Putrajaya Tetapkan Tarikh Undi Percaya, Tidak Hirau Gesaan Awalkan Proses

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak risau dengan undian yang akan diadakan pada 7 September.
S. Adie Zul & Noah Lee
2021.08.12
Kuala Lumpur
Putrajaya Tetapkan Tarikh Undi Percaya, Tidak Hirau Gesaan Awalkan Proses Peserta protes memegang sepanduk menggesa Perdana Menteri Muhyiddin supaya meletak jawatan, ketika satu demonstrasi berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, 31 Julai 2021.
[AP]

Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin pada Khamis mengumumkan bahawa proses undi percaya terhadap Perdana Menteri Malaysia itu telah ditetapkan pada 7 September, selepas Yang di-Pertuan Agong dilaporkan menggesa supaya ia diawalkan ke minggu hadapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mengumumkan tarikh yang akan menjadi undian pertama kali dibuat dalam menentukan nasib kerajaan pimpinan Muhyiddin yang kini telah memerintah selama 17 bulan setelah ia dibentuk bukan melalui pilihan raya.

Menteri itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen terhadap laporan mengenai pihak istana yang mahukan undian percaya dibuat pada minggu ketiga Ogos.

"Buat masa ini, tarikh yang ada dan notis telah dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat adalah pada 7 September," Saifuddin memberitahu satu sidang media yang diadakan secara maya pada Khamis.

Muhyiddin "sedar mengenai kepentingan undian ini, dan beliau juga faham bahawa ada pihak yang mahukan undi ini dilakukan sebelum September. Apa yang saya tahu, tarikh rasmi adalah pada 7 September," kata menteri itu.

Ketika ditanya sama ada Kabinet semasa mesyuarat pada Rabu ada membincangkan mengenai kemungkinan undi percaya diawalkan sebelum September, Saifuddin berkata "seperti yang saya katakan, tarikh yang ditetapkan pada masa ini adalah 7 September, bagaimanapun dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku."

Hampir kesemua parti-parti pembangkang telah mengeluarkan kenyataan supaya Muhyiddin sama ada meletakkan jawatan atau memanggil sidang khas Parlimen bagi membolehkan undi percaya diadakan, kerana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Julai lalu telah secara terbuka menegur kerajaan kerana dikatakan telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Cengkaman kuasa Muhyiddin menjadi semakin lemah pada 3 Ogos apabila parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti terbesar dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri itu mendakwa sejumlah wakil rakyatnya telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, yang sekaligus menyebabkan kerajaan tidak lagi mempunyai majoriti dan keabsahan untuk terus memerintah.

Pada Rabu, beberapa media tempatan melaporan bahawa Al-Sultan Abdullah telah menggesa supaya Muhyiddin mengadakan undi percaya lebih awal sebelum 6 September, iaitu tarikh yang telah dijadualkan bagi sesi Parlimen yang akan datang.

Parlimen tempat sesuai menguji sokongan

Sementara itu, satu sumber di Parlimen - yang bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan kerana isu amat sensitif - berkata bahawa pihak istana telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat pada minggu ini bagi mendapatkan maklumbalas mengenai bilangan Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.

Surat itu dihantar selepas Perdana Menteri memaklumkan Seri Paduka bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan akan membuktikannya di Parlimen.

Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi, tetapi dua daripadanya kini kosong kerana kematian penyandang. Muhyiddin memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen untuk mengekalkan kuasanya.

Muhyiddin dikatakan mempunyai sokongan seramai 114 wakil rakyat sebelum UMNO mengumumkan mengenai penarikan balik sokongan Ahli Parlimennya.

Awal minggu ini, UMNO telah memuatnaik beberapa keping surat parti itu yang diutuskan kepada Sultan Abdullah, termasuk senarai nama 14 Ahli Parlimennya yang telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Ia menjadikan bilangan Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri menyusut kepada kira-kira 104,  tetapi ini hanya berdasarkan kepada pengumuman oleh UMNO. Situasi ini bagaimanapun boleh berubah apabila tiba masa undi percaya diadakan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram berkata kenyataan yang dibuat oleh para penggubal undang-undang mengenai sokongan atau penarikan sokongan mereka terhadap seseorang pemimpin mesti dibuat di dalam Parlimen.

"Menurut Perlembagaan, kenyataan seperti ini tidak ada sebarang kesan. Sidang Dewan Rakyat adalah tempat yang sepatutnya untuk menguji kepercayaan," kata beliau kepada agensi berita kerajaan Bernama.

"Walaupun 30 atau 40 orang membuat kenyataan di luar Dewan, ia tidak membawa apa-apa."

'Undi percaya ke atas PM adalah normal'

Menurut laporan Bernama, Muhyiddin berkata bahawa beliau tidak gusar dengan undi percaya yang akan diadakan itu.

"Betul, usul undi percaya kepada Perdana Menteri itu biasa dibuat di Parlimen, tetapi yang harus difikirkan ialah soal situasi dan keadaan semasa," kata beliau kepada media semasa satu lawatan ke negeri Johor baru-baru ini.

"Apakah negara boleh hadapi masalah sebegini dengan apa-apa rombakan pertukaran dan suasana politik yang nanti kalut? Saya tidak kata saya ramal begitu… yang mungkin boleh jejas ialah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah-langkah saya sebut awal tadi, vaksinasi dan sebagainya, " kata Perdana Menteri itu yang merujuk kepada peningkatan bilangan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi di Malaysia.

Sementara itu, rakyat Malaysia dilihat sudah bosan dengan percaturan politik yang berlaku ketika krisis kesihatan.

Ramai dilihat marah dengan kerajaan Muhyiddin kerana apa yang dikatakan mereka sebagai kegagalan menguruskan pandemik, serta fokus terhadap isu yang salah termasuk usaha untuk mengekalkan kuasa.

Badan pemantau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pula berkata bahawa mereka menjangka akan ada lebih banyak aksi politik berlaku sehingga undi percaya diadakan bulan depan.

Kumpulan itu pada minggu lepas berkata bahawa kelewatan mengadakan undian akan menyaksikan parti-parti politik membuat tawaran pintu belakang serta cubaan mendapatkan sokongan ketika undi percaya.

Seorang Ahli Parlimen pembangkang dilaporkan oleh akhbar tempatan dalam tajuk beritanya menyifatkan bahawa satu gabungan politik sedang mengejar Ahli Parlimen dengan agresif - "Masa membeli belah Ahli Parlimen sudah bermula".

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.