UMNO Nyatakan Sokongan Kepada Kerajaan PN Jamin Kestabilan Politik

Hadi Azmi & Noah Lee
2020.10.21
Kuala Lumpur, Malaysia
201021-MY-UMNO.jpg Calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz (tengah) memenangi Pilihan Raya Kecil Slim bersama Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan bekas Perdana Menteri Najib Razak (kanan) di Slim River, Perak, 29 Ogos 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Selepas berminggu berlarutannya episod ketidaktentuan politik di Malaysia, parti komponen terbesar dalam gabungan yang membentuk kerajaan persekutuan, UMNO pada Rabu tampil menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional [PN] demi menjamin ‘kestabilan politik’ semasa negara diancam pandemik COVID-19 serta berdepan dengan masalah ekonomi.

Kesediaan menyokong PN itu dinyatakan oleh Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan rasmi pada lewat Rabu, sembilan hari selepas Biro Politik parti itu menyatakan mahu mempertimbangkan semula sokongan dengan memberikan syarat baru kepada PN dalam meneruskan kerjasama.

"Saya ingin menekankan beberapa pendirian UMNO (iaitu) melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan,

“Mendokong kerajaan Perikatan Nasional dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi,

“Kerjasama semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional harus diperkasakan bagi menjamin kesabilan politik di saat negara menghadapi ancaman COVID-19 dan ketidakkentuan ekonomi negara,” kata Zahid di dalam kenyataan medianya.

Pengumuman itu memberi sedikit nafas lega terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang dilihat terpaksa bergantung kepada semua parti politik yang membentuk pentadbirannya di Putrajaya dalam terus untuk mengekalkan kuasa setelah memiliki majoriti tipis di Parlimen.

PN mempunyai sokongan keseluruhan 113 daripada jumlah 222 Ahli Parlimen di mana UMNO memiliki 39 kerusi, 31 dari Bersatu, diikuti PAS (18), MCA (2), MIC (1) bersama gabungan parti politik dari Sarawak (18) dan tujuh lagi yang menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Ahmad Zahidi turut mengarahkan semua pemimpin parti itu yang berada di dalam kabinet Muhyiddin untuk menumpukan sepenuh usaha membantu dan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaa ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Razlan Rafii, seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, keputusan pucuk pimpinan parti untuk gencatan politik adalah bagi memberikan keredaan kepada rakyat yang sedang dalam kegawatan kerana COVID-19.

Menurut beliau, perkembangan politik semasa pada ketika ini telah menyebabkan situasi menjadi semakin panik dan ramai yang kini marah dengan ahli politik.

"Semua orang menyalahkan ahli politik dengan banyak sangat isu yang dimainkan oleh ahli politik sehinggakan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor murka," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang menyentuh mengenai perebutan kuasa politik semasa negara dilanda pandemik.

“Juga kemungkinan selepas beberapa perjumpaan antara Muhyiddin dan Ahmad Zahid baru-baru ini, telah meleraikan perselisihan faham antara mereka,” tambah Razlan.

Pada Isnin, UMNO pimpinan Ahmad Zahid yang terpalit dengan kes rasuah bersama parti konservatif pimipinan Hadi Awang, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam satu kenyataan memberitahu kerjasama kedua parti itu di bawah jenama Muafakat Nasional [MN] akan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan, tanpa memberikan bila tarikh pendaftaran itu.

“Kepimpinan kedua-dua parti telah bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia,” kata UMNO dan PAS, tanpa menyebut sebarang penyertaan daripada Bersatu di dalam kenyataan itu, walaupun telah dipersetujui pada Ogos lepas, yang tiga parti orang Melayu itu akan bekerjasama dalam MN.

Baru-baru ini juga timbul desas-desus yang mengatakan bahawa Zahid dan bekas Perdana Menteri Najib Razak telah menyatakan sokongan mereka terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin.

Sepucuk surat berkepala surat Presiden UMNO dan ditandatangani oleh kedua-dua tokoh parti itu telah tular di media sosial dengan Anwar dikatakan telah mempersembahkannya kepada  Yang di-Pertuan Agong semasa mengadap baginda.

Parti tersebut juga dikatakan telah mendesak satu rombakan kabinet oleh Muhyiddin bagi memberi pemimpin tertingginya seperti Ahmad Zahid memegang satu jawatan tinggi dalam kabinet bersesuaian dengan kedudukan UMNO sebagai penyumbang kerusi terbesar dalam PN, di mana menteri-menteri kabinet mewakili UMNO bukan terdiri daripada ahli majlis tertinggi parti itu.

Parti Keadilan Rakyat [PKR], pimpinan Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution berkata parti itu mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang telah dibuat Ahmad Zahid pada Rabu.
“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan Ahli-Ahli Parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama, iaitu untuk memperbetul halatuju kepimpinan negara terutama dalam usaha memerangi wabak COVID-19, menyuntik semangat dan membangun semula ekonomi, serta melipat gandakan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas.

Sokongan beralih

Sementara itu, seorang penganalisis politik berkata peralihan sokongan UMNO kembali kepada  Muhyiddin itu akan memberi impak negatif kepada cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri ke-9 Malaysia.

Azmi Hassan, seorang pakar geostrategis yang baru bersara dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat peluang Ketua Pembangkang untuk menjadi Perdana Menteri semakin tipis memandangkan sokongan lebih 120 Ahli Parlimen seperti yang didakwanya dipercayai berasaskan sokongan daripada kesemua 39 Ahli Parlimen UMNO.

"Peluang untuk Anwar menjadi Perdana Menteri menjadi lebih sukar kerana gencatan politik ini bukan sahaja akan memberi masa kepada Muhyiddin untuk mengumpul semula, tetapi juga menyerlahkan bahawa UMNO tidak akan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri," kata beliau.

Mengulas tindakan ‘flip-flop’ UMNO yang membawa kepada keputusan gencatan politik UMNO, Azmi berkata ia lahir setelah MN berjaya dikukuhkan bersama PAS lantas menjadikan UMNO dan PAS sebagai satu blok lebih kuat bagi menghadapi parti Bersatu pimpinan Muhyiddin.

“Dengan MN bertambah kukuh dan sekali gus menyisihkan Bersatu, UMNO dengan itu tidak perlu lagi menggunakan strategi ugutan,” tambah beliau sambil berkata UMNO juga tidak mahu menyebabkan berlakunya pilihanraya mengejut ketika COVID-19 kerana bimbang ‘dihukum’ rakyat.

“Rakyat telah memberi isyarat bahawa pihak yang bertanggungjawab menyebabkan parlimen terbubar akan dihukum kerana mereka terpaksa melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 semasa  pandemik masih tidak dapat dikawal,” ulas beliau.

Seorang lagi penganalisa politik, Azizuddin Mohd Sani turut memberikan pandangan serupa berkenaan peluang Anwar untuk membentuk kerajaan dengan menurut ahli akademik Universiti Utara Malaysia itu, pengumuman UMNO juga tidak menjadi satu jaminan buat PN.

"Saya melihat mungkin juga ada hasil kompromi daripada perundingan melalui MN dan PN. Namun ini masih lagi tiada jaminan UMNO akan menyertai PN... Peluang Anwar juga sekarang ini menjadi kurang jelas dengan pengumuman terbaru ini," kata Azizuddin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mula memegang tampuk kuasa pada Mac lalu selepas krisis politik yang menyaksikan perletakkan jawatan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, hanya memiliki kelebihan majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat Malaysia itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.