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Shafie turut digugurkan daripada Kabinet bersama Muhyiddin oleh Najib, sementara Muhkriz melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah apabila mendapat tekanan daripada ahli UMNO di peringkat negeri pada Februari lepas.
Ketiga-tiga mereka dilihat lantang mengkritik dan mempersoalkan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri berkaitan skandal rasuah yang melibatkan1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta sumbangan dana RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu.
‘Henti sumbangan’
Pada sidang media yang sama, Perdana Menteri itu juga mengumumkan keputusan kerajaan untuk menghentikan bantuan kewangan untuk Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) dengan serta-merta susulan tindakan Pengerusi Kehormatnya Dr Mahathir yang menggunakan yayasan tersebut sebagai pusat untuk merancang bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dengan mengikut perlembagaan yang sah.
“Oleh itu, tidak ada sebab dan tidak wajar sama sekali kerajaan meneruskan apa juga sumbangan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana, dan kakitangan YKP akan diberi notis yang sewajarnya," kata beliau.
Yayasan tersebut ditubuhkan pada tahun 2003, dengan tujuan untuk mengumpul serta mendalami dan juga menyebarkan maklumat tentang Perdana Menteri-Perdana Menteri Malaysia dengan mengekalkan warisan intelek.
Pelancarannya dibuat oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi perdana menteri ketika itu, selepas pengunduran Mahathir daripada kerajaan dimana beliau kemudiannya dilantik menerajui yayasan berkenaan sehingga kini.
Pada Khamis, Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun mendesak kerajaan supaya menghentikan bantuan kewangan kepada YKP termasuk bantuan penggajian kepada 22 kakitangan yayasan berkenaan.
“Pemuda UMNO memandang serius dan mengecam tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memperalatkan yayasan itu sebagai platform untuk menjatuhkan dan memburukkan kerajaan Malaysia kerana (tindakan tersebut) bertentangan dengan Perlembagaan serta sistem demokrasi," katanya dalam satu sidang media, seperti dilaporkan media tempatan.
Dalam pada itu, Mahathir di dalam blognya mengulas mengenai pengumuman Najib mengenai YKP itu berkata, “Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat,”
Katanya, beliau sudah biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan tetapi sedih apabila memikirkan masa depan negara tercinta.
“Apakah akan jadi kepadanya [negara] setelah budaya rasuah dipandang tinggi dan dipertahan oleh mereka yang akan berkuasa dan memerintah nanti,” katanya sambil menambah pemuda dan pewaris kini menyokong segala perbuatan Najib, yang dunia pandang jijik, kerana telah menjatuhkan maruah negara dan bangsa.