Perhimpunan Agung PBB Muktamad Resolusi ‘Sekat Kemasukan Senjata' ke Myanmar
2021.06.18
Washington

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menerima pakai resolusi yang menggesa tentera Myanmar supaya mengembalikan pemerintahan demokratik, dan menggesa negara-negara anggotanya untuk "menyekat kemasukan senjata" ke negara bergolak itu di mana pasukan keselamatan telah menyebabkan lebih 800 orang – yang kebanyakan penunjuk perasaan – terbunuh sejak rampasan kuasa pada 1 Feb lalu.
Empat daripada 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) - Brunei, Kemboja, Laos dan Thailand – memilih untuk berkecuali bagi resolusi itu, yang sekali lagi menunjukkan perpecahan dalam badan serantau berkenaan berhubung tindakan bagi menangani junta Myanmar yang menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pada 1 Feb lalu.
Resolusi itu "menggesa pasukan bersenjata Myanmar supaya menghormati pilihan rakyat seperti yang dinyatakan secara bebas menerusi hasil pilihan raya umum pada 8 Nov 2020, menamatkan darurat, menghormati hak asasi manusia semua rakyat Myanmar dan membenarkan peralihan demokrasi Myanmar secara berterusan. "
Ia juga menuntut pembebasan Presiden Win Myint, Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan "semua yang ditahan, dituduh atau ditangkap secara sewenang-wenangnya" – yang dianggarkan kira-kira 4,880 orang, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik yang berpusat di Thailand.
Duta Myanmar ke PBB, yang bercakap bagi pihak kerajaan awam bayangan, berkata resolusi itu "tidak seperti yang kami harapkan" kerana "ia tidak mengenakan embargo senjata" terhadap Myanmar.
Sebanyak 119 negara mengundi untuk menyokong resolusi tersebut. Sebanyak 36 negara lagi memilih untuk berkecuali manakala 37 negara tidak hadir untuk mengundi. Belarus adalah satu-satunya negara yang menolak resolusi itu.
China memilih untuk berkecuali dalam undian itu, dengan menyatakan bahawa ia menentang resolusi khusus terhadap negara, dan Rusia yang turut berkecuali pula menyatakan resolusi tersebut tidak akan membantu dalam menyelesaikan krisis yang berlaku di Myanmar.
Kyaw Moe Tun dari Myanmar berkata beliau kecewa kerana ia "mengambil masa tiga bulan untuk menerima pakai resolusi tidak bermanfaat ini."
Namun, perwakilan awam Myanmar itu "memberi undi sokongan kerana ia, pada tahap tertentu, akan memberi tekanan terhadap pihak tentera supaya menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan di Myanmar."
‘Risiko perang saudara berskala besar’ di Myanmar
Undi bagi resolusi itu, yang dibawa oleh Liechtenstein, telah ditangguhkan bulan lalu ketika PBB berusaha mendapatkan lebih banyak sokongan terutamanya dari ASEAN, yang mahukan supaya klausa embargo senjata itu digugurkan daripada draf resolusi berkenaan.
Resolusi itu, yang telah disemak semula, diterima pakai pada Jumaat.
Resolusi itu menggesa negara-negara anggota PBB "supaya menyekat kemasukan senjata ke Myanmar" yang selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan pada Julai 2020, yang menyeru dilakukan gencatan senjata di seluruh dunia dan mengurangkan keganasan semasa pandemik COVID-19.
Namun, langkah menerima pakai resolusi itu penting kerana ia "mengutus mesej bahawa tiada lagi urusan perniagaan dengan junta tentera yang membunuh rakyatnya sendiri," kata Simon Adams, pengarah eksekutif Global Center for the Responsibility to Protect melalui catatan Twitter.
Sementara itu, Utusan Khas PBB ke Myanmar Christine Schraner Burgener memberitahu perhimpunan agung itu bahawa "peluang untuk mengubah pemerintahan tentera [di Myanmar] semakin tipis."
Beliau, yang berucap selepas pengundian resolusi itu dilakukan, memberi penjelasan kepada perhimpunan agung berkenaan mengenai kunjungannya selama seminggu ke Asia Tenggara selepas berlakunya rampasan kuasa di Myanmar. Beliau tidak dibenarkan memasuki Myanmar tetapi memerhatikan keadaan yang berlaku di negara itu dari negara berdekatan, Thailand.
Schraner Burgener berkata "risiko perang saudara berskala besar adalah amat jelas" dan mengingatkan bahawa separuh populasi negara itu akan tersungkur dalam kemiskinan pada 2022 sekiranya keganasan berlanjutan.
Empat negara ASEAN memilih berkecuali
Menurut resolusi itu, ASEAN mempunyai peranan yang penting untuk berbincang dengan Myanmar serta memudahkan usaha mencari penyelesaian secara aman "demi kepentingan rakyat Myanmar dan kesejahteraan mereka."
Namun, negara-negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Laos dan Thailand memilih untuk berkecuali dalam undian itu, yang sekali lagi menunjukkan adanya perpecahan dalam badan serantau itu.
Badan PBB itu, dalam resolusi berkenaan, juga meminta Myanmar supaya "melaksanakan segera" konsensus lima perkara yang dimuktamadkan ASEAN dengan pemimpin junta Myanmar pada 24 April.
Tetapi, ASEAN tidak menunjukkan sebarang perkembangan dalam mana-mana lima perkara itu termasuk mengenai pelantikan utusan khas ke Myanmar dan kunjungan delegasi ASEAN yang diketuai utusan khas itu ke negara dilanda krisis tersebut.
Aung Thu Nyein, pengarah Institut Strategi dan Dasar Myanmar yang berpusat di Yangon, berkata negara-negara anggota ASEAN tidak sepakat berhubung isu Myanmar "berdasarkan hakikat bahawa kebanyakan [negara anggotanya] bukanlah negara demokratik. "
Namun, badan serantau itu boleh memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini, kata Aung Thu Nyein kepada Radio Free Asia (RFA), entiti BenarNews.
“Saya berpendapat ASEAN masih mempunyai peranan penting dalam menangani krisis Myanmar. Banyak negara menyokong consensus lima perkara ASEAN itu, ”kata Aung Thu Nyein kepada RFA.
"Saya rasa cara ASEAN itu belum memadai tetapi kini banyak negara menyokong konsensus lima perkara tersebut ... kita harus berpegang kepada matlamat itu."
Perkhidmatan Myanmar Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan itu.