Lapan Belas Individu Saman Perdana Menteri Cabul Hak Undi Anak Muda

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menamakan kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.
S. Adie Zul
2021.04.02
Kuala Lumpur
Lapan Belas Individu Saman Perdana Menteri Cabul Hak Undi Anak Muda Aktivis hak asasi manusia dan beberapa Ahli Parlimen bercakap kepada media selepas memberi keterangan berkaitan protes undi18 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 2 April 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Lapan belas anak muda Malaysia pada Jumaat menyaman Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menangguhkan pelaksanaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, sekaligus menyekat hak mereka untuk mengundi sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini, menurut salinan saman berkenaan.

Kumpulan remaja pro-Undi18 Persatuan Pengundi Muda (Undi18) itu berkata mereka telah memfailkan semakan kehakiman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan SPR menangguhkan Undi18 sebagai tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan terhadap hak pengundi.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur, kumpulan anak muda itu berkata mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.

Salah seorang daripada mereka yang merupaka aktivis pelajar, Nurul Rifayah berkata kumpulan 18 anak muda itu juga turut memohon mahkamah membatalkan penangguhan tersebut.

"Para pemohon menuntut deklarasi daripada Mahkamah bahawa penangguhan oleh kerajaan dalam pelaksanaan RUU Undi18 adalah tidak rasional, melanggar proses dan semangat undang-undang, serta mencabul hak pengundi.

"Selain itu, para pemohon juga merayu kepada Mahkamah untuk mengarahkan kerajaan melaksanakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada atau sebelum Julai 2021," katanya kepada pihak media.

Ujarnya Undi18 (Persatuan Pengundi Muda) berpendirian teguh bahawa anak muda yang berumur 18 ke 20 tahun berhak untuk mengundi.

Selain Rifayah, antara remaja lain yang terlibat Elisa Shafiqah, 19 dan Lim Yue Kin, 18, serta pemimpin belia dari Sarawak, Rifqi Faisal, 18. Mereka semua mewakili golongan belia dari masyarakat berbilang kaum.

Turut hadir adalah pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri.

Kesemua 18 belia tersebut terjejas secara langsung dengan tindakan SPR menangguhkan menurunkan umur pengundi kerana mereka berumur di antara 18 hinggan 20 tahun, sekaligus bermakna hanya rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas akan layak mendaftar sebagai pengundi.

Hujung bulan lalu, SPR berkata 1.2 juta anak muda Malaysia hanya akan dapat mengambil bahagian dalam proses pilihan raya menjelang September 2022 berbanding jangkaan awal Julai 2021, disebabkan penularan pandemik COVID-19 yang melambatkan proses pendaftaran mereka.

Sementara itu, Elisa Shafiqah berkata beliau telah melihat banyak kejayaan yang dicapai oleh rakan-rakan sebayanya yang berumur di antara 19, 20 dan 21.

“Rakan-rakan sebaya sedang belajar di universiti luar negara, membayar cukai dan juga mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak,” ujarnya.

Peguam New Sin Yew daripada tetuan AmerBon Advocates berkata, “Jika kita gagal, Kabinet perlu segera melaksanakan pindaan Perlembagaan yang menurunkan umur mengundi kepada 18.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian dengan segera memandangkan Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa dan orang dewasa mesti dibenarkan untuk mengundi kerajaan.”

Penangguhan perbuatan tidak adil

Sementara itu, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam menzahirkan sokongan kepada gerakan Undi18 menyifatkan keputusan menangguhkan pelaksanaan undi bagi belia berumur 18 tahun adalah tidak adil.

"Semuanya telah direkodkan (sistem kerajaan), mereka (kerajaan) boleh akses rekod itu bila-bila masa jadi mereka tahu di mana orang itu tinggal dan maklumat pengenalan diri sebagainya.

"Jadi tiada alasan sepatutnya perkara ini (Undi18) ditunda, kalau benar ia dilengah-lengahkan, itu adalah tindakan secara sengaja. Golongan muda sepatutnya mengambil bahagian dalam pilihan raya, ini tidak adil," katanya semasa hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi memberikan sokongan moral kepada beberapa individu yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung Protes Undi18 yang telah berlangsung di hadapan bangunan Parlimen minggu lalu.

Mengulas tindakan 18 anak muda yang memfailkan saman terhadap kerajaan, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Shazni Munir Mohd Ithnin mengucapkan tahniah di atas keberanian mereka.

Ujar Shazni yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH), kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang disokong PAS dan UMNO bertanggungjawab untuk memberikan hak yang dirampas daripada anak-anak muda berumur 18 tahun.

Shazni berkata sekiranya suara rakyat tidak diberi perhatian sewajarnya, mereka perlu bersatu dan bergerak bersama-sama untuk menyatakan bantahan menerusi protes jalanan.

“Maka gerakan untuk merangkul semua gerakan sivil dan pemegang taruh harus digerakkan sekarang. Jika akhirnya pilihan yang ada hanyalah ‘Bersih 6’, dengan kepatuhan SOP yang ketat - kita yakin ribuan rakyat Malaysia akan kembali ke jalanraya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bersih 6 merujuk kepada kesinambungan protes yang pernah diadakan di Malaysia sebelum iaitu Bersih 1, 2, 3 hingga ke 5 yang memperlihatkan puluhan ribu rakyat Malaysia dari setiap pelusuk negeri turun ke jalanraya bagi menyertai protes pro-demokrasi bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan telus.

SPR badan bebas

Baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh memberi bayangan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Beliau mendakwa penangguhan itu disebabkan oleh kekangan akibat penularan pandemik COVID-19 dengan mengambil kira pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.

Ujarnya lagi, SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen bagi dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Minggu lalu, Muhyiddin menafikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya terlibat di sebalik keputusan SPR menangguhkan pelaksanaan Undi18.

Sebaliknya, Perdana Menteri itu menegaskan SPR adalah badan bebas dan keputusan penangguhan tersebut adalah disebabkan oleh kekangan yang dihadapi oleh suruhanjaya berkenaan walaupun kerajaan telah meminta supaya ia dilaksanakan mengikut jadual asal.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata Pengerusi SPR memaklumkan tidak mampu melaksanakan Undi18 tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan SPR tetapi agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan proses pendaftaran secara automatik mengambil masa kerana ia melibatkan jutaan pengundi baru.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.