UMNO Ulangi Pendirian Terus Sokong Kerajaan PN, Tolak Kerjasama PKR, DAP
2020.10.26
Kuala Lumpur, Malaysia

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) parti utama dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengulangi pendiriannya untuk terus menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan tidak akan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), kata Presidennya pada lewat Isnin.
Terdahulu itu, bekas Perdana Menteri Najib Razak telah mencadangkan supaya UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti politik lain termasuk PKR pimpinan Anwar Ibrahim jika terus tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan PN.
Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Kuala Lumpur mengekalkan pendirian parti itu untuk terus mendokong kerajaan PN dengan meminta prinsip kerjasama ditambah baik yang berpaksikan "nilai penghormatan dan political consensus".
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama dengan PKR dan DAP. Ahli Palimen UMNO akan terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional. UMNO menggesa ditambah baik prinisip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan ‘political consensus’.” kata Ahmad Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat MKT dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada kira-kira jam 12 tengah malam itu.
Rabu lepas, Presiden UMNO itu turut menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin dengan berkata kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara
"Saya ingin menekankan beberapa pendirian UMNO (iaitu) melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan. Mendokong kerajaan Perikatan Nasional dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi," katanya dalam kenyataan itu pada minggu lalu.
Kenyataan terkini Ahmad Zahid pada lewat Isnin itu sekaligus menamatkan spekulasi bahawa UMNO dan koalisi Barisan Nasional (BN) pimpinannya mahu menarik diri daripada sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin.
Spekulasi berkenaan bertiup kencang selepas Presiden UMNO itu tidak menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh Muhyiddin dengan semua menteri kabinet dan ketua-ketua parti politik yang mendokong PN di Putrajaya pada pagi Isnin.
Ia ditambah pula dengan berita bahawa Ahmad Zahid, yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk, mengadakan satu pertemuan berasingan dengan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional pada masa yang sama turut dihadiri Najib yang telah memberi cadangan kepada mesyuarat itu supaya UMNO untuk bekerjasama dengan parti Anwar.
Menurut Najib, beliau telah mencadangkan supaya UMNO mendesak satu tarikh yang tetap bagi Pilihan Raya Umum selepas berakhir COVID-19 dan diadakan segera, dan sekiranya cadangan itu tidak diterima oleh PN, maka UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti politik lain.
“UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika UMNO masih tidak berpuas hati dengan layanan dalam Kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.
“Namun, cadangan saya ada syarat, bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP dan ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini.
“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin pada bulan Februari lalu walaupun pada masa itu PPBM (Bersatu) merupakan musuh kita yang banyak mengambil ahli-ahli parlimen UMNO, jadi kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?,” kata Najib di laman media sosial Facebooknya menerangkan initipati mesyuarat yang dihadirinya bersama Ahli Parlimen BN itu.
Untuk rekod, DAP adalah salah satu parti komponen Pakatan Harapan pimpinan Anwar, yang mewakili masyarakat Cina di negara itu, juga dianggap sebagai musuh tradisi UMNO dengan kedua-dua parti berkenaan mempunyai agenda serta halatuju politik yang berbeza.
Ahmad Zahid dalam kenyataan yang sama juga meminta Kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik COVID-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.
“MKT UMNO menyarakan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politk dalam Kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang,” kata Presiden UMNO itu.
Beliau juga berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang menolak pengisytiharan darurat hadir bertepatan pada masa dan mendatangkan kelegaan kepada rakyat.
Ahmad Zahid memberi jaminan untuk terus memastikan kestabilan politik terus dipertahankan dengan berkata, “UMNO Mendokong sepenuhnya titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan,”
Pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong telah mengadakan perbincangan khas dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur, dua hari selepas Seri Paduka menerima menghadap Muhyiddin bagi mempersembahkan permohonannya untuk mendapat perkenan bagi pengisytiharan darurat mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Malaysia.
Istana Negara berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menolak permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka bagi mengisytiharkan darurat di seluruh negara, yang dilihat boleh menyebabkan penggantungan Parlimen dan menambah lagi kuasa eksekutif kerajaan.
Langkah untuk mengisytiharkan darurat tidak diperlukan walaupun berlakunya krisis kesihatan umum yang berpunca daripada peningkatan penularan jangkitan pandemik itu serta menyebabkan masalah ekonomi, demikian titah Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan Istana Negara pada Ahad.
Letak jawatan atau bubar parlimen
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi berkata bahawa Muhyiddin kini hanya mempunyai dua pilihan selepas cadangan beliau ditolak Yang di-Pertuan Agong, iaitu sama ada meletak jawatan atau membubarkan parlimen untuk mengadaka pilihan raya umum.
Puad turut membuat dakwaan bahawa Perdana Menteri itu berada dalam situasi sekarang kerana menurut nasihat dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Kanan Ekonomi, Azmin Ali.
"Beliau (Muhyiddin) hanya mempunyai majoriti tipis sebanyak dua kerusi. Ia adalah sesuatu yang malang buat Muhyiddin kerana beliau kini menghadapi semua kritikan kerana mengikut nasihat yang diberikan oleh Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin," kata Puad kepada BeritaBenar.
Hamzah dan Azmin adalah Menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Muhyiddin, dan dianggap sebagai orang kepercayaan Perdana Menteri itu.
Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pemimpin DAP Liew Chin Tong, yang menulis di dalam blognya, mendakwa bahawa idea untuk mengisytiharkan darurat datangnya daripada Hamzah dan disokong oleh Azmin.
"Langkah untuk mendesak supaya darurat diisytiharkan dikatakan sebagai satu lagi cubaan oleh Hamzah, manakala Azmin pula menyokong idea itu secara terbuka. Saya telah mendengar mengenai idea untuk menggantung parlimen ini dua minggu sebelum ianya dipersembahkan (kepada Yang di-Pertuan Agong)," kata Liew.
Pengarah Strategik DAP itu, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, turut mencadangkan supaya Muhyiddin menyingkirkan Hamzah dan Azmin untuk membetulkan keadaan.