Ahmad Zahid Hamidi Dipilih Presiden UMNO 2018-2021

Alfian Z.M. Tahir
2018.06.30
Kuala Lumpur, Malaysia
180630-MY-UMNO1000.jpg Anggota UMNO dari Bahagian membuang undi mereka di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra [PWTC] di Kuala Lumpur, 30 Jun, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu diumumkan sebagai Presiden baru UMNO bagi tempoh 2018-2021 selepas berdepan persaingan sengit tiga penjuru untuk merebut jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan kali ini.

Ahmad Zahid sebelum ini merupakan Naib Presiden dan memangku jawatan Presiden parti orang Melayu dan bumiputera itu selepas Najib Razak meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO pada pilihan raya umum bulan lalu.

Ahmad Zahid memperoleh 78 undi manakala bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin mendapat 53 undi dan pemimpin veteran yang juga Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li hanya mendapat 28 undi daripada 191 Bahagian UMNO yang bersidang di seluruh negara pada Sabtu.

Keputusan daripada 34 bahagian lagi belum boleh disahkan dan akan diumumkan esok.

Keputusan awal itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang media di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan memenanginya dengan 110 undi untuk menewaskan Anggota Parlimen Keterah Annuar Musa yang mendapat 47 undi setakat tengah malam.

Tiga jawatan naib presiden pula setakat ini dimenangi Anggota Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang mendahului dengan 146 undi diikuti Mahdzir Khalid (99 undi).

Sehingga lewat Sabtu, Johari Abdul Ghani dan Mohamed Khaled Nordin sedang bersaing sengit untuk mengisi satu lagi jawatan Naib Presiden itu.

Persidangan perwakilan dan pemilihan peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi parti itu bermula pada pagi Sabtu dengan tumpuan terarah kepada perebutan jawatan Presiden.

Ahmad Zahid merupakan orang kanan Najib dan pernah menyandang jawatan timbalan perdana menteri selepas pemecatan Muhyiddin Yassin daripada kabinet pada 2016.

Ahmad Zahid diangkat menjadi orang nombor dua di dalam UMNO berikutan sokongan kuat akar umbi terhadap Anggota Parlimen Bagan Datuk itu.

Minggu lepas, tiga muka baharu - Asyraf Wajdi Dusuki, Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan masing-masing telah dipilih sebagai Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO oleh bahagian UMNO pada pemilihan yang diadakan.

Status quo

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar menganggap kemenangan Ahmad Zahid sebagai pengekalan status quo di dalam UMNO yang mempunyai kira-kira 3.5 juta ahli itu.

“Ahmad Zahid adalah calon yang membawa beban Najib tetapi kepimpinan beliau dipercayai oleh ahli UMNO yang lain.

“Beliau dilihat sebagai sosok yang boleh membawa sedikit perubahan kepada UMNO dan pada masa sama mampu mengekalkan status quo di dalam parti itu,” kata Hisomuddin pada lewat Sabtu.

Beliau juga berpendapat kekalahan Tengku Razaleigh atau Ku Li berpunca daripada faktor ketidaksetiaan di mana beliau pernah keluar daripada parti itu semasa ia mengalami krisis dalaman pada penghujung 1990-an

“Ku Li membawa faktor 'Team B' di dalam UMNO dan pernah keuar parti dengan menubuhkan Parti Semangat 46 suatu masa dahulu. Di sini, ahli UMNO yang lain akan beranggapan bahawa Ku Li tidak sesuai menjadi ketua,” katanya.

Sejak 1987, jawatan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dengan dua bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak tidak pernah dicabar oleh mana-mana individu dalam parti. Mereka diangkat sebagai presiden selepas parti bersetuju untuk tidak mempertandingkan jawatan tersebut.

Ahmad Zahid adalah anak kelahiran Bagan Datoh Perak dan sudah menjadi ahli UMNO lebih 30 tahun.

Beliau juga adalah bekas Ketua Pemuda parti itu serta pernah menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim semasa bekas timbalan presiden dan timbalan perdana menteri itu dipecat pada 1998.

“Ini bukan kemenangan individu tetapi kemenangan kita semua, kemenangan UMNO dan ahli parti. Pelawaan saya terus terbuka untuk mereka bersama-sama kepimpinan baharu bagi menterjemahkan pembaharuan UMNO.

“Sesungguhnya pemilihan yang lancar ini adalah manifestasi ahli UMNO yang kasihkan parti serta mahu ia terus bangkit untuk relevan dalam pentas politik tanah air. Kita sudah bergerak merakyatkan UMNO,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Persidangan perwakilan UMNO bermula serentak pada 9 pagi Sabtu di kesemua 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepimpinan di peringkat bahagian dan majlis tertinggi bagi sesi 2018-2021.

Seramai 106 calon bertanding merebut 25 jawatan kepimpinan tertinggi parti selain para perwakilan turut mengundi untuk memilih barisan kepimpinan peringkat Bahagian.

UMNO dihimpit krisis selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum itu.

Dua hari lalu, akaun UMNO dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan siasatan berkaitan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib.

Akaun UMNO beku

Sementara itu, Ketua Pemuda baru UMNO Ashraf Wajdi Dasuki menggesa SPRM untuk menarik balik pembekuan akaun UMNO kerana ia bukanlah tindakan wajar.

“Saya fikir tindakan itu tidak sesuai dan hanya akan menyusahkan UMNO. SPRM perlu menarik balik sekatan dan melakukan siasatan 1MDB secara profesional,” kata beliau.

Ashraf juga bersetuju dengan cadangan supaya UMNO melancarkan tabung bagi mengutip sumbangan daripada ahli parti untuk meneruskan objektif parti.

“Saya tidak menolak cadangan itu. Mungkin ia akan dijalankan selepas perbincangan dengan pemimpin parti,” kata Ashraf kepada pemberita di PWTC.

New Straits Times memetik sumber sebagai berkata bahawa 900 akaun yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB telah dibekukan pihak berkuasa.

Najib, yang terpalit skandal jutaan ringgit berkaitan dengan dana pekaburan negara itu, berkata kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya hanya membekukan akaun individu yang hendak disiasat dan bukannya menjadikan akaun parti politik sebagai ‘sasaran’.

Sebelum ini, polis Malaysia merampas sejumlah barangan kemas, beg tangan berjenama, wang tunai dan barangan mewah lain dari beberapa kediaman yang berkaitan dengan Najib Razak.

Kesemua rampasan itu bernilai AS$273 juta namun ia tidak termasuk berlian merah jambu yang jarang ditemui yang dianggarkan para pegawai Amerika Syarikat bernilai AS$27.3 juta, kata polis pada Rabu.

Polis Malaysia merampas barangan berkenaan dalam serbuan pada bulan lalu, yang merupakan sebahagian daripada penyiasatan pihak berkuasa terhadap skandal kewangan 1MDB yang ditubuhkan Najib pada 2009. Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa berbilion ringgit diselewengkan daripada syarikat itu dan melalui proses pengubahan.

Skandal 1MDB telah membawa kepada penyiasatan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menggambarkan dakwaan pencurian wang 1MDB itu sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama."

Najib, yang dilarang meninggalkan Malaysia sejurus selepas BN tewas pada pilihan raya umum, menafikan beliau melakukan salah laku jenayah berkaitan dengan dana pelaburan negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.