UMNO Akan Tentukan Presiden Baru Selepas Kalah PRU-14

Alfian Z.M. Tahir
2018.06.18
Kuala Lumpur, Malaysia
180618-MY-UMNO1000.jpg Penyokong mengibarkan bendera parti semasa sambutan ulang tahun ke-71 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 11 Mei 2017.
AFP

Parti tertua dan terbesar di Malaysia, UMNO, akan memilih Presiden baru di perhimpunan agung parti itu dengan tiga calon berazam untuk merebut jawatan tertinggi parti pada 30 Jun ini.

UMNO kini berdepan dengan krisis kepimpinan parti selepas presidennya, Najib Razak, didesak meletak jawatan apabila gabungan parti pemerintah Barisan Nasional tewas teruk oleh pihak pembangkang, Pakatan Harapan, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Tiga calon yang ingin merebut jawatan presiden itu termasuk pemangku Presiden UMNO yang juga bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi, bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah, dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, bekas menteri belia dan sukan.

Selain ketiga-tiga pemimpin itu, jawatan presiden juga mendapat perhatian empat lagi muka baru yang belum dikenal pasti.

Penganalisis politik Ahmad Atory Hussein, bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), berpendapat bahawa calon yang paling layak untuk menerajui parti yang mempunyai lebih 4 juta anggota  itu ialah Tengku Razaleigh.

Ahmad Atory berkata ahli politik veteran yang lebih dikenali sebagai Ku Li  itu mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan mampu membawa pembaharuan kepada UMNO.

"Tengku Razaleigh adalah calon paling sesuai kerana beliau berpengalaman di dalam politik dan UMNO, bersih dari segi perwatakan serta kepimpinan, dan paling penting, tiada sebarang kontroversi atau rekod buruk dalam parti.

“Beliau pernah mencabar Mahathir Mohamad yang pada masa itu adalah presiden UMNO, dan hanya kalah dengan 43 undi pada tahun 1987. Jadi tiada sebab untuk beliau tidak diangkat menjadi presiden UMNO," kata Atory kepada BeritaBenar pada Isnin.

Atory berkata Tengku Razaleigh dilihat mempunyai pengalaman luas dalam politik dan juga pentadbiran dan pernah menjadi naib presiden UMNO;  pengasas  syarikat minyak dan gas Petronas,  yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia;  pengerusi Bank Bumiputra, dan juga mempunyai  hubungan kekeluargaan dengan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

"Putera dari Kelantan itu tidak terlibat dalam masalah pengubahan wang haram, beliau kaya raya walaupun tidak kelihatan begitu kaya tetapi separuh daripada tanah di Kota Baru, Kelantan adalah milik beliau. Mengapa UMNO perlu runsing, Ku Li adalah calon sesuai," bekas anggota UMNO itu memberitahu BeritaBenar.

Sebaliknya, bekas tenaga pengajar UUM itu berkata, usia Ku Li, 74 tahun, tidak menjadi halangan kepada beliau untuk 'memperbaharui' parti terbesar orang Melayu itu.

"Faktor usia tidak timbul. Jika Ku Li tidak relevan, beliau tidak akan dipilih oleh rakyat Kelantan untuk menjadi ahli parlimen selama 11 penggal. Saya menilai bahawa beliau adalah calon paling sesuai kerana beliau seorang yang bersih dari segi perwatakan serta kepimpinan,” tambah Atory.

Pada 2004, Tengku Razaleigh pernah mencabar Perdana Menteri dan Presiden UMNO,  pada ketika itu Abdullah Ahmad Badawi, tetapi gagal mendapat pencalonan secukupnya.

Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada tahun 2008 selepas didesak, dan Najib kemudiannya diangkat sebagai presiden parti itu tanpa bertanding. Sejak itu, jawatan presiden parti tidak lagi dipertandingkan.

Akar umbi mahu perubahan menyeluruh

Ahmad Marthada Mohamed, pensyarah Fakulti Pengajian Antarabangsa UUM tidak senada dengan Ahmad Atory dan menganggap tindakan Khairy untuk merebut jawatan tertinggi parti itu sebagai satu tindakan berani.

Beliau berkata bahawa majoriti akar umbi mahukan perubahan menyeluruh di dalam parti bangsa Melayu itu, dan Khairy adalah calon yang mampu membawa perubahan di dalam UMNO.

"Soal siapa layak atau tidak layak, tidak timbul. Persoalan utama sekarang - adakah akar umbi UMNO mahukan perubahan secara menyeluruh? Sememangnya, Zahid Hamidi atau Ku Li layak memimpin, tetapi adakah itu yang akar umbi UMNO inginkan?"

Menurut Ahmad Marthada, Khairy adalah seorang pemimpin berani dan mampu melakukan transformasi serta membawa perubahan dalam parti yang tidak boleh lagi bergantung kepada status quo atau konsep feudalisme.

Dalam pada itu, bekas ketua bahagian Umno Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan ketika ditanya BeritaBenar tentang masa depan UMNO telah menempelak bekas partinya itu dengan berkata UMNO akan berkubur dengan lebih cepat jika Khairy dipilih menjadi presiden.

Khairuddin dipecat dari UMNO selepas didapati melanggar perlembagaan parti apabila membawa kes skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad untuk disiasat, menyalahkan Khairy atas kejatuhan bapa mertuanya, Abdullah Badawi, lebih 10 tahun lalu.

"Ku Li seorang wakil rakyat. Orang lama di dalam politik. Begitu juga Zahid. Jadi, pertandingan sebenar adalah antara dua watak ini. Yang lain tidak relevan," tambah Khairuddin.

Ahmad Zahid pula mula dikenali sewaktu era reformasi yang dipimpin Anwar Ibrahim. Pada masa itu,  sebagai Ketua Pemuda UMNO, beliau memberi sokongan kepada Anwar yang dipecat dari UMNO. Beliau turut berada di rumah Anwar semasa bekas timbalan perdana menteri itu ditangkap polis.

Zahid ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong Anwar tetapi dibebaskan selepas berjanji untuk memberi sokongan penuh kepada kerajaan Mahathir.

Beliau menempah nama sewaktu kepimpinan Najib, dan pernah menjawat jawatan Menteri Pertahanan sebelum menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Zahid menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri selepas Muhyiddin dipecat daripada kabinet Najib Razak kerana lantang menyoal Najib berhubung 1MDB, dua tahun lepas.

UMNO ditubuhkan pada tahun Mei 1946 di Johor oleh Onn Jaafar. Ketika ia mula dibangunkan, parti tersebut disokong oleh golongan bangsawan serta mendapat sokongan daripada pihak British yang pada waktu itu menjajah semenanjung Tanah Melayu bagi menyebarkan hegemoni imperialisnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.