Malaysia Tubuh Unit Penguatkuasaan Cegah Jenayah Alam Sekitar
2020.09.14
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia pada Isnin telah mengumumkan penubuhan unit elit yang bertindak sebagai pasukan penguatkuasaan bagi mengawal jenayah alam sekitar, mulai bulan hadapan, selepas sebuah kilang didakwa membuang sisa minyak ke dalam sungai sehingga menyebabkan bekalan air terputus selama beberapa hari di Lembah Klang awal bulan ini.
Pengumuman penubuhan pasukan elit yang dikenali sebagai Pasukan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) itu telah dibuat oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man selepas berlakunya pencemaran sumber air di Sungai Gong, di Rawang, Selangor sehingga mengakibatkan beberapa loji air dihenti operasi dan menjejaskan jutaan pengguna di lebih 1,290 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini.
"Kerajaan memandang serius kejadian pencemaran yang semakin berleluasa yang dilihat mampu membawa impak yang besar dan susulan daripada itu, mesyuarat khas yang diadakan antara Kementerian Alam Sekitar dan Air bersama Kementerian Dalam Negeri bersetuju menubuhkan satu unit penguatkuasaan yang akan bertindak dengan lebih efektif dalam mencegah dan membendung kes jenayah alam sekitar terancang di Malaysia," kata Tuan Ibrahim pada sidang media di Putrajaya.
Menurut menteri itu, unit itu bertindak sebagai penyelaras penguatkuasaan bersama yang akan melibatkan beberapa agensi lain seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Biokeselamatan (JBK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga dari Jabatan Alam Sekitar.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim juga memberitahu bahawa kertas siasatan berkaitan pencemaran di Sungai Gong sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
"Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada minggu lalu. Selain daripada syarikat dituduh, pengurus mahupun pegawai seumpamanya boleh dituduh di bawah akta sama," katanya.
Dalam pada itu, empat ahli lembaga pengarah bersama seorang pengurus kilang, telah didakwa terlibat dalam kejadian pencemaran di kawasan perindustrian Sungai Gong dan akan didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang, Gombak pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat, berkata lima suspek itu akan didakwa mengikut Seksyen 430 dan 34 Kanun Keseksaan serta Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan pertuduhan ke atas lima individu tersebut.
"Pertuduhan pertama ke atas mereka adalah mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaanm. Pertuduhan kedua ke atas individu sama mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
"Empat lagi tahanan dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118, Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi," kata Fadzil.
Peruntukan Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan digunakan bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Manakala bagi Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000(AS$24,122) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kejadian pencemaran terhadap Sungai Gong, Selangor menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor terpaksa ditutup pada 3 September lalu.
Insiden itu menyebabkan sebahagian besar pengguna sekitar Lembah Klang terjejas bekalan air bersih selama enam hari.
Tubuh Suruhanjaya Siasatan
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menggesa Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk mengkaji punca utama pencemaran sungai dan bukannya mengambil langkah secara ad hoc dalam menangani masalah pencemaran sungai di negara itu.
“Suruhanjaya Siasatan yang dicadangan itu perlu mengkaji punca utama pencemaran sungai dan kawasan tadahan air dengan mengemukakan cadangan untuk mengakhiri masalah pencemaran sungai yang berterusan ini,” katanya sambil menambah penyelesaian secara holistik diperlukan agar penyelesaian yang lebih tegas dapat dibuat.
Sambil merujuk kepada Laporan Kualiti Alam Sekitar Malaysia 2017, CAP memberitahu BeritaBenar, hanya 219 daripada 477 batang sungai diawasi kerajaan dan dikategorikan sebagai ‘bersih’, manakala 207 batang sungai lagi berada dalam status ‘sedikit tercemar’ dan 51 batang sungai lagi adalah ‘tercemar’.
CAP juga memaklumkan yang Malaysia mempunyai 25 sungai dalam kategori ‘mati’ iaitu 16 di Johor, lima di Selangor, tiga di Pulau Pinang dan sebatang sungai di Melaka dengan pelepasan sisa industri, bengkel, kediaman, ternakan haiwan dan ladang pertanian merupakan penyumbang utama kepada pencemaran.
Persatuan itujuga berkata gangguan air terbaru selama empat hari di Kuala Lumpur dan Selangor itu telah menjejaskan 5 juta pengguna akibat pencemaran sungai yang disebabkan oleh kilang di Rawang itu,
Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia menyambut baik penubuhan Unit Jenayah Alam Sekitar yang akan beroperasi bulan depan, dan merupakan langkah tepat pada masanya.
"Langkah untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan melalui koordinasi yang lebih baik dengan polis adalah penting, kerana jenayah alam sekitar sama penting dengan jenayah biasa.
"Dengan penglibatan polis, dan penubuhan Unit Jenayah Alam Sekitar, kita pasti kesalahan ini dapat dilihat dengan lebih serius," katanya kepada BeritaBenar.
Menurut Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB), jenayah alam sekitar merupakan jenayah terancang keempat terbesar selepas dadah, penggubahan wang haram, dan pemerdagangan manusia dengan kerugian mencecah sehingga AS$258 bilion pada 2016.