Usul Tidak Percaya Terhadap Najib Akan Diputuskan Mac Depan

Staf BeritaBenar
2015.10.20
151020-MY-WANAZIZAH620 Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail sedang berbual dengan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) Lim Guan Eng semasa duduk di koridor bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. 7 Julai 2015
AFP

Permohonan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Malaysia Najib Razak oleh pembangkang hanya akan diputuskan pada Mac tahun depan.

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia pada Selasa memberi bayangan bahawa kemungkinan usul tidak percaya terhadap Najib tidak akan sempat dibentangkan pada sesi Parlimen yang kini sedang bersidang, bermula Isnin sehingga 3 Disember ini.

"Jika usul itu difailkan sekarang, ia mungkin hanya diterima pada sesi mesyuarat akan datang," katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pandikar menegaskan berdasarkan Seksyen 26 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sebarang usul yang ingin dibawa mesti difailkan dalam tempoh 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Ketua Pembangkang Malaysia, Wan Azizah Wan Ismail pada Selasa berkata, pembangkang akan tetap memfailkan usul tersebut pada persidangan dewan yang sedang berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pada hujung minggu lalu, ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hee Loy Sian telah memfailkan usul tidak percaya kepada Parlimen tanpa melalui Wan Azizah sebagai ketua pembangkang di Parlimen sehingga menyebabkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat desakan terhadap Hee supaya menarik balik permohonan terdahulu yang dibuatnya itu.

Hee semasa sidang media di Parlimen pada Selasa berkata, beliau bersedia menarik balik permohonan usul tidak percaya terhadap Najib yang difailkannya itu, untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang membawa usul sama.

"Saya tidak ada masalah (untuk menarik balik usul), kita akan memberi peluang kepada Ketua Pembangkang (Wan Azizah)," katanya kepada media di lobi Parlimen.

Menurutnya, tindakan menarik balik usul itu bagaimanapun bergantung kepada bilakah Wan Azizah akan menfailkan usul undi tidak percaya yang baru.

"Soal tolak atau tidak, itu soal lain, namun kita akan tetap failkan juga usul tidak percaya itu," kata Wan Azizah pada sidang media di lobi Parlimen pada Selasa.

Beliau bagaimanapun, tidak memberi tarikh bila usul baru itu akan difailkan.

Permohonan pihak pembangkang untuk membentangkan usul tidak percaya dibuat dalam usaha memberi tekanan terhadap Najib untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Langkah tersebut berikutan kontroversi derma politik berjumlah RM2.6 billion (AS$700 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 dan juga skandal hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencecah RM40 billion.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.